Monday, October 3, 2011

Hasil bumi istimewa dari Bario


GARAM bukit Bario dibungkus secara tradisional menggunakan daun ilat.


PERJALANAN kira-kira 30 minit ke kawasan telaga air masin Kampung Pa' Umor di Bario, Sarawak memerlukan pembuat garam meredah kawasan hutan yang sedikit berlumpur dan berbukit.

Biasanya, mereka akan membawa bersama keluarga tinggal sekurang-kurangnya selama dua minggu di bangsal garam bukit yang dibina di dalam hutan tersebut.

Sepanjang tempoh itu, mereka akan menghabiskan masa memproses garam sebelum giliran penggunaan bangsal diambil alih oleh keluarga lain pada minggu berikutnya.

Begitulah rutin aktiviti perusahaan tradisional garam bukit yang dijalankan oleh kaum Kelabit di kawasan Tanah Tinggi Kelabit, Bario, Sarawak.

Garam bukit di Bario ini merupakan salah satu daripada hasil bumi negeri Sarawak yang sememangnya diketahui kaya dengan sumber mineral semulajadi.

Selain Kampung Pa' Umor, terdapat beberapa lagi kampung lain di sekitar Bario yang turut mempunyai sumber telaga air masin.

Garam bukit dikatakan mempunyai khasiat zat besi, iodin, kalium dan magnesium semulajadi sesuai digunakan sebagai penambah perisa makanan selain mempunyai banyak kelebihan daripada segi kesihatan.

Antaranya seperti membantu melancarkan perjalanan darah, menyeimbang cas dalam badan, membunuh kuman dalam udara serta menyihatkan tubuh.

Menurut Ketua Kampung Pa' Umor, Pasang Iboh, 59, terdapat 17 keluarga di kampungnya yang mengusahakan aktiviti pembuatan garam bukit.

''Bangsal rumah garam bukit di kampung ini telah didirikan sejak 10 tahun lalu dan menjadi tempat membuat garam bukit penduduk di sini untuk menambah pendapatan.

"Dalam masa seminggu, mereka mampu membuat sebanyak 100 batang garam bukit yang dihasilkan dalam bentuk ketulan panjang,'' katanya ketika ditemui di kampungnya baru-baru ini.

Bercerita mengenai proses penyediaan garam bukit, Pasang memberitahu, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana melibatkan kerja-kerja agak rumit dan memakan masa berhari-hari.

Prosesnya bermula dengan menjerang air garam yang diambil daripada telaga masin menggunakan cara pembakaran kayu api di dalam kawah besar.

Selepas tempoh sehari semalam, air garam itu akan dibiarkan mengalami proses pengkristalan sebelum membentuk butiran garam halus.

''Pada peringkat ini, ia perlu sentiasa di kacau untuk mengelakkannya hangus yang boleh menjejaskan kualiti garam.

''Garam yang telah tersejat kemudiannya akan disejuk sebelum dimasukkan ke dalam buluh-buluh yang telah dipotong sepanjang lebih kurang 30 sentimeter (sm) setiap satu.

''Kemudian, bahagian bawah buluh akan ditebuk lubang kecil supaya air berlebihan dapat keluar bagi memastikan garam benar-benar kering,'' jelasnya.

Setelah itu, buluh-buluh tersebut akan dibakar di atas bara api sama seperti kaedah membakar lemang untuk mengeraskan garam di dalamnya.

Pembakaran akan dilakukan sehingga buluh terbakar dan akhirnya pecah untuk menghasilkan garam dalam bentuk ketulan keras.

Bahagian luar garam itu kemudiannya akan dikikis secara perlahan-lahan menggunakan pisau bagi menghilangkan tanda-tanda hitam pembakaran.

Untuk proses membungkus, ketulan garam akan dibalut dengan sejenis daun dikenali sebagai daun ilat dan diikat kemas menggunakan tali rotan.

Sebatang garam biasanya akan dijual pada harga antara RM10 hingga RM 15 dengan peningkatan kos sebanyak tiga kali ganda apabila memasuki pasaran luar seperti Miri dan Kuching.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: