Wednesday, October 19, 2011

Badai Semalam dapat sambutan hangat

Belum banyak publisiti pasal pementasan teater Badai Semalam yang dibawa daripada novel laris tulisan Khadijah Hashim diuar-uarkan. Tapi sambutannya sangat menggalakkan.

Sudah lebih 50 peratus tiket terjual bagi menonton teater yang dibarisi nama popular Erra Fazira, Aaron Aziz, Datin Paduka Umie Aida, Fizz Fairuz, Ziela Jalil dan ramai lagi itu. Ia akan dipentaskan di Istana Budaya mulai 11 November hingga 20 November ini.

Erra jadi Mazni yang tabah

Badai sangat popular kepada pelajar aliran sastera sekolah menengah pada tahun sekitar 80-an yang kini rata-ratanya sudah bekeluarga dan berkemampuan membeli tiket. Agaknya mereka mahu mengimbau sejarah cinta Mazni yang pernah membuatkan mereka mengalirkan air mata semasa membaca novel tersebut.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani akui teruja apabila mengetahui jualan tiket teater yang dibawakan oleh mereka itu begitu memberangsangkan walaupun inilah kali pertama Badai Semalam dipentaskan. Dia akui keputusannya memilih nama popular antara faktor utama menggalakkan penjualan tiket.

Demi memberi peluang kepada penonton yang datang dari luar Kuala Lumpur pihak Istana Budaya membekukan dahulu jualan tiket pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Ia akan dibuka khusus kepada bakal penonton dari luar yang terpaksa datang pada hari cuti.

Sambutan terhadap Badai Semalam sudah melampaui sempadan apabila pihak Esplanade Singapura sudah menyatakan minat untuk mementaskannya di sana walaupun mereka belum lagi menonton pementasan di Istana Budaya.

"Ia satu penghormatan yang cukup besar apabila mereka menyatakan minat... cuma buat masa ini kami masih belum memberi kata putus kepada mereka," kata Juhari kepada media pada majlis menandatangani memorandom persefahaman dengan beberapa pihak yang bekerjasama dalam pementasan itu.

Istana Budaya mendapat kerjasama Kumpulan Utusan sebagai media rasmi, Sinar FM sebagai radio rasmi. Frensis Sdn. Bhd yang diwakili Erra Fazira sebagai Pengarah Urusannya pula sebagai penerbit bersama Badai Semalam.

Bukan sahaja faktor popular yang menjadi faktor penentu, kebetulan pelakon yang dipilih bersesuaian dengan watak yang digambarkan dalam novel tersebut. Erra Fazira memang wajah yang muncul dalam fikiran Juhari apabila memulakan hasrat mementaskan Badai Semalam.

Badai Semalam akan diarahkan oleh pengarah muda Khairunazwan Rodzy manakala skripnya pula dihasilkan oleh sentuhan tenaga kreatif Erma Fatima, Aminah Raphor dan Rahimidin Zahiri agar jalan ceritanya tidak lari daripada naskhah asalnya.

Tiket-tiket menonton Badai Semalam dijual dengan harga RM30, RM50, RM70, RM100, RM150 dan RM300 yang boleh dibeli di laman sesawang www.ticket2u.biz atau membeli terus di boxoffice Istana Budaya.

Sinopsis Badai Semalam

Mazni anak seorang pembantu rumah membesar bersama ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah di sebuah banglo milik Encik Haris dan Puan Rohana.

Walaupun majikan ibunya amat berbesar hati membenarkan mereka tinggal di situ, tetapi pandangan jiran tetangga amat buruk dan negatif terhadap mereka.

Mereka irihati dan cemburu dengan kecantikan dan kebijaksanaan Mazni apatah lagi apabila Karim, anak Encik Haris dan Puan Rohana mula jatuh hati dengan Mazni. Pada mulanya Mazni hanya menganggap Karim sebagai abangnya sahaja.

Karim berjaya menambat hati Mazni untuk bercinta dengannya. Mazni tahu latar belakang Karim yang suka berfoya-foya dan tidak mempunyai komitmen dalam menjalinkan hubungan. Namun Karim mula berubah laku selepas ditimpa kemalangan yang berjaya menginsafkan dirinya.

Layanan mesra oleh Mazni membuatkan Karim beriya-iya ingin memperisterikan Mazni. Banyak tentangan dan fitnah yang dilemparkan, tetapi Karim nekad. Puan Rohana tidak bersetuju kerana tak mahu tanggung malu kerana orang luar mula memperkatakan pasal maruah keluarga mereka. Mazni dan Karim nekad berkahwin.

Mazni sebenarnya diminati oleh Zaki, tetapi hatinya terlebih dahulu diserahkan kepada Karim. Ibu Mazni amat kecewa apabila mendengar tohmahan dan fitnah tentang Mazni yang berkelakuan tidak senonoh. Pada saat Mazni memerlukan sokongan, ibunya meninggal dunia.

Dalam pada masa yang sama Mazni menyambung pelajaran di sebelah malam. Hari berganti hari, terlalu banyak dugaan yang mendatang. Mazni terpaksa membahagikan masa dengan pelajarannya. Sedikit sebanyak, Mazni terpaksa mengetepikan kehendak Karim. Mazni berasa kecewa dengan sikap Karim yang mula berubah laku selepas mendirikan rumahtangga.

Karim kembali dengan perangai lamanya yang suka berfoya-foya kerana berasa Mazni mengabaikannya dan sibuk dengan buku. Apa yang berlaku kepada Mazni? Tontonlah teater Badai Semalam di Istana Budaya bulan depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: