Tuesday, October 18, 2011

Jaafar Onn ceriakan orang Kashmir

Jaafar Onn memang terkenal dengan sifatnya yang membuat lawak dengan selamba. Ingatkan lawak di pentas atau di kaca TV sahaja, rupa-rupanya di mana-manapun macam tulah lagak Jaafar Onn.

Malah semasa melancong pun ada sahaja lawaknya yang menceriakan anggota rombongan serta orang luar yang berurusan dengannya. Semasa bercuti bersama rombongan Jamu Mak Dara ke Kashmir, India baru-baru ini, Jaafar menjadi penglipur lara sepanjang perjalanan.

Sempat menari di sebuah restoran.

Ada saja lawaknya sehingga mencuit hati staf di tempat penginapan serta agen pelancongan yang menguruskan perjalanan. Malah peniaga tempat persinggahan juga terhibur dengan telatahnya.

Semasa sibuk tawar-menawar untuk membeli kain di sebuah kedai sulaman khas Kashmir, Jaafar menyanyikan lagu Hindi. Sambil menyanyi sambil tawar-menawar berjalan sehingga barang yang dibeli dapat potongan istimewa.

"Aku sibuk menyanyi dan menari... korang yang dapat beli kain dengan harga murah," kata Jaafar berseloroh.

Malah ada yang dapat mengagak bahawa Jaafar seorang artis walaupun mereka tidak diberitahu bahawa Jaafar sebenarnya seorang pelakon, penyanyi dan pengacara serba boleh di Malaysia. Caranya membuatkan mereka dapat meneka.

Jaafar dibawa oleh Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. (JMD) ke Kashmir, Delhi, Jaipur dan Agra bersama beberapa stokis dan rakan media dalam trip insentif tahunan syarikat itu untuk stokis yang berjaya mencapai sasaran.

Namun Jaafar terpaksa pulang awal dan tak sempat melawat Taj Mahal di Agra kerana ada komitmen lain di Kuala Lumpur.

Tu dia... shooting klip video atas shikara (perahu) si Tasik Dal, Kashmir

Jasa Jaafar yang tidak berkira mempromosikan produk keluaran JMD membuka peluang kepadanya untuk bersama-sama dalam percutian tersebut.

Turut bersama dalam percutian itu penyanyi dan pelakon Mya. Mereka sering bekerjasama dengan JMD sebelum ini.

"Mereka sering mempromosikan produk keluaran JMD walaupun tidak dilantik sebagai jurucakap. Setiap kali kami menaja program kelolaan Jaafar, dia memberikan imbuhan dengan mempromosikan produk kepada hadirin.

"Sebagai ungkapan terima kasih, kami membawa mereka bersama-sama bercuti," kata Pengarah Urusan JMD, S.M Gadaffi Syed Ali kepada Mangga Online.

Jaafar juga turut membuat rakaman klip video lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri berlatarbelakangkan keindahan Kashmir. Bila Jaafar keluar dengan lengkap berbaju Melayu, orang-orang Kashmir teruja melihatnya.

Malah ada yang sudah boleh mengikut bait-bait lagu hari raya yang dinyanyikannya. Jaafar membuatkan mereka senang dengan rombongan yang dilayan itu.

Bersama Pengasas JMD, Ibu Halimah Shuib dan Mya

Pesan buat pelawak baru

Sempat menari bersama pahlawan Jaipur

Dalam melalui hidup selaku pengacara, Jaafar pernah juga digandingkan dengan pelawak baru. Ada juga pengalaman bersama pengacara radio popular. Dia akui ada beberapa nama yang membuatkan dia tidak selesa bekerjasama.

"Saya pernah bekerjasama dengan seorang pelawak yang lahir daripada program realiti. Dia memang popular, tapi bila naik ke pentas sebagai pengacara, dia tak tahu tata susila sebagai seorang pengacara.

Macam balik kampung... Jaafar memang ada darah keturunan India.

"Saya muncul dulu di atas pentas, entah macam mana pelawak yang sorang ni tiba-tiba sahaja muncul dan mencelah dengan menggunakan kata-kata yang kurang sedap yang boleh menjatuhkan air muka saya di hadapan penonton.

"Saya tak boleh bekerja dengan orang macam ini dan saya tak akan bekerja lagi dengannya. Saya ini orang tua, kalau ya pun nak berlawak, hormatilah saya sebagai orang tua.

"Ada panggilan yang tak sesuai bila di atas pentas. Sebab itu ada masanya saya minta muncul bersendirian, dan kalau penganjur sudah mengundang dua pengacara, kami akan muncul berasingan," kata Jaafar.

Jaafar juga berpesan kerpada pelawak baru agar peka dan memahami etika sebagai seorang pengacara dan jangan hanya tahu membuat lawak dengan cara mempersendakan orang lain.

"Memang orang akan ketawa apabila dia mempersendakan orang, tapi sebaliknya ada hati yang mungkin tercalar dengan perlakuan kita," kata Jaafar lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: