Wednesday, October 19, 2011

Memburu 'raja hutan' Sweden


JAN ROBERT SVEEN, 35, pemburu dari Norway ini membelai anjingnya pada musim berburu di hutan berhampiran Nedansjoe, barat Sundsvall, Sweden.


SUASANA pagi di sebuah hutan tebal yang terletak di timur laut Sweden cukup hening dan damai sekali. Di satu kawasan, kelihatan beberapa orang pemburu berkumpul dalam satu kumpulan dengan perasaan teruja dan tidak sabar untuk menanti 'mangsa' pada hari pertama mereka keluar berburu pada tahun ini.

"Hari ini kita boleh menembak rusa dan beruang," kata Emil Toivonen memberitahu ahli kumpulan yang diketuainya pada hari itu selepas setahun tidak keluar berburu.

Waktu sudah menunjukkan pukul 6 pagi. Matahari masih belum menampakkan sinarnya dan kabus kelihatan di mana-mana.

Menjelang pukul 7 pagi, mereka bersedia untuk memulakan pemburuan di luar khemah Emil, pemuda berusia 26 tahun yang gemarkan aktiviti lasak seperti berburu.

Di Sweden, berburu merupakan satu aktiviti yang dinikmati oleh kira-kira 300,000 rakyatnya. Walaupun kebanyakan pemburu terdiri daripada golongan lelaki, tetapi ada juga wanita berkongsi minat yang sama.

Malah, dua pertiga daripada pemburu berdaftar dengan Swedish Association for Hunting & Wildlife Management.

Pelbagai jenis haiwan diburu di Sweden termasuklah serigala yang telah mencetuskan kontroversi di negara itu dan di luar negara.

Bagaimanapun, kumpulan tersebut menyasarkan untuk memburu rusa Amerika Utara yang dikenali sebagai elk di Eropah disebabkan reputasinya sebagai 'raja hutan Sweden'.

Ekspedisi berburu

"Ia tertulis dalam asid deoksiribunokleik (DNA) pemburu Sweden," ujar Oerjan, 56.

Namun, dengan kuota tempatan yang belum diisi untuk beruang perang, haiwan itu juga boleh ditembak. Itu pun jika pemburu bernasib baik menemuinya.


TEMBAKAN yang sempurna mampu membuatkan rusa Amerika Utara rebah di tangan pemburu.


Kesabaran menunggu di tengah-tengah hutan untuk memburu rusa Amerika Utara itu tidak boleh dibantu oleh sesiapa pun. Tetapi apabila melihat kembali gambar-gambar dalam ekspedisi berburu terdahulu pada malam sebelumnya, ia boleh membangkitkan semangat mereka.

Seekor beruang seberat 280 kilogram yang tergantung kakinya dengan bulu yang tebal mampu memberi senyuman lebar kepada pemburu.

Kini, penantian mereka sudah pun berakhir. Pada skrin telefon pintarnya, Oerjan menjejak anjing buruan yang lengkap dipakai dengan Sistem Penentu Kedudukan Satelit (GPS) pada leher mereka.

"Malah, anda boleh menghubungi mereka dan dengar sama ada mereka menyalak apabila menemui mangsa buruan yang dicari-cari.

"Anda juga boleh melihat betapa pantasnya anjing-anjing itu mengesan jejak haiwan yang ingin diburu dan berapa kali mereka menyalak," ujar Oerjan separuh berbisik.

Tiba-tiba Oerjan memandang ke atas apabila telinganya yang sensitif dengan bunyi-bunyian memberitahu salah seekor anjing kini telah berjaya menjejak kesan rusa Amerika Utara berhampiran kawasan tersebut.

"Kita harus bersedia," katanya perlahan sambil bersedia untuk memetik picu senapang Winchester.338 Magnum miliknya.

Kemudian, kedengaran dua das tembakan dilepaskan ke udara. Ia dilakukan Markko, penembak dalam kedudukan berjiran yang bersembunyi di belakang sebuah busut.

Dari jarak 75 meter, tembakannya mengenai bahagian bahu dan dada rusa tersebut selepas salah seekor anjing mengejarnya dengan pantas.

"Selepas tembakan pertama mengenai haiwan tersebut, ia masih boleh melarikan diri. Namun, selepas tembakan kedua, ia terus terjatuh," jelas Markko dengan gembira selepas membunuh rusa Amerika Utara ke-19 dalam karier pemburuannya.


ANJING buruan menghidu rusa yang tewas di tangan pemburu.


"Tembakan itu sangat sempurna," puji seorang pemburu bernama Robert yang dikenali sebagai The Norwegian kerana berasal dari Oslo.

Melapah rusa

Menurut Robert, paru-paru dan bahagian organ di bawahnya merupakan zon terbaik untuk ditembak. Namun jika menyasarkan di bahagian jantungnya ia agak berbahaya kerana jika menembaknya terlalu rendah, ia hanya mencederakan haiwan tersebut.

Kemudian, dengan pantas Robert memulakan aktiviti melapah haiwan seberat 450kg itu dengan panjang 2.5 meter dan setinggi 1.8m itu.

Dia membenamkan mata pisau sedalam 30 sentimeter di leher rusa tersebut sebelum menyiat kulitnya dan menetak bahagian kerongkong untuk mendapatkan esofagusnya dan disimpulkan.

"Ini bagi mengelakkan isi perutnya terkeluar," tambahnya.

Pada akhir hari berburu, semua pemburu akan kembali ke khemah untuk mengambil bahagian masing-masing yang dibahagikan sama rata sebelum kembali meneruskan aktiviti tersebut tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: