Monday, October 10, 2011

Konsert peringati Jackson


PIXIE LOTT membuat persembahan dalam konsert penghormatan Michael Jackson di Cardiff, Wales kelmarin. – Reuters


CARDIFF, Wales – Puluhan ribu peminat menggegarkan konsert penghormatan untuk penyanyi terkenal, Micheal Jackson kelmarin di Stadium Millenium di sini.

Anak Jackson iaitu Prince, 14, Paris, 13, dan Blanket, 9, tampil berani di pentas untuk mengumumkan dan memperkenalkan persembahan video daripada penyanyi, Beyonce.

“Kami begitu gembira kerana berada di sini pada malam yang cukup istimewa bagi memberi penghormatan kepada ayah kami,” kata Paris yang memakai jaket kulit berwarna merah yang dipakai oleh Jackson menerusi klip video Thriller.

Konsert penghormatan Michael Forever yang diadakan di sini berlangsung ketika perbicaraan kes doktor peribadi Jackson, Conrad Murray dituduh membunuhnya tanpa sengaja belum berakhir.

Abang kepada Jackson iaitu Jermaine dan Randy memboikot konsert itu kerana menganggap masanya yang tidak sesuai.

Adik Jackson, Janet memberitahu ia begitu sukar untuk mengadakan persembahan di Cardiff ketika sesi perbicaraan tersebut belum berakhir.

Bagaimanapun, ibunya Jackson, Katherine mahu konsert tersebut diteruskan.

Marlon iaitu abang Jackson yang paling tua berkata, konsert itu perlu dilihat untuk meraikan muzik Jackson.

Antara penyanyi yang membuat persembahan dalam majlis itu ialah Pixie Lott, Alexandra Burke, Christina Aguilera, Cee Lo Green dan Jamie Foxx.

Jackson meninggal dunia pada 25 Jun 2009 di kediamannya di Los Angeles akibat kegagalan jantungnya berfungsi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: