Monday, October 3, 2011

Jamin beras cukup

Bakri Hamzah
Bakri Hamzah

PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menghadapi sebarang kejutan pasaran dengan memastikan stok bekalan beras negara mencukupi termasuk mengikat perjanjian dengan negara pembekal.

Pengarah Urusannya, Bakri Hamzah berkata, ketika ini simpanan beras negara berjumlah 292,000 tan metrik dengan stok perdagangan hampir 200,000 tan metrik dalam satu masa untuk menghadapi sebarang kejutan pasaran serta mampu menawarkan harga yang stabil kepada pengguna.


“Kami juga sentiasa mengamalkan pemerolehan strategik dengan gabungan kontrak semasa dan jangka masa panjang serta menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan negara pengeluar untuk mendapat jaminan bekalan apabila berlakunya sesuatu krisis.

“MoU dengan kerajaan Vietnam umpamanya memberi jaminan kepada Bernas mendapatkan bekalan 800,000 tan metrik setahun jika berlakunya krisis bekalan beras dunia,” katanya kepada Bisnes Metro, di Kuala Lumpur.


Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, timbul ura-ura mengatakan kerajaan Thailand akan mengenakan kadar upah tinggi kepada petani dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada harga beras.


“Thailand adalah pengeksport beras terbesar dunia dan sebarang tindakan kerajaan Thailand akan memberi kesan kepada harga beras dunia dan negara pengimport beras termasuk Malaysia.

“Buat masa ini, kami mengimport beras khususnya daripada Vietnam, Thailand dan Pakistan. Dengan senario semasa, kami akan terus mempelbagaikan negara pembekal dan akan mengimport lebih banyak beras daripada negara seperti Pakistan, India, Myanmar dan Kemboja bagi menggantikan beras dari Thailand,” katanya.


Bagaimanapun, menurutnya agak sukar untuk menganggarkan kenaikan harga beras pada masa ini kerana perlu menunggu impak ekoran kenaikan harga beras dari Thailand ke atas harga beras dari negara lain seperti Vietnam, Myanmar, Pakistan dan Kemboja.

“Namun, jika kenaikan harga beras dari negara lain turut berlarutan, harga beras import Bernas terpaksa diselaraskan bagi memastikan kita akan terus mendapat bekalan mencukupi demi keperluan negara.


“Ia juga secara tidak langsung memerlukan kerajaan menambah subsidi bagi beras ST15 untuk diselaraskan dengan kos kenaikan harga beras yang baru,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: