Thursday, October 27, 2011

Mak Jah Pernah Jadi Jurusolek Produksi Rashid Sibir

Mak Jah dikenali menerusi watak bomoh dan bidan dalam drama dan filem seram.

PETALING JAYA: Pelakon Maimunah Ahmad, 64, atau lebih dikenali dengan nama Mak Jah sering menghiasi drama dan filem tempatan, namun tiada siapa yang tahu dia pernah bekerja sebagai jurusolek di syarikat produksi Opera Klasik Sdn Bhd milik penerbit dan pengarah tersohor, Rashid Sibir.

Mak Jah berkata, dari situ dia mula berlakon dan kini sukar untuk untuk menolak setiap tawaran lakonan yang diberikan oleh penerbit itu walaupun watak kecil sekalipun.

“Saya mula menceburi bidang lakonan melalui kerja sebagai jurusolek artis dan waktu itu saya bekerja dengan Rashid Sibir. Waktu saya mengenalinya, umur saya dalam lingkungan 30-an.

“Sekarang ini, saya selalu berlakon di bawah arahannya dan selesa bekerja dengannya.

Rashid Sibir banyak membantu menawarkan lakonan kepada Mak Jah.

"Jadi memang susah untuk saya menolak jika dia mengajak saya berlakon apabila mengenangkan jasanya kepada saya dan dia merupakan kawan lama saya,” katanya dalam satu sidang media drama Tanah Kubur musim kedua di Rumah Malaysia, Bukit Jalil, Isnin lalu.

Jelas Mak Jah, walaupun watak yang diberikan tidak banyak babak melibatkan dirinya, tetapi kadangkala watak tersebut menguji cabarannya dan menarik.

“Saya tidak kisah watak apa pun yang diberikan. Walaupun watak sampingan, saya rasa agak menarik juga sekali sekala.

“Saya akui penonton lebih mengenali saya dengan watak bomoh atau bidan yang jahat. Pernah sekali pada tiga tahun lalu sewaktu saya ke Melaka, ada kanak-kanak yang takut dengan saya sehingga menjerit-jerit tidak mahu turun dari kereta.

“Puas bapanya memujuk tetapi akhirnya saya nekad terus pergi dari situ kerana tidak mahu menakut-nakutkan kanak-kanak itu,” katanya yang turut berpeluang melakonkan drama romantik komedi seperti Fatimah Juling, Halimah Jongang dan Awan Dania.

Menyentuh sedikit tentang kehidupannya, Mak Jah telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak serta 10 orang cucu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment