MINGGU ini krew Makan Angin musim kedua menjelajah pula ke Kuala Besut, Terengganu. Berbeza dengan sebelumnya, misi pertama memerlukan saya mereka sendiri resipi menggunakan lokan.
Perjalanan selama lapan jam dari Kuala Lumpur akhirnya tiba di Pekan Kuala Besut. Pekan yang kecil namun, unik dengan kedudukan bersebelahan jeti untuk ke Pulau Perhentian.
Seperti biasa, cabaran pertama adalah mencari bahan untuk dimasak sebelum ke dapur. Cabaran pertama mencari lokan dan sekali lagi, saya dikehendaki masuk ke dalam selut untuk mendapatkan lokan bersama seorang pengusaha lokan yang saya panggil Pak Long.
Pak Long memang mahir dalam mencari lokan dan saya ketinggalan ke belakang apabila berdepan dengan selut. Lebih menyedihkan saya hanya mendapat lima ekor lokan sahaja berbanding dengan Pak Long yang mendapat satu plastik penuh lokan.
Seterusnya saya ke Restoran Nasi Ulam Gong Kepas untuk memasak. Apa yang membuatkan saya panik sekejap apabila penerbit meminta saya masak ikut menu sendiri. Risau dan takut mula menular dalam diri apatah lagi, perlu memasak di sebelah Pak Long yang memang berpengalaman. Saya tidak ada menu khas tetapi, main campak sahaja bahan yang ada di depan mata. Alhamdulillah akhirnya bila selesai masak, Pak Long dan tuan punya restoran yang saya panggil, abang Aziz mencuba masakan istimewa saya yang diberi nama lokan ala Faiz.
Pengunjung restoran juga berpeluang merasa masakan saya dan ramai juga yang memberi pujian.
Macam tak percaya pula! Bertambah seronok apabila Pak Long kata saya boleh buka restoran suatu hari kelak.
Lokasi seterusnya kami di Kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian. Menu kali ini agak pelik tetapi, tidak di Terengganu iaitu ketupat sotong. Rasa makanan itu agak unik kerana sotong disumbat dengan pulut dan dijadikan bubur yang manis daripada gula merah. Bahan utama adalah sotong dan cabaran saya adalah mencandat sotong.
Pancing candat diturunkan dengan penuh semangat dan kedengaran nyanyian yang memeriahkan bot candat pada malam itu.
Masa terus berlalu dan jam berganti jam terus berlalu, namun, saya masih tidak memperoleh sotong yang akan digunakan keesokan harinya.
Keadaan ombak yang beralun dan deras menjadikan saya berasa pening. Akhirnya saya tewas di tengah lautan apabila mabuk laut. Saya terbaring dan aktiviti mencandat sotong kali ini gagal!
Dek mabuk laut, saya ditemani ketua Kampung Pasir Hantu menaiki bot ke tengah laut untuk membeli sotong daripada bot nelayan. Setelah memperoleh dua kilogram sotong, saya terus berjumpa dengan seorang penduduk, Rasidah.
Dia memang pakar masak menu ketupat sotong. Selain daripada sotong, saya kena pula mencari bahan-bahan lain seperti kelapa parut, gula nira dan beras pulut.
Sotong dimasak dengan santan dan dimasukkan gula nira. Rasanya memang unik, manis dan liat, namun rasanya sedap.
Selesai menjadi chef, saya terus bersantai di Coral View Resort, Pulau Perhentian Besar dengan aktiviti snorkeling dan bermain bola tampar pantai.
Pastikan anda semua tidak ketinggalan menyaksikan Makan Angin musim kedua pada esok hari, jam 8.30 malam hanya di TV9.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: