Saturday, October 29, 2011

Ford S-Max


BAHAGIAN hadapan S-Max yang kemas dan maskulin.


PANTAS sungguh masa berlalu. Terasa seperti baru minggu lepas kita memasang azam untuk tahun baharu. Pejam celik, helaian kalendar di atas meja sudah tinggal dua helai. Satu untuk bulan November dan satu lagi Disember.

Masa juga membuatkan kita menilai semula segala perubahan yang berlaku di sekeliling. Hampir semua benda sudah berubah. Kalau dulu orang suka minum kopi di kedai kopi Pak Mat, orang sekarang menikmati sarapan di kopitiam-kopitiam yang lengkap dengan sambungan internet, walaupun WiFi itu kadangkala langsung tidak boleh diharap.

Industri pemotoran turut mengalami revolusi yang pesat. Bukan sekadar teknologi, malah reka bentuk dan segmen kenderaan juga semakin canggih. Semua benda hendak disumbatkan ke dalam satu model, semuanya demi memenuhi kehendak bakal pembeli yang semakin kompleks.

Antara segmen yang menerima perubahan drastik ialah van. Kenderaan berkapasiti tiga baris tempat duduk itu dibina untuk membolehkan ramai penumpang diangkut sekali gus.

Ia dilihat cukup sesuai bagi mereka yang berkeluarga besar atau menjalankan perniagaan membawa budak-budak sekolah. Tidak kiralah sama ada berpermit atau sebaliknya.

Bagi anda yang pernah memandu van, banyak karekter utama van yang tidak dapat dilupakan. Antaranya, ia kurang stabil ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi dan tempat duduk yang panas. Sebabnya, enjin van diletakkan di bahagian bawah tempat duduk. Silap-silap terasa seperti berada dalam bilik sauna.

Bagi penumpang pula, paling kasihan ialah mereka yang terpaksa duduk di baris paling belakang. Jangan harap udara sejuk dari corong pendingin hawa boleh sampai ke tempat mereka. Jadi, berpanaslah hingga sampai ke destinasi yang dituju.

Pemanduan seperti sedan

Zaman van sudah hampir pupus sekarang. Sebaliknya kenderaan yang kini dijual lebih untuk tujuan komersial itu sudah diganti oleh kenderaan pelbagai guna atau MPV.

MPV menawarkan kualiti pemanduan seperti sebuah sedan dan tetap boleh membawa sehingga tujuh orang penumpang. Malah, semua orang boleh duduk di dalam kabin dengan lebih selesa

Disebabkan oleh praktikalitinya, MPV menjadi antara segmen yang paling pantas berkembang. Sebab itulah hampir semua pengeluar kenderaan ada menawarkan MPV dalam rangkaian produk mereka.


RUANG tengah papan pemuka yang dihuni oleh unit audio jenama Sony, lubang pendingin hawa dan butang Start/Stop.


Ford tidak terkecuali. Pernah menawarkan van seperti Econovan dan Spectron pada lewat tahun 1990-an, Ford sekali lagi tampil dengan model yang jauh lebih baik dan menarik, Ford S-Max.

S-Max diperkenalkan ke pasaran tempatan bersama model sedan Mondeo pada Jun lalu. Berpaksikan kepada hala tuju rekaan Ford yang dikenali sebagai Kinetic Design, para jurutera Ford berjaya membuatkan S-Max cukup bergaya. Lihat dari mana-mana sudut sekali pun, MPV itu sememangnya menarik perhatian.

Rekaan bahagian hadapannya jelas garang dengan rekaan gril radiator lebar, sepasang lampu LED DRL (Day Running Lights) dan lampu tama yang berbucu tajam. Mahu tampil lebih sporty berbanding MPV lain di pasaran, S-Max turut dipasang dengan ‘sirip’ pada sisi arca roda hadapannya. Memang bergaya.

Bahagian belakang S-Max menyerlah dengan lampu belakang yang dihuni oleh jaluran LED. Nampak moden dan elegan berbanding MPV yang lain.

Kuasa yang menggiurkan

Walaupun besar, S-Max cuba sedaya upaya meminimumkan titik buta dengan meletakkan cermin yang agak besar pada tiang A. Anda juga tidak perlu bimbang ketika hendak memarkir atau membelok di ruang kecil kerana setiap sudut MPV itu dipasang dengan alat pengesan. Ia akan berbunyi sekiranya kenderaan hampir melanggar halangan di hadapan.

Tagline enjin EcoBoost bersesaran 2.0 liter yang berbunyi “More power, less fuel” memang tidak menipu. Sepanjang pandu uji selama tiga hari, hanya suku minyak dihabiskan. Sedangkan, banyak juga tempat yang sempat saya pergi.




Lebih menarik lagi, kuasa yang ditawarkan oleh unit enjin itu memang menggiurkan. Memandu S-Max sedikit laju memang mengasyikkan. Ditambah pula dengan karekter pemanduannya yang tidak jauh beza seperti sebuah sedan.

Kawalan sterengnya tepat dan responsif. Pengagihan kuasa menerusi kotak gear enam kelajuannya juga lancar. Jarang sekali anda akan berasa MPV itu berat. Keadaan itu membuatkan saya langsung tidak mencuba ciri penukaran gear secara manual yang tersedia.

Mahu berpindah rumah? Ruang kargo S-Max yang luas itu akan sangat membantu. Tempat duduk baris kedua dan ketiganya yang boleh dilipat sepenuhnya membolehkan barang bersaiz besar disumbat tanpa banyak masalah.

Sebenarnya, banyak perkara yang saya suka tentang S-Max. Secara jujurnya juga, tidak apa yang boleh saya rungutkan. Semuanya bagus dan memuaskan. Untuk makluman, saya tidak dibelanja makan oleh Ford kerana menulis perkara-perkara positif mengenai S-Max.

Di pasaran Malaysia, MPV itu bersaing secara langsung dengan Peugeot 5008. Cuma, harga 5008 lebih murah iaitu sekitar RM160,000 seunit. Biarpun begitu, S-Max yang ditawarkankan pada harga RM185,888 seunit (di atas jalan dengan insurans) pasti membuatkan anda tersenyum setiap kali memandunya. Percayalah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: