Monday, October 10, 2011

Bush rindu interaksi dengan askar AS


GAMBAR fail menunjukkan George W. Bush berdiri di sebelah jaguh pelumba basikal, Lance Armstrong di Taman Big bend, Texas pada 27 April lalu. – Agensi


DALLAS – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush berasa gembira kembali ke kediamannya di Texas selepas lapan tahun tinggal di White House, Washington kerana berkhidmat sebagai Presiden AS.

Namun, bekas ketua tertinggi tentera AS itu menyatakan dia rindu untuk berinteraksi dengan askar-askar AS.

Walaupun membuat keputusan untuk menghantar tentera AS ke Afghanistan dan Iraq semasa pemerintahannya, bekas Presiden tersebut menyatakan dia mahu memastikan anggota-anggota veteran dan anggota tentera mengetahui mereka masih mendapat sokongannya.

“Saya berasa sedikit kebimbangan bahawa veteran (bekas askar AS) tidak berpendapat bahawa saya masih menghormati mereka dan banyak mengambil berat mengenai mereka,” katanya pada satu wawancara dengan agensi berita AP.

Bush menjadi hos pertandingan golf Hari Pahlawan yang bermula pada hari ini di pinggir Dallas.

Majlis itu disertai anggota-anggota tentera AS yang cedera semasa berkhidmat di Iraq dan Afghanistan termasuk mereka yang kehilangan kaki dan tangan serta kecederaan di otak.

Selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Presiden AS dua tahun lalu, Bush dan isterinya, Laura membeli sebuah rumah di sini dan bekerja di Pusat Presiden George W. Bush di Universiti Southern Methodist yang akan dibuka pada 2013.

Bush berkata, dia tidak mahu golongan veteran silap dengan sikap peribadinya yang kurang menghargai sumbangan mereka di medan pertempuran.

“Mereka tidak melihat saya dan tidak melihat saya bersama dengan tentera.

“Justeru, saya menggunakan golf dan mengayuh basikal di kawasan pergunungan untuk terus berhubung dengan pihak ketenteraan, mereka yang berkhidmat semasa kepimpinan Presiden saya,” kata Bush.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: