SETIAP pasangan yang bernikah mengharapkan rumah tangga mereka bahagia dan direstui ibu bapa kedua-dua pihak.
Namun agak sukar untuk mendapat kebahagiaan itu jika pernikahan tidak direstui ibu bapa sehingga mencetuskan pelbagai cerita yang tidak enak didengar.
Dalam kes seperti ini, biasanya hubungan dengan mentua akan menjadi masalah jika kehadiran menantu tidak berkenan di hati.
Begitu mukadimah cerita saya minggu ini. Luahan hati seorang isteri bernama Maiza (bukan nama sebenar) yang menghadapi masalah dengan mentuanya, Zakiah (bukan nama sebenar).
Semuanya kerana Maiza telah ditangkap khalwat dengan anak lelaki bongsu Zakiah, Manan (bukan nama sebenar).
Kita ikuti kisah Maiza kepada untuk iktibar kita bersama.
"Saya berusia lewat 20-an bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat pemasaran dan telah bernikah dengan Manan seorang pegawai di sebuah syarikat swasta dua tahun lalu.
"Pernikahan kami berlangsung setelah kami ditangkap khalwat ketika sedang berbual sambil menonton TV di rumah sewa saya. Memang kami selalu berjaga-jaga tetapi pada hari kejadian, rakan serumah saya telah keluar membeli barang di kedai.
"Pada masa kami tinggal berdua-duaan, pegawai pencegah maksiat dan AJK kampung datang menyerbu. Kami terperangkap walaupun kami tidak buat apa-apa kecuali sedang menonton TV, pintu rumah terbuka luas dan lampu satu rumah terpasang.
"Bagaimanapun penjelasan yang kami berikan kepada mereka tetap tidak diterima walaupun teman serumah saya yang pulang dari kedai turut mengaku dia ada di rumah sebelum itu.
Mereka langsung tidak mahu mendengarnya.
"Saya dan Manan reda dengan apa yang berlaku. Memang kami ada niat untuk bernikah tetapi tidaklah dalam tempoh terdekat.
"Kejadian yang berlaku menyebabkan kami segera bernikah. Faham-fahamlah apabila sudah ditangkap khalwat. Mana ada orang yang suka termasuk kaum keluarga dan kawan-kawan.
"Kami tebalkan muka sebab kami tidak berbuat apa-apa yang salah jauh sekali perbuatan mungkar. Urusan pinangan berjalan seperti sepatutnya walaupun ibu Manan tidak mahu menerima saya.
"Setelah dipujuk, dia mengalah. Majlis perkahwinan kami berlangsung dengan meriah, macam perkahwinan orang lain juga.
"Selepas berkahwin saya meminta maaf kepada mentua saya dan berjanji akan menjadi isteri dan menantu yang baik.
"Sedihnya dia menjawab dengan berkata, sudah ditangkap khalwat macam mana hendak jadi isteri dan menantu yang baik?
"Saya tidak menjawab sebab terlalu sedih dan kecewa. Begitu hukuman yang dijatuhkan oleh ibu mentua saya. Sejak itu hubungan saya dengan mentua menjadi dingin berbanding penerimaan keluarga saya terhadap Manan.
"Saya cuba menyesuaikan diri dan berusaha mendekati mentua. Seboleh-bolehnya saya cuba mengambil hatinya kerana tidak mahu selama-lamanya hubungan kami dingin. Tambahan pula kami tinggal sebumbung.
"Malangnya dia tetap menolak kebaikan yang ingin saya wujudkan dan selalu mencari kesilapan saya.
"Semua yang saya buat tidak kena. Tolong tidak kena, tidak tolong pun jadi masalah. Kehadiran saya bagaikan patung di dalam rumah itu. Saya merasa sedikit tenang apabila Manan ada di rumah.
"Saya duduk dia bangun, saya masuk bilik dia keluar, saya keluar dia masuk bilik. Kalau kami menonton TV di ruang tamu dia akan masuk bilik.
"Diajak makan sama-sama langsung tidak dipedulinya malah dia akan mencari pelbagai alasan untuk mengelak daripada makan bersama saya dan suami.
"Saya merasa amat sedih dengan keadaan ini. Saya faham dia malu tetapi kami telah terangkan apa sebenarnya berlaku. Mahkamah juga telah menerima pengakuan kami.
"Siang malam saya berdoa agar mentua akan lembut hati, menerima saya dan berbaik-baik dengan saya, namun sehingga kini ia tinggal harapan semata-mata.
"Kini dua tahun usia perkahwinan kami. Setakat ini kami masih belum dikurniakan zuriat walaupun saya mengharapkan Allah SWT memberi saya zuriat lebih awal bagi menambat hati mentua.
"Saya berharap kehadiran cucu dalam hidupnya akan mengubah pandangannya terhadap saya. Saya tahu saya bersalah. Saya sudah bertaubat dan minta ampun kepadanya.
"Saya juga manusia biasa, buat silap dan saya berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Lagipun kami telah bernikah secara sah, tidak ada apa yang perlu dijadikan isu lagi.
"Saya hairan, kenapa ibu bapa dan keluarga saya boleh menerima Manan dengan baik sedangkan mentua saya tidak dapat menerima saya? Mak saya hanya minta saya bersabar dan berdoa, satu hari hati mentua saya akan lembut juga.
"Saya akan tunggu saat itu. Mudah-mudahan Allah SWT akan tunaikan hajat saya itu. Saya mahu jadi menantu yang baik isteri solehah dan hidup bahagia seperti pasangan suami isteri yang lain. Saya amat berharap hajat saya itu akan menjadi kenyataan," Maiza menamatkan cerita.
Saya amat simpati dengan masalah yang Maiza lalui namun ketabahan dan kesabaran Maiza amat saya kagumi.
Perasaan malu akibat ditangkap khalwat tidak menghalangnya daripada mengambil hati mentua dan orang sekeliling. Malah saya berharap Maiza akan meneruskan sikapnya itu sehingga hati ibu mentuanya lembut dan dapat menerimanya sebagai menantu.
Apa yang sudah berlaku jadikan pengajaran. Saya percaya setiap manusia yang insaf dan sedar dengan perbuatannya akan diberi rahmat oleh Allah SWT dan dilindungi dari segala bahaya.
Nasihat saya setelah keadaan reda, elok ajak suami berpindah dan tinggal berasingan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih kalut.
Mengakhiri catatan, pesanan saya lapangkan dada ketika menghadapi masalah kerana cara itu membolehkan anda berfikir dengan waras dalam mencari satu penyelesaian yang membahagiakan.
Salam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: