Tuesday, October 11, 2011

Jelajah Salmoni penuh debaran


Jessica, seekor badak sumbu Afrika yang jinak dengan Salmoni.


BAGI jurulatih dan juga pakar tingkah laku binatang ini, pengalaman berada di Afrika dan juga India merupakan satu pengalaman yang berbeza dan penuh debaran.

Pernah tampil melalui program Into The Lion's Den di saluran Discovery Channel, kini Dave Salmoni kembali dengan World's Deadliest Towns juga di saluran yang sama.

World's Deadliest Towns bakal membawa penonton meneroka ke perkampungan terpencil di Bengal Barat dan Sunderbans, India serta Sungai Zambezi di Zambia.

Di tiga lokasi berbeza, Salmoni terpaksa berhadapan risiko diserang gajah liar, harimau belang mahupun badak sumbu.

Menurut Salmoni, penduduk di kawasan tersebut terdedah kepada bahaya terhadap serangan binatang berkenaan hampir setiap hari.

"Melalui World's Deadliest Towns, saya ingin membawakan kepada penonton tentang cabaran yang terpaksa dihadapi oleh penduduk di sana untuk meneruskan kehidupan.

"Bayangkan penduduk di sana sentiasa hidup dalam ketakutan kerana sentiasa diancam binatang buas. Setiap pergerakan mereka sentiasa diperhatikan," katanya ketika ditemui di Hotel Hilton, Kuala Lumpur ketika majlis pelancaran program tersebut baru - baru ini.

Menceritakan pengalamannya di Bengal Barat, India, kata Salmoni, gajah yang menyerang penduduk di sana bukan sahaja memijak, merodok dan meleraikan satu demi satu anggota manusia dengan menggunakan kakinya malah turut memakan daging mereka.

"Gajah adalah haiwan yang sangat lemah lembut. Namun apabila kawasan mereka dicerobohi, ia akan bertindak sebaliknya," jelas ahli zoologi itu.

Sementara itu, menurut Salmoni, di Sungai Zambezi, Zambia pula, badak sumbu yang dianggap sebagai haiwan yang tidak berbahaya, telah membunuh sembilan orang sekeluarga.

"Bagi penduduk kampung di sana, mereka percaya kejadian tersebut ada kaitan dengan amalan voodoo ataupun ilmu hitam.

"Penduduk di Afrika sangat mempercayai perkara tahyul. Oleh itu, demi memahami dan merasai apa yang mereka amalkan, saya turut menyertai upacara menghalau hantu badak sumbu tersebut," ujarnya.

Manakala di Sunderbans, India, harimau Bengal menjadi pembunuh nombor satu penduduk di sana.

Jelas Salmoni, perkara tersebut telah meletakkan nyawa seluruh penduduk kampung dalam bahaya.

"Malah, lebih teruk lagi, serangan binatang pemangsa itu juga semakin meningkat," katanya.

Meletakkan dirinya dalam keadaan penuh risiko, Salmoni bakal membongkar dan mendedahkan krisis yang melanda dua spesies mamalia berbeza ini selain mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.

World's Deadliest Towns memulakan tayangan perdananya setiap hari Selasa bermula pukul 9 malam ini menerusi Discovery Channel.

Sementara itu, siaran ulangannya pula adalah pada setiap hari Rabu pukul 12 tengah malam, 8 malam dan 2 petang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: