|
BERMULA dengan kerjaya sebagai penyanyi dalam sebuah band pop popular di Korea Selatan iaitu DBSK atau juga dikenali dengan nama TVXQ, Park Yoochun atau Micky Yoochun sebagai nama pentasnya mengharapkan perjalanan seninya berpanjangan.
Namun, sedang nama band TVXQ berada di puncak, tiga ahlinya iaitu Jaejoong, Junsu dan Yoochun memfailkan saman terhadap SM Entertainment pada Julai 2009, kerana tidak puas hati dengan kontrak mereka.
Saman itu menyebabkan perjalanan band TVXQ tergendala apabila mereka dilarang muncul di khalayak ramai secara berkumpulan dan kerjaya seni Yoochun juga terhenti seketika.
Bagaimanapun sedang Yoochun tertanya-tanya dengan masa depan kerjayanya, tahun 2010 merupakan tahun yang cukup sukses buatnya apabila dia muncul dengan band baru dengan nama JYJ bersama dua lagi ahli yang juga merupakan bekas ahli band TVXQ.
Tahun yang sama juga dia muncul dalam dua buah drama iaitu Beautiful Love dan juga drama hits Sungkyunkwan Scandal yang membuatkan namanya kembali di puncak apabila berjaya meraih tujuh anugerah dalam pelbagai majlis anugerah di Korea.
"Saya tidak pernah menyangka akan mendapat anugerah kerana saya terlalu hijau dalam dunia lakonan. Anugerah yang diterima membuatkan beban saya semakin berat apabila orang mula mengharapkan kejayaan yang sama untuk drama yang akan datang.
"Tetapi secara jujur saya memang gembira apabila menerima anugerah itu kerana ia satu tanda positif untuk saya selain menjadi motivasi supaya saya berusaha dengan lebih keras lagi," katanya yang kini berusia 25 tahun.
|
|
Memegang watak Lee Seon Jun dalam drama yang berlatarkan kehidupan di Universiti Sungkyunkwan ketika zaman pemerintahan dinasti Joseon itu, kata Yoochun dia bertuah kerana drama itu dirakam dan ditayangkan pada waktu yang tepat.
"Saya bersyukur kerana ketika drama itu ditayangkan, saya dalam krisis bersama dengan SM Entertainment dan tidak boleh melakukan persembahan pentas.
"Kebetulan pada masa yang sama, minat berlakon mula timbul dalam diri saya. Melihat hasil drama ini di televisyen saya menjadi malu kerana terdetik dalam diri yang saya boleh buat lagi baik daripada apa yang ditayangkan di televisyen," jawabnya mengenai drama yang sedang hangat ditayangkan di saluran Shuang Xing (324) Astro.
Mengimbas pada permulaan dia menyatakan hasrat untuk menjadi pelakon, dia hanya menjadi bahan jenaka kerana ramai yang tidak yakin dengan kemampuannya sebagai pelakon. Tetapi kini, dia mampu tersenyum lebar melihat kejayaan yang diterimanya.
"Ketika saya mula menjadi pelakon, hati saya memang sepenuhnya mahu berlakon dan mahu belajar berlakon secara formal, walaupun pada peringkat awal ramai yang tidak yakin dengan keputusan saya.
"Semasa penggambaran drama Sungkyunkwan Scandal, ramai orang bertanya kenapa baru sekarang saya mula berlakon sedangkan saya sudah sekian lama berada dalam industri seni.
"Tetapi bagi saya, tidak kisah bila masa saya mula berlakon asalkan pada waktu saya buat keputusan untuk berlakon adalah kerana saya benar-benar mahu berlakon bukannya untuk raih anugerah atau populariti. Semua itu akan datang jika saya berjaya berlakon dengan baik," tuturnya yang bersekolah rendah dan tinggi di Virginia, Amerika Syarikat.
Selepas berlakon drama Sungkyunkwan Scandal, Yoochun menerima banyak tawaran lakonan, tahun ini Yoochun terlibat dalam sebuah lagi drama berjudul Miss Ripley yang telah tamat tayangannya di Korea Selatan pada Julai lalu.
"Sebenarnya, saya menerima banyak skrip drama dan filem tetapi saya tiada masa untuk melihat kesemuanya. Situasi ini berlaku selepas tayangan drama Sungkyunkwan Scandal.
"Setiap projek yang dipilih bukannya dipilih oleh saya seorang sebaliknya keputusan bersama dengan orang yang berada sekeliling saya," ujarnya.
Penyanyi atau pelakon
Apabila disoal antara muzik dan lakonan yang mana lebih dekat dengan hatinya. Jawab Yoochun: "Saya suka muzik dan lakonan.
"Saya tidak tahu mahu meletak yang mana satu di tangga teratas. Saya mula mencipta lagu ketika sekolah lagi sehingga ke hari ini walaupun saya tidak ada masa seperti dulu saya tetap akan main piano sekali sekala.
"Saya memang sedar saya terlalu cintakan muzik, bila dapat inspirasi saya terus rakam melodinya. Untuk lakonan pula, membaca skrip memang satu beban tetapi bila penggambaran bermula saya mula masuk dalam watak yang saya bawa. Saya sukakan kedua-duanya kerana ia memberikan saya satu kepuasan."
Sungguhpun kerjayanya berjalan dengan lancar, pernah tercetus di hatinya persoalan sampai bilakah dia akan berada dalam industri seni.
Meskipun dunia seni disulami dengan populariti dan pendapatan yang lumayan, namun dia sedar, kejayaan itu bukan untuk selamanya, akan tiba satu hari nanti peminat akan jemu dengannya apabila muncul bintang baru yang cemerlang dan berbakat daripadanya.
"Saya memang tertanya-tanya dalam diri saya, sampai bila saya terus menyanyi dan berlakon? Pertama, saya fikir untuk membuatkan ibu, keluarga, peminat, rakan-rakan dan semua orang gembira. Saya mahu lakukan sampai semua orang berpuas hati.
"Pada masa depan, apabila ibu saya sudah tua dan kesihatannya tidak mengizinkan lagi, ketika itu saya hanya mahu berada di sisinya dan menjaganya," ujarnya yang dia kini menjalani kehidupan yang menggembirakan.
Kekasih
Tidak menyembunyikan perasaannya, Yoochun yang pernah dikhabarkan bercinta dengan aktres gandingannya dalam drama Sungkyunkwan Scandal, Park Min Young menyatakan yang dia mahu mendapatkan kekasih segera.
|
|
"Saya mahu jatuh cinta dan mahu ada kekasih dalam masa terdekat. Sebelum ini orang mengatakan saya bercinta dengan Park Min Young dan ia hanya sekadar gosip kerana sekarang dia secara rasmi adalah kekasih aktor Lee Min Ho," katanya.
Tuturnya lagi, dia belum pernah membawa mana-mana wanita sebagai kekasihnya pulang ke rumah berjumpa keluarganya dan dia mahu membawa wanita yang bakal menjadi isterinya secepat mungkin kerana keadaan kesihatan bapanya semakin merosot.
"Kesihatan bapa saya tidak berapa baik dan setakat ini saya belum membawa pulang mana-mana wanita untuk diperkenalkan kepadanya dan saya melakukannya secepat mungkin sebelum kesihatan bapa saya semakin merosot teruk," ujarnya yang mempunyai seorang adik lelaki, aktor Park Yoo Hwan.
Yoochun juga memberi penjelasan jenis wanita yang diminati untuk dijadikan kekasihnya.
"Saya mahukan seseorang wanita yang sukakan keluarga dan boleh memberikan saya ketenangan apabila bersamanya. Dia harus boleh bercampur gaul dengan orang di sekeliling saya terutama keluarga dan saudara-mara saya," tuturnya.
Buat peminat Yoochun dan band JYJ yang ingin mengetahui perkembangan terkini mereka, jangan lupa saksikan mereka menerusi program E!News Asia di saluran E! Astro (712), Ahad ini pada pukul 9.40 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: