Thursday, October 20, 2011

Kempunan RM350,000

REMAN...suspek kes culik  dibawa ke Mahkamah Selayang untuk perintah tahanan reman.
REMAN...suspek kes culik dibawa ke Mahkamah Selayang untuk perintah tahanan reman.

KUALA LUMPUR: Sekumpulan enam orang termasuk seorang wanita yang menculik seorang ahli perniagaan untuk mendapat wang tebusan RM350,000 berputih mata apabila dicekup dalam tempoh tiga jam selepas membebaskan seorang ahli perniagaan yang diculik mereka 12 jam lebih awal di Selayang, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun dan memiliki premis perniagaan insurans di Jalan Kuching, di sini, baru saja menghantar anaknya ke sekolah rendah sebelum berjoging di kawasan berdekatan rumahnya di Batu Caves.


Sumber berkata, ketika dalam perjalanan pulang, dia didatangi lima lelaki bersenjatakan parang dan pistol di hadapan rumahnya sebelum memaksanya menaiki sebuah Proton Wira.

“Mangsa dilarikan ke kawasan Taman Metro Prima, Kepong dan disembunyikan dalam kereta berkenaan sehingga jam 10 pagi di kawasan tempat letak kereta di perumahan itu.


“Selepas yakin diri mereka tidak diekori, kumpulan itu membawa mangsa ke sebuah unit rumah flat di kawasan perumahan berkenaan sebelum mangsa dipukul kerana enggan memberikan nombor telefon keluarga terdekatnya,” katanya.


Menurutnya, selepas memperoleh nombor telefon isteri mangsa, kumpulan terbabit menghubungi wanita itu meminta wang tebusan RM350,000 jika mahu suaminya dibebaskan dengan selamat.

Katanya, sebaik menerima panggilan daripada kumpulan itu, isteri mangsa menghubungi polis kerana bimbang keselamatan suaminya.


Beliau berkata, dari jam 3 petang hingga 7 malam pada hari kejadian, kumpulan itu menukar tiga lokasi untuk isteri mangsa menyerahkan wang tebusan bagi mengelak dikesan polis.

“Bagaimanapun, selepas mereka mengetahui isteri mangsa membuat laporan polis, kumpulan itu membebaskan mangsa tanpa mengambil wang tebusan jam 7 malam di tepi jalan di Kepong.


“Hasil maklumat diberikan mangsa, kumpulan itu berjaya dijejaki.


“Pada jam 10 malam, lima lelaki dan seorang wanita berusia 20-an dicekup di sekitar Kepong, namun ketika ditahan polis tidak menemui sebarang senjata,” katanya.


Sumber berkata, mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.


Semalam, kira-kira jam 10 pagi, enam suspek dibawa ke Mahkamah Selayang untuk mendapatkan perintah tahanan reman.


Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mangsa berjaya diselamatkan.


Katanya, sidang media akan diadakan dalam masa terdekat berhubung kejadian itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: