Saturday, October 1, 2011

RIM jawab isu warganegara


NORMAN


SELEPAS senarai lima calon terbaik untuk setiap kategori Anugerah Industri Muzik AIM ke-18 (AIM 18) diumumkan pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), rata-rata ramai yang keliru. Ada juga yang mempersoalkan isu artis luar yang menjalani rakaman syarikat Malaysia boleh tercalon manakala artis Malaysia yang menjalani rakaman di luar Malaysia pula tidak tercalon.

Kosmo! berkesempatan bertemu dengan Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim semasa rumah terbuka RIM di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sudah menjangkakan soalan yang bakal diajukan media, Norman dengan tenang menjawab segala isu yang berlaku pada AIM 18.

“Saya mahu tekankan di sini bahawa AIM sebenarnya bukan milik Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) atau mana-mana persatuan tetapi adalah milik RIM.

“Pihak RIM yang meminta Akademi menganjurkan AIM sejak dari awal sehingga AIM 17. Untuk AIM 18, RIM terpaksa ambil alih penganjuran AIM dan membuat banyak perubahan drastik tetapi bukan secara total semata-mata untuk menyelamatkan AIM.

“Kami tidak menyalahkan Akademi cuma selepas penganjurannya memasuki tempoh ke-17, AIM dilihat sudah hilang serinya. Sehinggakan pihak penyiaran ntv7 dan juga penaja rasmi, Celcom juga ingin menarik diri. RIM dimaklumkan perkara ini pada bulan September tahun lalu. Dalam tempoh tiga bulan kami membina semula kepercayaan Celcom untuk menaja manakala Astro pula akan bertindak sebagai stesen penyiaran AIM 18,” terangnya.

Begitupun, kata Norman, sistem penjurian masih diberikan kepada Akademi kerana RIM sebagai syarikat pengeluar muzik tidak mahu dilihat sebagai berat sebelah kepada mana-mana artis.

Mengulas mengenai isu kewarganegaraan, kata Norman, ia merupakan isu yang lama. Begitupun, pihaknya tidak pernah mengubah atau meminda apa-apa terhadap kriteria kerakyatan bagi setiap penyertaan AIM seperti sebelum ini.

Namun, Norman hairan mengapa masih ada pihak yang mempertikaikan kriteria yang ditetapkan pada AIM yang ke-18 kali ini, padahal pihak RIM tidak pernah memindanya dan hanya mengguna pakai kriteria yang sedia ada.

“Kami prihatin dengan rungutan artis. Kriteria sudah ditetapkan dan sudah diedarkan pada bulan Jun lalu. Memang tidak benar sama sekali kalau mereka kata kami tidak telus. Sebab itu saya hairan mengapa ada artis yang mendakwa RIM sentiasa meminda kriteria yang diperlukan.

“Kami mahu lihat industri muzik Malaysia menjadi hebat seperti industri muzik di Korea. Mencari jalan bagaimana nak eksport muzik kita. Memang keutamaan diberikan kepada artis, komposer dan syarikat rakaman Malaysia.

“Menjawab isu kenapa Zee Avi tak tersenarai dalam calon Top 5, AIM secara tradisinya dianjurkan oleh syarikat rakaman di bawah RIM. Jadi kelayakan utama diberi kepada mereka yang menandatangani dan bernaung di bawah RIM. Asalkan syarikat rakaman itu di bawah rekod Malaysia dia layak masuk AIM. Kami mahu naikkan industri muzik bukan artis semata-mata. Zee Avi tidak layak sebab dia tidak terikat dengan syarikat rakaman Malaysia walaupun dia warganegara Malaysia.


ZEE AVI


“Bagi kes Hujan pula saya tidak pasti. Saya rasa mereka masih layak bertanding untuk beberapa kategori walaupun tidak semua. Mungkin mereka telah tercalon untuk saringan awal, tetapi tidak berjaya untuk Top 5. Secara peribadi, saya memang tidak terlibat dengan sistem penjurian. Cuma saya tahu ada hampir 900 pencalonan,“ katanya yang berharap segala kekeliruan yang wujud sudah selesai.

Mengulas isu pengguguran kategori Lagu Hip Hop di saat-saat akhir, kata Norman ia dibuat oleh pihak juri bukan daripada pihak RIM.

“Kalau ikut RIM, kita memang mahukan kategori ini, tetapi pihak juri sebaliknya. Mereka merasakan lagu-lagu yang menghantar pencalonan tidak memenuhi kriteria lagu hip hop. Kalau ikutkan, saya lebih suka jika lebih banyak genre muzik yang masuk bertanding dalam AIM.

“Kami mengurangkan kategori tak bermaksud kami menghalang atau mengurangkan artis untuk masuk bertanding. Kami telah membenarkan penyanyi yang mempunyai single untuk masuk bertanding. Selain itu, kita juga telah merancang untuk mengadakan anugerah berasingan untuk artis-artis Cina dan India tempatan serta kebarangkalian untuk muzik Urban,” katanya lagi.

Dengan segala isu berbangkit tersebut, Norman memaklumkan berkemungkinan pihak RIM akan mengkaji semula sistem penjurian yang telah diguna pakai bagi memperkemaskan lagi penganjuran AIM untuk akan datang.

Malah bagi tujuan itu, pihak RIM mengalu-alukan pendapat daripada mana-mana persatuan mahupun individu untuk memperbaiki dan menyuarakan pendapat tentang kelemahan yang ada di pihaknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: