Sunday, October 9, 2011

Noor Aini dihidang daging mentah


KATA Noor Aini, sebagai manusia kita masih memerlukan kekuatan jiwa dan rahmat Tuhan untuk mengharungi kehidupan.


SESI fotografi dengan Datuk Paduka Noor Aini Abdullah, penulis buku Malaysian Customs and Etiquette ini diadakan sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu.

Kali pertama diadakan Hotel Impiana Resort & Spa di Kuala Lumpur manakala kali kedua di kediamannya di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Kesudian beliau itu begitu mengagumkan memandangkan Noor Aini bukanlah wanita sembarangan.

Pada usianya sekarang, Noor Aini masih kelihatan anggun. Kerjaya sebagai seorang perunding di Hotel Impiana dan pengalaman berkelana mengikut bapanya ternyata mempengaruhi perwatakan wanita ini.

Kehidupan masa kecil Noor Aini lebih banyak dihabiskan di luar negara.

Bapanya, Datuk Abdullah Ali merupakan duta Malaysia ke beberapa buah negara. Bermacam jenis manusia dan budaya ditemuinya.

“Saya membesar dalam persekitaran budaya Hindu dan Buddha. Bapa saya juga banyak mempelajari falsafah agama lain khususnya Buddha.

“Antara falsafah Buddha itu mengatakan ‘naik tinggi mudah tetapi untuk jatuh lebih senang’. Begitulah kata bapa saya,” kata Noor Aini yang pernah memasuki sekolah gothik dan melihat aktiviti gereja.

Noor Aini juga dihidangkan daging mentah semasa di Ethiopia. Namun kata beliau, keadaan itu memang unik kerana setiap negara ada hidangan tradisi mereka sendiri.

“Sebagai duta Malaysia ke negara berkenaan, bapa sentiasa menghormati adat mereka walaupun makanan seperti itu bukan satu kebiasaan di Malaysia,” katanya.

Noor Aini sangat mengagumi sikap toleransi bapanya. “Walau dia sendiri tak setuju dengan pendapat seseorang, dia masih melayan dan bercakap dengan orang itu.

“Kadang-kadang orang asing mungkin telah melanggar adat secara tidak sengaja tetapi itu dapat difahaminya kerana faktor budaya yang berbeza.

“Dia cuma tidak boleh menerima seseorang yang berkelakuan biadap,” ujar Noor Aini.

Antara negara tempat bapanya bertugas ialah Australia, India, Indonesia, Thailand, Ethiopia, Maghribi, Singapura, Austria dan Britain.

Tempoh beliau menetap di negara berkenaan ialah kira-kira dua tahun kecuali Singapura dan Britain iaitu empat tahun.

“Agak sedih juga bila terpaksa meninggalkan negara yang baru kita tinggal.

Berhijrah

“Berpindah ke negara baru bermakna perlu mempelajari sesuatu yang baru juga.

“Adakalanya format pembelajaran dan mata pelajaran tidak sama antara sebuah negara dengan negara yang lain,” katanya.

Noor Aini mampu beradaptasi dengan pelbagai budaya dengan baik.

Malah, beliau mempunyai seorang bapa angkat berketurunan India tetapi di Hong Kong, Datuk KT Ratnam, dan Albert S Talalla, seorang rakyat tempatan. Kedua-duanya merupakan kawan baik bapa Noor Aini, Abdullah.

“Dua minggu lalu, saya berpeluang berjumpa mereka dan menunjukkan buku saya. Mereka sungguh gembira.

“Sebenarnya hubungan kami memang rapat. KT Ratnam bahkan menziarahi kubur bapa saya walaupun dia bukan Islam,” kata Noor Aini yang melayan mereka seperti bapa sendiri.

Sepanjang menyiapkan bukunya, Noor Aini bukan sahaja mencatat cerita mengenai adat dan budaya daripada kawan-kawannya bahkan melawat mereka termasuk yang beragama Hindu, bagi menyelami ritual yang mereka amalkan.

Berpisah

“Saya mengumpul maklumat selama empat tahun dan merujuk dengan kawan pada dua tahun terakhir kalau-kalau adat itu sudah tidak lagi diamalkan,” katanya.

Sejak dahulu lagi, Noor Aini mempunyai hobi menulis dan melukis.

“Oleh kerana kami asyik tinggal di luar negara, bapa sering bercerita tentang kisah-kisah rakyat dari negara ini.

“Salah satu cerita yang memberi kesan kepada saya ialah kisah seorang puteri yang menyelamat seorang putera hingga membuatkan si putera jatuh cinta pada sang puteri.

“Sementara bapa bercerita, saya melukiskan watak-watak yang diceritakan beliau berdasarkan imaginasi saya sendiri.

“Selepas siap melukis di atas beberapa helai kertas, saya stapler dan menjual komik itu kepada pak cik saya pada harga 50 sen. Duit itu saya buat beli aiskrim,” katanya ketawa.

Noor Aini berkahwin pada usia muda iaitu 23 tahun dengan seorang kerabat diraja Perlis.

Selama lebih 25 tahun berikutnya, beliau menjalani kehidupan istana dan dilayan bak seorang puteri.

Bagaimanapun, pasangan itu berpisah pada tahun 2007. Satu-satunya anak mereka, Tengku Syarifah Afzan Jamalullail, kini 29, dijaga oleh Noor Aini selepas itu.

Kembali bergelar orang biasa, kata Noor Aini, dirasakan kekok pada mulanya.

Beliau tidak tahu apa-apa tentang kereta, mengisi petrol apatah lagi memakir kenderaan itu.

“Daripada mempunyai pemandu, saya terpaksa belajar menaiki pengangkutan awam seperti bas dan monorel, bahkan kembali tinggal bersama ibu.

“Saya berasa seolah-olah diletakkan di dalam hutan bersendirian dan perlu menyesuaikan diri untuk terus hidup,” kenang beliau yang menjadi pensyarah bahasa Inggeris di Kolej Metropolitan, Kuala Lumpur.

Keadaan bertambah sukar kerana bapa yang sangat dikasihinya meninggal dunia akibat sakit tua pada tahun yang sama beliau bercerai.

Hanya kekuatan jiwa dan rahmat Tuhan yang memberi kekuatan untuknya mengharungi kehidupan.

Kata Noor Aini beliau akan terus berpegang pada prinsip hidupnya iaitu melakukan sesuatu dengan penuh ikhlas, bertoleransi dan bangga dengan keupayaan diri.

Dari segi pakaian, Noor Aini berpengalaman memakai sari malah menyimpan beberapa koleksi sari.

“Tetapi saya lebih kerap memakai salwaz kameez hadiah daripada seorang teman yang saya simpan hingga sekarang,” ujarnya.

Noor Aini tidak mempunyai makanan kegemaran khusus tetapi menyebut tempe goreng sebagai menu makanan Johor pertama dipelajarinya. Beliau belajar membuat tempe goreng daripada nenek dan ibunya.

Duit raya pertama yang diterimanya mungkin tidak lebih daripada 50 sen tetapi hari raya baginya bukanlah tentang wang sebaliknya menziarahi sesama ahli keluarga dan sahabat handai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: