
Mengenakan sesuatu rekaan sama ada pakaian mahupun aksesori khusus ditujukan untuk anda, pasti menimbulkan perasaan berbeza.
Mengapa? Kerana apabila perasaan 'kepunyaan' itu wujud, pastinya anda akan dapat menyerlahkan kemampuan dan keyakinan diri dengan lebih baik.
Seiring dengan prinsip itu jugalah jenama terkenal, French Connection tampil dengan kempen yang lain daripada lain.
Tujuh kempen I am (sayalah) yang berlangsung dari September hingga Disember, masing-masing memberikan maksud yang tersendiri.
Ada mesej tertentu yang ingin disampaikan oleh pereka fesyen jenama yang lebih mudah dikenali dengan singkatan FCUK ini.
Menyemarakkan sambutan atau dengan makna lain 'semangat' bergaya, I am sebenarnya adalah bentuk aura yang timbul apabila si pemakai memakai koleksi keluaran musim luruh/dingin 2011 ini.
Bermula dengan I am The Trailer diikuti dengan I Am The Blouse, I am The Lucky Shirt, I am The Skirt, I am The Jumper dan I am The Trousers kesemua ini disatukan dalam satu konklusi diberi nama I am The Magic Dress yang bakal dipamerkan pada bulan kemuncaknya iaitu Disember ini.
Wanita yang memakai jenama French Connection ini dikatakan boleh memaparkan imej sebenar mereka dengan gaya pakaian yang dipakai. Manakala bagi lelaki pula, gaya kelelakian mereka terserlah dalam potongan pakaian yang rugged untuk apa jua majlis.
Namun, apa yang ingin ditekankan ialah fesyen untuk wanita bagi koleksi ini memang lain daripada kebiasaan dengan penambahan unsur sulaman, pakaian luar dan potongan lebih feminin.
Untuk lelaki pula, walaupun mengenengahkan unsur ranggi, ia sebenarnya mengambil inspirasi konsep ketenteraan yang sudah tentu menyerlahkan lagi kehebatan mereka .
Tidak dilupakan juga adalah gabungan unsur retro tahun 1970-an untuk pakaian wanita yang diterjemahkan dalam potongan gaun maxi labuh, blaus baldu dan penambahan perincian labuci yang glamor.
Selain pakaian, French Connection juga menampilkan koleksi aksesori hebat bergaya serta unik.
Koleksi aksesori untuk musim luruh/dingin ini mengambil inspirasi daripada motif kulit kura-kura dan buaya. Pastinya aksesori ini amat sesuai dipadankan dengan koleksi I am ini.
Bagi penggemar fesyen yang teruja dengan kempen I am FCUK ini boleh berkunjung ke butik French Connection yang terletak di Pusat Membeli Belah One Utama (fasa 2), Petaling Jaya, Selangor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: