Monday, October 24, 2011

Lawatan perkukuh hubungan Malaysia, Jepun


Pelajar SMK Cheras membantu pelajar Sekolah Tinggi Toyota Higashi membuat kuih tradisional di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Program lawatan sekolah antarabangsa yang sering diadakan oleh Sekolah Tinggi Toyota Higashi dari Jepun ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras, saban tahun telah berjaya memperkukuhkan hubungan kedua-dua sekolah itu.

Sejak ia mula diadakan pada 2004, Sekolah Tinggi Toyota Higashi sekali lagi, untuk kali ketujuh, mengadakan program lawatan ke SMK Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Pengetua SMK Cheras, Juahir Mondakir, lawatan tahunan ini bermatlamat untuk menjalinkan hubungan lebih erat merangkumi agama, budaya, bahasa dan adab resam antara kedua-dua negara.

"Para pelajar dari kedua-dua sekolah berpeluang mendapat pendedahan serta berkongsi maklumat yang lebih luas dan pelbagai mengenai cara hidup, kebudayaan dan pelbagai lagi perbezaan yang terdapat di Malaysia dan Jepun.

"Mereka juga dapat berinteraksi secara langsung dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih mesra tanpa bantuan medium Internet seperti e-mel atau laman sosial Facebook," jelasnya.

Lawatan tersebut kali ini sertai oleh seramai 249 pelajar dan 12 orang guru termasuklah pengetuanya, Toda Hiroki.

Tambah Juahir, program selama tiga jam setengah itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti melibatkan kebudayaan kedua-dua negara termasuklah permainan congkak, konda-kondi, batu seremban, teng-teng, lukisan batik dan persembahan lukisan kolam.

"Para pelajar juga berpeluang merasai kelazatan makanan tempatan seperti nasi lemak dan kuih muih yang beraneka jenis selain diperkenalkan dengan pakaian yang sering digunakan oleh masyarakat majmuk di Malaysia seperti baju kurung, baju melayu, cheong sam dan sari.

"Selain itu, perlawanan persahabatan futsal, bola keranjang dan badminton turut diadakan antara pelajar dari kedua-dua buah sekolah selain persembahan muzik dan pelbagai aktiviti pameran," ujarnya.

Sementara itu, Toda Hiroki berkata, banyak faedah yang diperolehi pada setiap lawatan ke sekolah ini dan ia memudahkan pelajarnya mengenali budaya serta tradisi di Malaysia.

"Kami akan terus menjalinkan hubungan dengan sekolah ini pada masa akan datang kerana maklum balas yang diterima daripada para pelajar dan guru amat positif," terangnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: