SEJAK mula beroperasi pada tahun 2000, Pulau Orang Utan kini menempatkan sejumlah 27 ekor haiwan istimewa berkenaan. |
SUATU ketika dahulu, orang utan boleh ditemui dari selatan China sehingga ke kaki pergunungan Himalaya dan selatan kepulauan Jawa, Indonesia.
Hari ini, kepulauan Borneo dan Sumatera merupakan dua lokasi terakhir di bumi yang menempatkan spesies orang utan.
Semuanya berpunca daripada kerakusan manusia yang mengejar keuntungan dan membelakangkan etika alam sehingga memusnahkan habitat asalnya.
Di bawah Kesatuan Pemuliharaan Sedunia (IUCN), orang utan kini disenaraikan sebagai haiwan yang diancam kepupusan pada tahap kritikal. Sementara itu, Tabung Alam Sedunia (WWF) pula menganggarkan hanya terdapat kira-kira 3,000 ekor orang utan Borneo di seluruh dunia.
Dalam usaha menyokong pemuliharaan orang utan yang dilihat semakin terancam, Burt’s Bees, jenama produk penjagaan diri secara semula jadi terkemuka di dunia melancarkan kempen mengumpul dana bagi Yayasan Pulau Orang Utan (OUIF), Bukit Merah Laketown Resort.
Pengarah Belmonde Corporation Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab memasarkan jenama itu di Malaysia, Susana Chung berkata, kempen itu diadakan sempena sambutan Hari Haiwan Sedunia baru-baru ini.
Melindungi hak asasi
Katanya, Burt’s Bees sentiasa menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar dan persekitarannya sejajar dengan falsafahnya untuk melindungi hak asasi haiwan di seluruh dunia.
“Melalui moto Melindungi, Memulihara dan Mendidik, kami berharap dapat mengumpul dana secukupnya bagi meningkatkan kemudahan di Pulau Orang Utan.
![]() |
| SEORANG penjaga orang utan mendukung anak orang utan yang berusia dua tahun di Pulau Orang Utan Bukit Merah, Perak. |
“Pada masa yang sama, ia dapat membantu penyelidikan dan pembangunan (R&D) pemuliharaan haiwan itu di sini,” katanya.
Menyasarkan kutipan sehingga RM10,000 dalam kempen yang diadakan sepanjang bulan Oktober itu, Susana memberitahu pihaknya telah merangka pelbagai aktiviti bagi mengumpul dana berkenaan.
Antaranya, melalui penganjuran persembahan komedi bersama pelawak terkenal, Jason Leong dan Harith Iskandar yang bakal diadakan di PJ Live Arts pada 27 Oktober ini.
“Tiket-tiket berharga RM60 kini dijual di PJ Live Art Box Office. Sebanyak RM5 digunakan untuk yuran pemprosesan sementara RM55 lagi akan disumbangkan kepada OUIF,” ujarnya.
Di samping itu, pihaknya turut bekerjasama dengana Rotaract Club of Port Klang Centennial Personnel untuk menganjurkan kempen kesedaran melalui aktiviti berjalan kaki pada penghujung Oktober nanti.
Katanya, orang ramai yang berminat boleh membeli tiket di semua cawangan Burt’s Bees (kecuali Subang Parade dan Sephora) atau di Rotaract Club of Port Klang Centennial Personnel.
“Setiap penyertaan akan dikenakan bayaran RM30 dan RM20 daripadanya disumbangkan kepada OUIF.
“Peserta-peserta akan mendapat sijil penyertaan, kemeja-T dan produk Burt’s Bees di samping berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah yang disediakan,” jelasnya.
Beli sambil menderma
Pada masa yang sama, pelanggan-pelanggan juga berpeluang membeli sambil beramal apabila berkunjung seluruh cawangan Burt’s Bees di seluruh negara sepanjang bulan ini.
“Caranya ialah dengan membeli baucar Burt’s Bees bernilai RM10. Pelanggan boleh menukarkan baucar itu dengan produk-produk Burt’s Bees yang mempunyai nilai yang sama.
“Bagi setiap penjualan baucar ini, sebanyak RM10 akan disumbangkan kepada OUIF,” katanya.
![]() |
| PEMBELI produk Burt's Bees melalui baucar akan menyumbang kepada OUIF. |
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah OUIF, K. Mohanachandaran berkata, sejak beroperasi pada tahun 2000, Pulau Orang Utan kini menempatkan 27 ekor haiwan berkenaan.
“Objektif utama Pusat Orang Utan ialah membantu menjaga dan memulihkan anak orang utan yang ditinggalkan ibu, tersesat dan juga yang tercedera supaya ia boleh kembali ke habitat asal. Untuk mencapai matlamat ini, kami memberi mereka tempat tinggal, rawatan dan latihan yang sesuai,” katanya.
Ujarnya, bagi tujuan itu pihaknya memerlukan sumbangan kerajaan dan syarikat-syarikat korporat dalam usaha memulihara orang utan di negara ini.
“Dana berterusan diperlukan untuk mengurus kos makanan, penjagaan dan R&D. Pada masa yang sama, kami memerlukan dana untuk meningkatkan kemudahan dan prasarana sedia ada bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: