Sunday, October 9, 2011

Bos Apple maut ‘digigit’ kanser


STEVE JOBS mengalami penurunan berat badan selepas disahkan menghidap kanser pankreas pada tahun 2003.


KESIHATAN Steve Jobs menjadi menarik diamati kerana harga saham Apple, pengeluar produk ikonik seperti iMac dan iPhone, dipengaruhi oleh khabar angin kesihatan Steve.

Misalnya, sewaktu Steve nampak tidak sihat pada satu acara MacWorld pada tahun 2009, Steve mengatakan dirinya ‘berada dalam ketidakseimbangan hormon’.

Selepas dia mengumumkan akan menjalani rawatan, harga saham Apple turun. Setiap kali tersebar berita mengenai kesihatannya sama ada betul atau tidak, harga saham pasti jatuh.

Seperti pesakit kanser lain, Steve Jobs optimis tatkala sekumpulan pakar perubatan mengesahkan dia positif menghidap barah pankreas pada tahun 2003.

Ramai menganggap kanser ialah hukuman mati namun kanser pankreas boleh diubati jika ia dikesan pada peringkat awal.

Pengasas empayar pengkomputeran Apple Inc. itu meninggal dunia pada Rabu lalu setelah hampir lapan tahun didiagnosis menghidap kanser pankreas.

Alternatif

Steve tidak berseorangan dalam perjuangan menentang kanser. Pelakon Malaysia yang terkenal melalui filem Rahsia, Shukeri Hashim meninggal dunia akibat penyakit sama pada tahun 2009.

Dalam tahun sama, hero Hollywood yang terkenal menerusi filem Dirty Dancing, Patrick Swayze turut meninggal dunia, juga akibat penyakit sama.

Kanser pankreas kurang popular seperti kanser payu dara atau kanser paru-paru sekali gus menjelaskan mengapa tidak banyak maklumat diperoleh mengenai barah tersebut.

Pakar bedah kanser, Joseph Kim berkata, kanser pankreas berasal daripada tumor neuroendokrin yang terbentuk daripada kilang pengeluar hormon insulin.

Jelas pakar bedah Hospital City of Hope di Duarte, California itu, barah itu boleh dirawat jika ia dikesan pada peringkat awal.

“Pembedahan boleh membantu memanjangkan hayat pesakit,” kata Kim.

Analisis Kim dan rakan-rakannya terhadap pesakit kanser neuroendokrin pada 2010 mendapati, jangka hayat pesakit yang menjalani pembedahan bertambah secara signifikan.


STEVE JOBS enggan melakukan pembedahan membuang kanser pada peringkat awal.


Kata beliau, kanser neuroendokrin merebak dengan perlahan dan terhad pada organ itu sahaja.

Pesakit selalunya meninggal dunia akibat kanser itu dan bukan akibat kesan penularan kanser yang merosakkan organ-organ lain.

Walaupun dianggarkan sehingga 3,000 rakyat Amerika Syarikat (AS) didiagnosis menghidap tumor neuroendokrin setiap tahun, pembedahan autopsi mendapati terdapat beratus-ratus lagi pesakit tidak terkesan meskipun menghidap penyakit sama.

Di sebalik saranan dan pandangan pakar perubatan, Steve tidak memilih kaedah moden sebaliknya, penganut agama Buddha berketurunan Arab itu menghabiskan sembilan bulan mengamalkan terapi alternatif termasuk diet khas, lapor majalah Fortune pada 2008.

Imbasan menunjukkan tumor itu semakin membesar dan akhirnya Steve menjalani pembedahan di Klinik Perubatan Universiti Stanford pada 31 Julai 2004.

Steve terpaksa menjalani prosedur Whipple atau pancreatoduodenectomy berikutan keadaan sel tumor yang semakin membesar.

Pembedahan itu membuang bahagian kanan pankreas, pundi dan saluran hempedu, sebahagian perut dan sebahagian usus kecil. Prosedur itu memberi petanda bahawa sel kanser itu sudah merebak ke organ-organ lain.

Steve dalam satu e-mel kepada para pekerja menjelaskan ‘dia tidak memerlukan rawatan kemoterapi atau radioterapi’.

Kebimbangan pakar perubatan itu akhirnya menjadi kenyataan setelah lima tahun. Steve akhirnya menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Universiti Methodis, Memphis pada tahun 2009.

Pembedahan

Pembedahan itu sekali gus memberi gambaran bahawa kanser yang dialaminya sudah merebak melampaui sistem penghadaman.

Jelas Kim, pemindahan hati yang dijangkiti sel kanser merupakan satu-satunya jalan untuk menyekat penularan sel kanser daripada terus tersebar.

Kerosakan hati bermakna ia dijangkiti kanser dari bahagian lain seperti tulang atau otak tetapi menggantinya ada kesan tidak diingini, tambah Kim.

Pesakit yang menjalani pembedahan pemindahan organ memerlukan ubat untuk menyekat sistem pertahanan badan yang banyak agar badan tidak menolak organ baru tersebut.


LELAKI ini mati pada usia 56 tahun ketika syarikat Apple sedang melakar kejayaan dalam bidang perkomputeran.


“Penggunaan ubat untuk menyekat sistem pertahanan badan mungkin ada baiknya tetapi ia boleh menyebabkan sel kanser bermaharajalela,” kata Kim.

Pun begitu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dalam satu keputusan pada Mei lepas meluluskan dua ubat untuk melawan kanser iaitu Sutent dan Afinitor yang masing-masing dikeluarkan oleh Pfizer serta Novartis.

Pada tahap awal, kanser ini tidak menunjukkan sebarang gejala. Namun, seiring dengan pertumbuhan kanser, pesakit akan terasa nyeri di kiri perut dan tersebar ke belakang badan. Rasa nyeri itu akan dapat dirasai semasa makan atau berbaring

Kalau kanser itu dibuang pada peringkat awal, sebanyak 25 peratus pesakit dijangka dapat bertahan selama lima tahun berikutnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: