Sunday, October 30, 2011

Motosikal sepantas 300 kilometer sejam


ZAMRI membuat persediaan sebelum menyertai Grand Prix Sepang bagi kategori 600cc minggu lalu.


PELUMBA kategori 600cc negara, Mohd. Zamri Baba, 28, mengaku dia pernah terjatuh beberapa kali dari motosikal lumbanya tetapi menyifatkan ia sebagai sesuatu yang normal bagi seseorang pelumba. Dalam kebanyakan insiden, ia tidak menyebabkan kecederaan kerana pelumba dilindungi jaket keselamatan berkualiti tinggi.

Tambahnya, pelumba hanya menyertai sesuatu perlumbaan selepas motosikal mereka disahkan selamat.

"Saya tidak tahu punca sebenarnya kemalangan maut. Kebanyakan kemalangan tidak menyebabkan kecederaan parah atau maut setakat ini. Situasi dua buah motosikal berlanggar sesama sendiri di atas litar adalah sesuatu yang biasa berlaku.

"Namun, pelanggaran pada pusingan awal boleh mengundang bahaya kerana tangki kenderaan dipenuhi minyak dan boleh mengakibatkan kebakaran. Letupan besar tentu saja memberi petanda yang buruk," katanya.

Zamri ditemu bual semasa beliau sedang sibuk melakukan persiapan untuk menghadapi perlumbaan di Grand Prix Sepang bagi kategori 600cc hujung minggu lalu.

Ketika ditanya kelajuan tertinggi yang dicatatkan oleh seseorang pelumba di atas litar setakat ini, Zamri berkata ada pelumba yang mencatatkan kelajuan sehingga 306 kilometer (km) sejam.

Menurut Zamri, kelajuan tertinggi pernah dicatatkan beliau setakat ini 290 km sejam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: