Saturday, October 1, 2011

Kemewahan di banjaran Himalaya

Biarpun dianggap terpinggir dari peta pelancongan dunia, Bhutan tetap mempunyai tarikan tersendiri yang sukar diperoleh di mana-mana negara lain di dunia.



BHUTAN yang terletak di barat dan hujung Himalaya merupakan salah satu destinasi percutian termahal di dunia. Tidak hairanlah ia dianggap syurga dalam kalangan golongan berada dan selebriti terkenal. Atas tarikan dan status tetamunya itu, kosnya juga dijangka bertambah mahal pada tahun hadapan.

Pelancong asing yang berkunjung ke sini perlu membuat tempahan awal melalui operator pelancongan yang berdaftar. Lazimnya, mereka mengenakan kadar minimum pada waktu puncak sekitar AS$200 (RM600) sehari merangkumi pakej seperti penginapan, makanan dan pengangkutan.

Keaslian banjaran Himalaya yang dilitupi gunung salji dan sungai-sungai dari gunung yang sentiasa mengalir meneruskan polisi 'pelancongan mewah, berimpak rendah' yang sengaja diperkenalkan bagi memelihara persekitarannya yang masih belum terusik daripada gangguan pelancongan komersial.

Bermula tahun hadapan, kadar caj pada waktu puncak akan meningkat kepada AS$250 (RM750) sehari per musim. Ini bermakna, pasangan pelancong yang menginap di hotel-hotel yang menawarkan pakej tersebut terpaksa membayar harga AS$500 (RM1,500) semalam.


VILA mewah ini disukai ramai pelancong yang sanggup membayar harga tinggi kerana mahu merasai keindahan dan ciri privasinya.


"Percutian mewah ini mungkin nampak seperti tidak berbaloi dari sudut ekonomi, namun ia bertujuan memastikan keaslian alam semula jadi Bhutan terus kekal untuk tatapan para pelancong dan generasi akan datang," kata Pengarah Urusan Lembaga Pelancongan, Kesang Wang.

"Jika kami membuka negara ini seluas-luasnya, pendapatan kami mungkin meningkat mendadak, tetapi apakah harga yang perlu dibayar?

"Kami menahan diri daripada merosakkannya dalam mengejar pembangunan ekonomi tanpa mengambil kira impak sosial dana alam sekitar," ujarnya.

Walaubagaimanapun, pada tahun hadapan, lembaga itu berharap dapat meningkatkan jumlah pelancong kepada lebih 50 peratus iaitu sejumlah 100,000 orang dengan menawarkan pakej percutian.

Laluan penerbangan juga mahu ditambah di beberapa bandar utama seperti Hong Kong dan Singapura.

Selama ini, Bhutan dikenali melalui doktrin pembangunan ekonomi yang dikenali sebagai 'Kebahagiaan Kebangsaan Kasar' yang mengambil kira kesejahteraan mental hampir 700,000 rakyatnya berbanding mengukur keuntungan kewangan semata-mata.

Negara yang terasing dan tidak pernah dijajah biarpun kedudukannya terletak di antara India dan China itu menjadikan hal perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai salah satu polisi yang mendasari budaya uniknya.

Pakaian tradisional


RUANG restoran di Hotel Uma, Paro memberi ketenangan buat para penginapnya.


Rakyat Bhutan diwajibkan memakai pakaian tradisional ketika melawat pejabat-pejabat kerajaan dan memakai pakaian elegan yang ditenun setiap hari sebagai mezahirkan kebanggaan mereka pada negara.

Keputusan Bhutan untuk mengelakkan kebanjiran pelancong luar terutamanya golongan pengembara backpackers yang mencari percutian murah di Himalaya dan jirannya Nepal, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi yang menarik kepada sesiapa yang mahu menikmati percutian mengagumkan.

Beberapa bintang Hollywood seperti Leonardo di Caprio dan Kiera Knightley sebelum ini pernah menginap di resort di Uma Paro, salah satu daripada rangkaian hotel mewah dan eksklusif yang ditawarkan kepada para pelancong di negara itu.


BINAAN unik ini begitu menyerlah di atas landskap semula jadi.


Menginap di hotel-hotel sedemikian memerlukan pelancong membayar kos tambahan berbanding pakej lawatan asas yang berharga AS$200 (RM600) untuk lawatan sehari. Ini bermakna, bermalam di suite Uma Paro memerlukan mereka membayar sehingga AS1,000 (RM3,000) semalam.

Ravi Nischal dari Kumpulan Taj, pemilik berbangsa India yang memiliki rangkaian hotel-hotel mewah seperti di Thimpu, berkata, Bhutan mempunyai kelas tersendiri kerana ia kurang dikunjungi dan kebanyakan pelancong hanya mampu mengimpikan untuk melawatnya.

"Setiap destinasi yang ditawarkan di sini disertai konotasi mewah," ujarnya.

"Terdapat juga banyak misteri yang mendasari Bhutan. Ia dikenali sebagai Shangri-La Terakhir," katanya, merujuk kepada syurga Himalaya yang dinyatakan dalam novel terbitan 1933, Lost Horizon karya James Hilton.


SUASANA hebat di pinggir gunung dekat Paro ini dapat disaksikan pelancong yang mahu melawat biara Taktsang yang digelar Tiger's Nest.


Ia juga pernah digelar Tanah Naga Kilat sebelum ini kerana ketiadaan jalan raya dan mata wang sehinggalah tahun 1960-an. Rangkaian televisyen pula hanya dinikmati pada 1999 sebagai salah satu cara menarik perhatian pelancong asing.

Percutian mahal

Seorang ahli terapi, Nicole Feerbrucker, 56, yang berasal dari Belanda memberitahu bahawa dia mahu melawat ke negara itu sejak melihat gambar-gambar yang menunjukkan bekas raja negara itu melalui majalah National Geographic pada tahun 1974.


LELAKI tempatan ini berjalan melewati ruang siar kaki Memorial Choeden yang dibina bagi mengingati Raja Jigme Dorji Wangchuk.


Wanita itu berkata, tarif harian dan caj penerbangan tinggi yang dikenakan oleh satu-satunya syarikat penerbangan milik negara itu, Druk Air, bagi menghubungkan Bhutan ke dunia luar, menjadikan percutian kali itu agak mahal untuk dia dan keluarganya.

"Namun, berkunjung ke Bhutan dengan membayar jumlah yang agak besar untuk bercuti dapat memastikan kelangsungan negara ini seperti sebelumnya. Secara tidak langsung, ia dapat menghindari pengaruh luar," kata Feerbrucker.

Sasaran 100,000 pelancong tahun hadapan menimbulkan perasaan kurang senang segolongan rakyatnya yang bimbang kesan kemasukan pelancong secara tiba-tiba itu.

Menurut Karma Tshiteem, ketua yang berpengaruh dalam Suruhanjaya Kebahagiaan Kebangsaan Kasar iaitu sebuah agensi penggubal polisi kerajaan, peningkatan pelancong mampu diserap dengan risiko kerosakan yang minimum.


PATUNG Buddha Dordemnma sedang dibina di salah sebuah puncak panorama di Thimphu.


"Kunci dalam strategi kami ialah mencapai jumlah 100,000 pelancong tanpa sebarang kesan negatif dan angka itu kini semakin meningkat sepanjang tahun di seluruh negara," katanya.

Ketika ini, sebahagian besar pelancong tiba pada musim bunga dan musim luruh untuk menikmati percutian sepanjang minggu di tiga lembah yang mudah dikunjungi dari bandar Paro, yang menempatkan lapangan terbang antarabangsa di negara itu.

Lembaga Pelancongan Bhutan mahu menarik kehadiran para pelancong yang mahu menikmati pakej percutian mewah, menghadiri persidangan dan pelancongan kembara. Begitupun, Bhutan tidak menawarkan aktiviti penjelajahan di kawasan pergunungan kerana ia dianggap tempat suci bagi penduduk negara itu.

Melalui pelan pemasaran berterusan di luar negara dan peningkatan jumlah penerbangan, pihak pelancongan berharap dapat meningkatkan kehadiran pelancong tanpa menjejaskan alam sekitar dan keaslian di negara yang paling terpencil di dunia itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: