SEBAHAGIAN penduduk membantah MPAJ meluluskan pembinaan kondominium di Taman Nirwana, Ampang.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Pandan Dalam, Ismail Majid, berkata pembinaan dua blok kondominium 16 tingkat itu hanya akan menambah kesesakan, terutama di Jalan Nirwana 38 dan 39 yang sudah sedia sesak, termasuk dikhuatiri mengganggu penghuni di jalan berkenaan sebaik projek itu siap kelak.
Jika kondominium ini siap kelak, pasti menambah kesesakan sedia ada dan mengganggu keselesaan penduduk, terutama yang tinggal di jalan berkenaan. Kita dimaklumkan MPAJ, penghuni kondominium itu akan diberi dua petak parkir tetapi kita khuatir tetamu yang mengunjungi kondominium itu akan meletakkan kereta di bahu jalan berdepan perumahan penduduk, katanya.
Beliau dihubungi selepas mengadakan perhimpunan secara aman bersama 300 penduduk lain bagi membantah pembinaan kondominium berkenaan daripada diteruskan. Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Penduduk Taman Nirwana Fasa 2, Mohamad Suhaimi Ismail.
Ismail mendakwa, MPAJ juga tidak bersemuka atau berbincang dengan penduduk setempat sebelum meluluskan projek pembinaan kondominium 16 tingkat itu, malah gagal mempamerkan sebarang notis bagi memaklumkan penduduk mengenai pembinaan berkenaan.
Sebelum ini, sudah dua kali perjumpaan diadakan dengan MPAJ termasuk terbaru pada Jun lalu dan MPAJ berjanji menjalankan kajian selama enam bulan sebelum pembinaan diteruskan. Bagaimanapun, nampaknya ia gagal dipenuhi apabila pembinaan kondominium ini masih diteruskan, katanya.
Sementara itu, MPAJ dalam kenyataan semalam, berkata pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan penduduk itu memandangkan tiada peruntukan undang-undang boleh digunakan bagi menghalang pemaju membangunkan tanah mereka.
Katanya, MPAJ menerima permohonan Kebenaran Merancang daripada Tetuan Sri Seltra Sdn Bhd, bagi membangunkan kompleks perniagaan atau pangsapuri perkhidmatan dan kedai pejabat mengikut syarat nyata, dua tahun lalu.
Selepas Kebenaran Merancang diperoleh, masih ada penduduk tidak berkepentingan meminta MPAJ mengadakan sesi penerangan, selain mengambil tindakan terhadap isu dibantah penduduk dan perkara itu dipersetujui, malah pemaju turut membuat pindaan mengikut dasar serta garis panduan ditetapkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: