Wednesday, October 19, 2011

Konvensyen Keluarga Melayu Muslim


Pasangan yang berumah tangga perlu melengkapkan diri dengan ilmu mendidik anak-anak supaya kehidupan berkeluarga makin bahagia. - Gambar hiasan


KELUARGA bahagia adalah impian setiap pasangan yang berumah tangga. Namun, pepatah 'panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari' sering berlaku apabila krisis dalam rumah tangga disebabkan kurangnya pengetahuan untuk berhadapan dengan situasi tersebut.

Sehubungan itu, Ikatan Muslim Malaysia (Isma), dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) akan menganjurkan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 pada 23 Oktober ini.

Ia akan diadakan di Dewan Auditorium D8, Kompleks D, Putrajaya mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Konvensyen diadakan bagi memberi pendedahan mengenai isu semasa permasalahan keluarga masa kini dan rahsia kejayaan sebuah keluarga.

Jakim dalam kenyataannya memberitahu, dua sesi seminar pembentangan kertas kerja dan forum akan diadakan dalam konvensyen ini.

Antaranya, membicarakan mengenai peranan ibu bapa, pendidikan anak-anak serta realiti keluarga Melayu sekarang.

Antara penceramah adalah Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik & Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang, Prof. Dr. Badrulhisham Abdul Aziz; pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr. Sidek Baba, Pengasas dan rakan kongsi utama HIJRAH Wealth Management Sdn. Bhd., Mahadzir Md. Isa; Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd. Rahman.

Yuran penyertaan adalah RM10. Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web www.konvensyenkeluarga.net atau menghubungi Rasyidah di 019-2676074.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: