Wednesday, October 19, 2011

Penalti naik 5 kali ganda

MEREKA yang didapati bersalah membuang sisa toksik seperti dalam kes di Batu Pahat, Johor ini bakal dikenakan hukuman lima kali ganda lebih berat tahun depan. – Gambar hiasan


KUALA TERENGGANU – Kerajaan akan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memperkukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran di negara ini dengan mengenakan penalti jauh lebih berat kepada pesalah baik individu atau syarikat.

Di bawah cadangan pindaan itu, penalti terhadap pelanggaran Seksyen 2 akta tersebut akan dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM500,000.

Antara kesalahan di bawah seksyen tersebut ialah pelupusan sisa toksik, pencemaran air dan sungai, pembakaran terbuka, pengeluaran asap berlebihan, tumpahan minyak di laut dan pembukaan tanah secara haram.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, pindaan itu akan dibentang ke Kabinet minggu depan sebelum dibawa ke Parlimen pada Mac 2012.

Katanya, ia akan memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk memberhentikan projek yang melanggar peraturan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Ini bukti kita serius dan mencegah sebarang bentuk kemusnahan yang berpunca daripada pencemaran alam,” tegas beliau selepas merasmikan Majlis Pelancaran Minggu Alam Sekitar Malaysia Peringkat Kebangsaan 2011 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: