Friday, October 28, 2011

Kembara bersama angkasawan

Premier Aims Sdn Bhd memeterai perjanjian persefahaman Rakan Niaga Kembara Angkasawan Negara dengan empat agensi bernilai RM43.78 juta.

Usaha sama tersebut melibatkan Premier Aims Sdn Bhd bersama Majlis Belia Malaysia (MBM); Usahanita Johor; Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM); dan Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Presiden Premier Aims Sdn Bhd, Azemi Mohd Noor berkata, nilai usaha sama itu merangkumi 220,000 baucar pakej pelancongan ke Shanghai-Hangzhou, China yang disumbangkan oleh keempat-empat agensi terbabit.

Menurutnya, program Kembara Angkasawan Negara dijalankan untuk masyarakat Malaysia yang ingin melancong sambil menimba pengalaman menarik yang dimiliki oleh Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

“Sebagai permulaan, program kembara ini akan menjelajah ke negara China pada November ini di mana destinasi pertama yang kami pilih adalah Shanghai dan Hangzhou.

“Kami memilih dua destinasi itu kerana ia merupakan destinasi pelancongan yang indah dan dikenali sebagai pusat membeli belah yang murah, makanan yang halal serta kawasan perusahaan dan perindustrian yang mempunyai masyarakat Islam yang teramai di dunia iaitu sekitar 40 juta orang,” katanya semasa majlis menandatangani perjanjian itu di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Usahanita Johor, Datuk Paduka Rokiah Omar dan Pengerusi MFA, Abdul Malik Abdullah.

Sementara itu, Dr Sheikh Muszaphar berkata, selain tertumpu kepada pelancongan, program ini juga membuka peluang perniagaan dan perdagangan kepada golongan bumiputera khususnya golongan belia dan usahawan.

“Saya yakin program ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan kerana pakej yang ditawarkan menarik dan harganya berpatutan,” katanya sambil memberitahu seramai 200 orang sudah mendaftar untuk sesi lawatan pertama pada 10 November ini.

Pakej yang ditawarkan berharga RM199 selama lima hari empat malam merangkumi penginapan di hotel bertaraf empat bintang, makanan halal, pengangkutan serta khidmat pemandu pelancong.

Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut pakej ini boleh mela- yari laman www.cutibagus.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: