BARIO yang bermaksud angin dalam bahasa Kelabit merupakan kawasan dataran tanah tinggi terletak di timur laut Sarawak mempunyai ketinggian kira-kira 1,100 meter dari aras laut.
Dihuni seramai lebih kurang 2,000 penduduk, aktiviti harian masyarakat Bario lebih tertumpu kepada perusahaan pertanian dan juga pembuatan kraf.
Antara produk yang dihasilkan adalah seperti beras, garam bukit, nanas, kulit kayu manis dan barangan kraf tempatan.
Namun, disebabkan lokasinya yang terletak di kawasan pedalaman, kesemua hasil perusahaan tersebut sukar untuk dibawa ke pasaran luar.
Justeru, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah memperkenalkan projek promosi secara dalam talian dikenali sebagai AGRIMedia@Bario.
Menurut Pengarah Kanan Industri Asas Tani FAMA, Sharifah Hashim, AGRIMedia@Bario merupakan strategi pemasaran produk menerusi inovasi teknologi ICT.
''Ia mempunyai objektif menyebarkan maklumat dan informasi produk-produk yang dihasilkan oleh penduduk Bario kepada kepada masyarakat luar,'' katanya pada pelancaran projek itu di Bario baru-baru ini.
Majlis perasmian AGRIMedia@Bario telah dilakukan oleh Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Datuk Talib Zulpilip.
Melihat tawaran aplikasi tersebut, ia mengetengahkan platform akses seperti kad pintar MyKad, capaian wayarles 3G dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sebenarnya, sejak tahun 2008, FAMA dan MDeC telah bekerjasama mengaplikasikan pendekatan ICT untuk tujuan pemasaran produk pertanian.
Matlamatnya untuk membantu usahawan-usahawan di bawah bimbingan FAMA meningkatkan pendapatan mereka melalui pasaran maya.
Antara program-program yang telah berjaya adalah seperti e-pasartani, e-GBBS, e-IAT, e-SMS dan e-GeoMIS.
Di samping itu, para usahawan yang berdaftar turut berpeluang memasarkan produk mereka menerusi platform yang disediakan pihak FAMA seperti Pasar Tani dan juga Kedai Rakyat.
Sementara itu, Naib presiden Pendayaan Ekonomi Digital MDeC, Saifol Bahri Mohamad Shamlan pula memberitahu, pendekatan ICT tersebut bertujuan menarik perhatian pembeli mendapatkan produk yang mereka inginkan terus daripada pengeluar.
''Menerusi medium AGRIMedia@Bario ini, pembeli boleh mendapatkan maklumat dan gambaran jelas dalam bentuk video tentang bagaimana sesuatu produk itu diproses sebelum membuat pesanan.
''Pihak MDeC juga ketika ini sedang dalam proses meningkatkan infrastruktur dan kemudahan telekomunikasi di Bario untuk memudahkan aktiviti pemasaran produk secara dalam talian oleh penduduk di sini,'' katanya.
Laman AGRIMedia@Bario boleh dicapai menerusi akses web www.agrimedia.fama.gov.my
Dari sudut lain pula, AGRIMedia@Bario turut dilihat mampu memperkenalkan Bario kepada pelancong sekali gus menarik mereka berkunjung ke sana.
Melengkapkan tujuan itu, FAMA menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti di situ telah meletakkan peta Bario di Lapangan Terbang Bario untuk tujuan mempromosi destinasi itu.
Majlis perasmian peletakan peta itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga anak jati Bario, Datuk Seri Idris Jala.
Dengan adanya peta berkenaan, ia bakal menjadi tempat rujukan dan penerangan kepada para pelancong untuk mengenali lokasi serta tempat-tempat tarikan utama di Bario.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: