Tuesday, October 18, 2011

Azlee Khairi terpikat kesantunan orang Jepun

Pelakon kacak Azlee Khairi bersama krew drama Kelaas Kau Maria ke Tokyo, Jepun baru-baru ini untuk menghabiskan penggambaran drama bersiri itu yang sedang hangat di saluran Astro Ria sekarang.

Banyak pengalaman indah dibawa pulang. Antaranya rasa teruja melihat kesantunan dan keramahan orang Jepun bila berdepan dengan mereka. Di matanya mereka sangat ramah dan baik hati. Adakah gadis Jepun yang membuatkan hati Azlee jatuh?

Sempat melawat Disneyland Tokyo

"Alhamdulillah... saya terlepas dengan godaan gadis Jepun. Sebabnya saya tak pernah keluar bersendirian. Kalau keluar pun, kami biasanya keluar ramai-ramai. Maklumlah di tempat orang," kata Azlee.

Selain Azlee, pelakon lain yang turut meneruskan penggambaran di kota Shibuya, Tokyo ialah Erra Fazira, Scha Al-Yahya dan Fir Affandi. Semasa waktu sengang mereka sempat berjalan-jalan. Mereka juga dibawa melawat Disneyland Tokyo.

"Memang teruja melihat kemodenan Jepun. Peralatan kelengkapan semuanya canggih. Di sana ada bandar yang khusus untuk sesuatu barang. Misalnya ada bandar gajet yang khusus menjual gajet.

"Pergerakan ke sesuatu destinasi juga mudah sebab ia dibuat secara terancang. Persekitaran di sana juga menarik.

"Kami tak ada masalah bergerak dari satu tempat ke tempat lain sebab trennya cukup efisien. Walaupun tak pernah sampai, kami redah aja naik tren untuk ke mana-mana tempat yang kami nak pergi dengan berpandukan peta jalan.

"Setiap kali bergerak kami akan keluar beramai-ramai. kalau tak keluar semua orang pun, biasanya kami gerak dalam tiga atau empat orang.

"Yang tak menariknya bila masuk bab shopping sebab mahal sangat kalau kita buat perbandingan dengan duit kita," kata pelakon yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu lagi.

Seronok dalam kesejukan di Tokyo bersama pelakon lain.

Bekalan dari Malaysia

Bila tak ada shooting boleh meronda sekejap.

Memandangkan payah mencari makanan halal di sana, krew produksi membawa makanan dari Malaysia. Itulah yang menjadi makanan utama mereka sepanjang di sana.

"Kalau nak makan makanan sana pun, saya makan sushi ataupun kebab yang dijual oleh orang Islam," jelas Azlee lagi.

Azlee juga berharap drama Kelaas Kau Maria mendapat sambutan menggalakkan. Kalau sambutan baik kemungkinan ia akan disambung untuk musim kedua pula. Kelaas Kau Maria ditayangkan setiap malam pada hari Isnin di Astro Ria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: