
Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengambil satu inisiatif murni melalui satu program motivasi khusus untuk pesalah juvenil bagi meningkatkan aras motivasi diri dan membangunkan kecemerlangan sahsiah mereka.
Pengurus Perancangan Aktiviti YBR, Mohd. Mushin Ismail berkata, program motivasi dan kecemerlangan sahsiah tersebut diadakan kerana masih belum ada syarikat korporat yang sudi membantu serta mendekatkan diri dengan golongan pelajar yang tersisih ini.
"Oleh yang demikian, Yayasan Bank Rakyat telah mengambil inisiatif membantu kumpulan pelajar ini agar mereka tidak merasakan diri mereka jauh dan tersisih daripada masyarakat," katanya ketika berucap pada majlis penutupan program itu di Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah, baru-baru ini.
Sekolah Henry Gurney Keningau merupakan pusat pertama yang dipilih bagi melaksanakan program di peringkat Jabatan Penjara Malaysia (JPM).
Menurut beliau, objektif utama perlaksanaan Program Motivasi dan Kecemerlangan Sahsiah selama dua hari ini adalah untuk membantu menaikkan semangat para penghuni Sekolah Henry Gurney di samping menerapkan dalam diri setiap pelajar bahawa masih ramai yang sayang serta prihatin dengan nasib mereka.
"YBR berharap agar usaha mendidik dan mengasuh kumpulan pelajar bermasalah ini akan dapat membawa kepada perubahan dalam diri mereka dan berupaya menjadikan mereka insan yang berguna kepada bangsa, agama dan negara," katanya.
Program itu mencakupi tujuh modul ceramah dan motivasi termasuk bengkel bertajuk Pembinaan Kumpulan Terhebat, WHO AM I?, Membina Matlamat Dalam Kehidupan Sebagai Pelajar Cemerlang, Kepentingan Ilmu, Akhlak Pemacu Kejayaan, Kejayaan Bersama Kumpulan dan Di Bawah Lembayung Kasih Insani.
Seramai 60 peserta berumur dari 17 hingga 20 tahun mengikuti program yang dikendalikan oleh penceramah daripada syarikat Brilliance MQ Sdn. Bhd. iaitu Ustaz Subhi Asha'ri dan Ustaz Safuan Rusdi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sekolah Henry Gurney Keningau, Alik Makim memberitahu, penganjuran program motivasi ini sangat berguna kepada para pelajar terbabit.
"Penganjuran program seumpama ini diharap akan dapat membantu dalam meneruskan kejayaan sekolah yang telah berjaya mendapat keputusan 100 peratus kelulusan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama tiga tahun berturut-turut.
"Malah, seorang penghuni sekolah ini juga telah dipilih sebagai pelajar terbaik subjek Sejarah seluruh negara pada SPM 2010," jelasnya.
Bagi salah seorang penghuni sekolah itu, Hanafiz, program yang dianjurkan sangat bermakna ke-rana ia membantu dalam membina keyakinan diri dan memberi fokus untuk mencapai matlamat hidup.
"Diharap agar program seperti ini akan dapat terus diadakan pada masa akan datang bagi membantu dan membimbing pelajar-pelajar seperti kami agar dapat menjadi insan berguna yang mampu berbakti kepada keluarga, agama dan negara," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: