Sunday, October 9, 2011

Pemetik kelapa ada ‘diploma’

BANYAK PILIHAN...deretan kedai cenderahati di Pantai Ao Nang.
BANYAK PILIHAN...deretan kedai cenderahati di Pantai Ao Nang.

SESEKALI terasa bergoyang-goyang apabila ‘gergasi laut’ itu dibuai ombak dalam kedinginan bayu laut malam. Mujur tiada yang mabuk laut, sebaliknya goncangan itu membuatkan tidur malam penulis begitu nyenyak seakan-akan dalam buaian ketika kapal persiaran Star Cruises Superstar Libra membelah samudera dari Pulau Pinang ke Phuket dan Krabi, Thailand, baru-baru ini.

Memenuhi undangan 8TV yang membawa dua pengacara program 8TV Quickie, Megan Tan dan Naqib serta 30 rakan media belayar dengan kapal mewah itu ke negara gajah putih, penulis merasai satu pengalaman baru percutian menyeronokkan dan berbeza berbanding menaiki kapal terbang.

  • Foto

  • Foto

    PERCUTIAN ATAS KAPAL...penulis (dua dari kiri) bergambar dengan rakan media dan pengacara TV8 Quickie, Megan (duduk) dan Naqib (kanan).

  • Foto

    INDAH...pemandangan di tepi pantai di Krabi.

  • Foto

    ENAK...hari pertama di kapal persiaran, pengunjung dijamu dengan barbeku.

Bayangkan, jika menaiki jentera awan biru, perasaan bimbang tertinggal pesawat pasti ada biarpun kaki memasuki ruang di lapangan terbang. Namun di kapal persiaran, tiada perasaan tidak enak itu, malah rasa selamat kerana awal-awal lagi kami masuk ke perut kapal biarpun waktu untuk belayar masih lambat.

Selepas menyerahkan pasport di pintu masuk Star Cruises Superstar Libra di pelabuhan pada jam 2 petang, kami merasakan seolah-olah berada di dunia lain walaupun sebenarnya masih di Pulau Pinang.


Satu kad tertera nama penumpang diberikan sebagai pas untuk memasuki kabin, ke restoran serta keluar masuk kapal selepas berlabuh. Kami bebas meninjau di bahagian dalam kapal, menghirup udara segar di atas dek serta menjamu selera.


Menu ‘selamat datang’ untuk penumpang mewah itu ialah hidangan barbeku di tingkat sembilan, iaitu bahagian atas kapal yang ruang terbuka dan
turut menempatkan kolam renang.

Berbumbung langit dan bintang malam serta terapung di lautan, pengunjung menikmati pelbagai hidangan, terutama makanan panggang yang beraroma dan menggetarkan tunas rasa.

Hanya jam 10 malam, baru kapal mewah itu memulakan pelayaran ke Phuket iaitu ketika penumpang baru ingin melelapkan mata atau melakukan aktiviti bebas. Sebelum itu, mereka yang inginkan hiburan ringan boleh menyaksikan persembahan sensasi era 1970-an oleh kru kapal.

Dengan kelajuan 17 knot sejam, kapal persiaran yang mampu memuatkan 1,472 penumpang itu tiba di pesisir pantai Phuket pada jam 9 pagi.

Untuk menyihatkan tubuh dan mengeluarkan peluh, penum�pang boleh menyertai senamrobik yang diadakan di tingkat 10 mahupun berjoging di trek atau bermain bola jaring di dek sukan di tingkat enam.

Umpama sebuah penempatan di atas darat, kapal mewah dibina pada 1988 itu turut menyediakan kemudahan sukan, kesihatan dan rekreasi lain seperti gimnasium, sauna dan urut di tingkat 10, lapangan golf (tingkat 10) dan jakuzi (tingkat sembilan). Ia turut dilengkapi kemudahan Internet, salun kecantikan dan klinik.

Menjejakkan kaki ke Phuket, penulis dapat melihat pertumbuhan pesat kawasan itu yang pernah dilanda tsunami pada 2004.

Ketika kunjungan ke Phuket selepas lapan bulan ia dilanda tsunami, keadaannya seperti padang jarak padang tekukur dengan kesan sampah dan sisa runtuhan bangunan di merata kawasan, terutama dekat pantai.

Namun, selepas enam tahun, peristiwa hitam itu semakin dilupakan dan di sepanjang jalan di Pantai Patong, Phuket kini kembali hidup dengan deretan premis baru yang moden dan menarik.

Menurut pemandu pelancong kami, Suchai, Phuket yang bermaksud ‘bukit’ kerana hampir 70 peratus pulau itu kawasan berbukit, dihubungkan dengan tanah besar Thailand dengan jambatan.

Terletak di kiri selatan tanah besar Thailand, Phuket atau ‘gunung intan’ dalam bahasa Thai mempunyai keadaan cuaca sama dengan Malaysia iaitu hujan petang, sejak akhir-akhir ini. Malah, ketika dibawa membeli-belah di kompleks terbesar di Phuket, Central Festival Village, aktiviti kami terganggu kerana hujan lebat.

Walaupun Suchai membekalkan kami baju hujan, niat untuk membeli-belah di deretan gerai di situ terpaksa dibataskan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Pelancongan ialah nadi ekonomi Phuket selain pertanian iaitu getah, nanas, kelapa dan gajus. Kami turut melawat kuil Buddha utama di Phuket, Wang Talang selain Wat Chalong yang menawarkan cenderahati kraftangan tempatan, hadiah, sutera Thai, mutiara dan barang kemas.

Kebanyakan penduduk tempatan menghuni pesisiran pantai seperti Pantai Patong, Karon dan Pantai Kata. Di Pantai Patong, pelancong Malaysia tidak perlu risau kerana masih boleh menggunakan ringgit Malaysia untuk membeli-belah, malah untuk yang ke sini dengan kapal persiaran, mereka tidak perlu menukar jam mengikut waktu Thailand, tetapi tetap menggunakan waktu Malaysia atau waktu dalam kapal.

Seperkara yang menarik, kelapa yang menjadi sumber ekonomi Phuket diusahakan oleh tenaga kerja haiwan. Monyet diupah memetik kelapa selepas memasuki sekolah khusus selama enam bulan bagi cara memetik kelapa.

Selepas tamat pengajian enam bulan dan mendapat diploma, monyet berkenaan akan memetik kelapa sehingga mereka berusia 10 atau 11 tahun sebelum bersara.

Seekor monyet mampu memetik satu juta kelapa sehari. Selepas menjatuhkan kelapa ke tanah, buruh ‘terlatih’ itu akan memasukkan kelapa ke kontena.

Selepas seharian di Phuket, kami pulang ke kapal persiaran pada waktu senja untuk meneruskan perjalanan ke Krabi. Kami tiba di Krabi keesokan harinya. Kapal persiaran berhenti jauh dari pantai dan perjalanan ke persisiran diteruskan dengan bot.

Mengambil masa setengah jam perjalanan, kami disajikan pemandangan indah pulau kecil yang bertebaran di sepanjang laluan berkenaan.

Krabi yang terletak di tanah besar Thailand, kurang membangun berbanding Phuket. Memiliki keluasan 4,000 kilometer persegi, kawasan itu dibangunkan dengan sumber ekonomi berteraskan pelancongan selain pertanian iaitu penanaman getah, kelapa sawit, kelapa, kopi dan oren. Jika di Phuket pengunjung mudah melihat kuil Buddha di sepanjang jalan, di Krabi pula lebih banyak masjid kerana kira-kira 40 peratus penduduknya beragama Islam.

Kami menghabiskan masa di Pantai Ao Nang untuk menikmati keindahan pantai dan membeli cenderahati di deretan kedai di situ. Kebanyakan kedai menjual barangan cenderahati sama seperti kemeja-T, magnet peti sejuk dan pakaian sesuai untuk ke pantai.

Selepas setengah hari di Pantai Ao Nang, kami meneruskan perjalanan ke pekan Krabi. Bandar Krabi hanya pekan kecil dan kurang meriah berbanding Phuket.

Tiada kompleks beli-belah tersergam, cuma deretan kedai lama menjual pelbagai barangan keperluan harian dan cenderahati.

Bagaimanapun, selepas berjalan kaki menyusuri dari satu kedai ke satu kedai untuk membeli cenderahati, penulis dapati, tidak menyesal membeli lebih banyak barangan di Pantai Ao Nang kerana di sana, barangannya lebih berkualiti dan harga berpatutan berbanding Krabi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: