Wednesday, October 19, 2011

Memperbaharui pendekatan dakwah

TERDAPAT pelbagai organisasi dakwah di Malaysia pada hari ini dan setiap organisasi mempunyai peranan yang tersendiri dan pelbagai. Persoalannya adakah setiap organisasi telah memenuhi matlamat masing-masing dan telah mencapai tahap yang berkesan dalam berdakwah.

Jika belum, ada baiknya setiap organisasi melihat semula prestasi masing-masing khususnya dalam aspek pendekatan dakwah yang digunakan. Pendekatan dakwah masa kini perlu ke arah yang lebih profesional.

Ini merangkumi aspek dan modul latihan yang mempunyai konsep yang tertentu, merealisasikan prinsip seek first to understand, then to be understood.

Maksudnya, melakukan penilaian kepada golongan sasaran iaitu yang mempunyai pelbagai kategori, pangkat dan juga karakter atau pun pelbagai ragam manusia.

Oleh yang demikian dakwah yang hendak disampaikan perlu bersifat ergonomik, iaitu disiplin sains yang berkaitan dengan design mengikut keperluan manusia, merangkumi teori, prinsip, data dan metod ke arah memanfaatkan secara maksimum kemanusiaan manusia dan sistem secara keseluruhannya.

Selain itu, pemantapan pengurusan dakwah ini juga merangkumi aspek pendakwah. Membina kualiti manusia pendakwah amat penting khususnya dari aspek ilmu, maklumat, kemahiran dan sikap.

Sekiranya kualiti pendakwah dapat dibina sekali gus ia dapat melahirkan pendakwah yang berdisiplin serta mampu berkomunikasi dengan golongan sasar dengan sempurna serta mampu menghayati konsep hikmah dalam dakwah.

Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: Serulah ke jalan tuhan-mu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya tuhan-mu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk. (an-Nahl: 125)

Menurut Ali Yaakub Matondang (2006), dalam bukunya Dakwah dinamik menyebut, pada umumnya tahap dakwah bil-hal masih pada tahap sederhana.

Dakwah bil hal sebagai satu manhaj atau pendekatan dakwah sosial (manhaj al-amal ma'a al-jamaah), perlu menjadikan kaedah-kaedah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagai garis panduan.

Terdapat lapan kaedah dakwah sosial yang dilakukan oleh Rasulullah SAW iaitu:

a. Komitmen dan jati diri

pendakwah (thiqah al-da'iyah).

b. Matlamat dan objektif yang jelas

(tahdid al-hadaf).

c. Memahami situasi dan keadaan

masyarakat (al-taaruf ala tabi'at

al-mujtama').

d. Penyediaan kepimpinan (tarbiyah

qiyadiyah).

e. Penyampaian dakwah secara jelas

(al-ard al-wadih).

f. Menciptakan keunggulan dan

daya penarik dakwah (ijad istiqtab

hawl al-dakwah).

g. Moral dan akhlak mulia (al-suluk

al-mutabiq li al-mabadi').

h. Sabar dan tabah menghadapi

cabaran (al-sabr wa al-tahammul).

Kaedah-kaedah di atas merupakan tonggak yang kukuh dalam mengaplikasikan dakwah terutama dalam melaksanakan dakwah bil hal.

Pendekatan dahwah bil hal

Selain itu, dalam pelaksanaan dakwah bil hal ia memerlukan pendekatan yang sesuai dengan keadaan yang dihadapi. Di antaranya adalah pendekatan dalam bentuk berikut:

a. Taui'yah (kesedaran). Ini bermaksud mengarahkan kesedaran agar sumbangan dakwah semakin jelas.

Dengan demikian kerja-kerja dakwah menjadi lebih bertenaga, efisien dan produktif, kerana masyarakat atau golongan sasar menyedari potensi yang ada serta memiliki orientasi yang jelas dan ini akan memudahkan golongan sasar di arah untuk melakukan kebaikan.

b. Irsyad (bimbingan). Ini bermaksud memberi bimbingan sehingga masyarakat tidak terjebak dalam ranjau-ranjau kesesatan serta berada di jalan yang benar. Mampu menghadapi rintangan secara bermaruah, tidak pesimis dan tidak berputus asa dalam menghadapi sebarang situasi.

c. Himayah (perlindungan). Ini bermaksud memberikan perlindungan terhadap nilai-nilai murni sehingga tidak dicemari oleh tingkah laku menyimpang dan juga memberikan perlindungan kepada golongan sasar dari segala bentuk kezaliman.

d. Tanmiyah (pembangunan). Bermaksud pembangunan dan pengembangan kehidupan masyarakat ke arah kemajuan yang membawa kepada kecemerlangan dan kebahagiaan mental dan fizikal, dunia serta akhirat.

Oleh yang demikian adalah wajar suatu tindakan drastik perlu diambil terhadap kaedah dan pendekatan dakwah yang dilakukan oleh semua organisasi selama ini.

Sebabnya, tahap penghayatan Islam secara keseluruhannya tidak banyak berubah kerana masih belum mencapai tahap mukmin dan muhsin seperti yang diharapkan dan didambakan oleh kita semua sebagai pencinta Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: