Saturday, October 29, 2011

Bukan buatan India



SEJARAH motosikal Indian ternyata suatu yang cukup menarik untuk dikaji. Riwayat perjalanannya penuh dengan suka duka. Malah ia pernah beberapa kali terkubur dan dihidupkan semula.

Jika dibandingkan dengan motosikal buatan Itali atau Jerman, nama Indian jarang sekali didengar oleh pengguna di Malaysia. Maka, tidak hairanlah jika ada yang beranggapan bahawa motosikal dengan gaya easy rider ini berasal dari negara India.

Sedangkan, Indian ialah motosikal pertama Amerika Syarikat (AS). Usianya sudah mencecah 110 tahun. Dua individu di sebalik kelahiran motosikal itu ialah George Hendee dan Carl Oscar Hedstrom.

Hendee merupakan seorang pelumba dan pengeluar basikal, sementara Hedstrom pula seorang jurutera. Satu perjanjian rakan kongsi dimeterai di antara mereka pada 1901 dengan produk pertama diperkenalkan pada tahun sama. Indian dikeluarkan oleh Hendee Manufacturing Company (Hendee Manufacturing).

Hedstrom bertanggungjawab terhadap semua aspek pengeluaran dan pengembangan perniagaan. Hendee, sebagai presiden dan pengurus besar pula memikul tugas membuka rangkaian pengedaran dan menguruskan pembiayaan.

Kejatuhan Indian


PAKEJ enjim krom sepenuhnya didatangkan bersama varian Chief Classic.


Pengeluaran motosikal Indian mencapai 32,000 unit pada 1913 dan 41,000 unit pada 1916. Dua tahun tersebut juga menyaksikan pengunduran kedua-dua individu itu daripada syarikat. Hedstrom meletak jawatan pada 1913 kerana ‘tidak sehaluan’ dengan Lembaga Pengarah berhubung isu meningkatkan nilai saham. Tiga tahun kemudian, Hendee pula mengambil langkah sama.

Indian menjadi motosikal ketenteraan apabila menawarkan model buatan tahun 1917 dan 1918 kepada AS sewaktu Perang Dunia Pertama.

Meskipun perniagaan Hendee Manufacturing memuncak sekitar tahun 1920-an, penguasaan kedudukan motosikal nombor satu di AS sudah terlepas ke tangan pesaing utamanya, Harley-Davidson.

Nama Hendee Manufacturing ditukar kepada Indian Motocycle Co. pada 1923. Selepas itu, pemilikan syarikat beberapa kali bertukar tangan sehingga ia diisytihar muflis pada tahun 1998 (tahun sama nama syarikat berubah kepada Indian Motorcycle Company).

Kebangkitan semula

Usaha menghidupkan semula jenama tersebut cuba dilakukan menerusi penggabungan sembilan syarikat termasuk California Motorcycle Company dan IMCOA Licensing America Inc. pada tahun 1998. Ia tidak kekal lama apabila sekali lagi diisytiharkan muflis pada tahun 2003.

Indian Motorcycle Company dihidupkan semula oleh sebuah firma ekuiti berpangkalan di London, England iaitu Stellican Limited pada tahun 2006.


SISTEM brek jenis Brembo diberi kepercayaan untuk memberhentikan jentera ikonik AS.


Pada April 2011, Polaris Industries Inc. (Polaris) mengambil alih Indian Motorcycle. Polaris merupakan syarikat rekaan, kejuruteraan, pengeluar dan pemasar kenderaan off-road seperti kenderaan semua laluan (all-terrain vehicle, ATV), snowmobile dan motosikal Victory.

Lima varian

Baru-baru ini, Kumpulan Naza menerusi anak syarikatnya, Harmony Fabulous Sdn. Bhd. (Harmony Fabulous) mendapat hak pengedaran motosikal Indian untuk pasaran Malaysia dan Singapura.

Buat permulaan, empat model iaitu Chief Blackhawk dan Chief Blackhawk Dark (edisi khas), Chief Vintage, Chief Classic dan Chief Dark Horse diperkenalkan. Harga ditawarkan bermula RM225,000 sehingga RM275,000 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan caj-caj lain).

Semua varian itu menggunakan kerangka keluli regangan konkrit, enjin Power Plus 105 sejukan udara rod bersesaran 1,721 cc. Enjin besar itu dipadankan dengan kotak transmisi enam kelajuan.


PENGENAAN warna krom pada komponen-komponen motosikal menyerlahkan lagi aspek kemewahannya.


Khidmat sistem brek jenama Brembo digunakan untuk menghentikan jentera itu. Kapasiti tangki bahan apinya pula kira-kira 20.8 liter. Tipikal bagi sebuah motosikal jenis easy rider, meter laju analog dan skrin paparan pelbagai guna diletakkan di atas tangki minyak.

Pengurus Besar Naza Two Wheel Division, Nik Danial Nik Mahmood berkata, pihaknya berhasrat menjual 16 unit peruntukan motosikal Indian yang telah diterima pada tahun ini. Ketika artikel ini ditulis, tempahan empat unit sudah diterima . Pada tahun hadapan, pihaknya akan menerima peruntukan di antara 48 unit sehingga 60 unit motosikal Indian.

“Kami akan membuka sebuah bilik pameran di kawasan Naza Auto Mall di Petaling Jaya, Selangor untuk Indian. Jumlah pelaburan ialah sebanyak RM5 juta,” katanya pada majlis pelancaran motosikal itu di Shah Alam, Selangor.

Meskipun Indian dan Harley-Davidson memiliki sejarah persaingan yang lama, beliau optimis bahawa kedua-dua jenama tersebut tidak akan menjejaskan pasaran antara satu sama lain. Ini kerana masing-masing menawarkan kelas serta gaya hidup yang tersendiri buat setiap pemiliknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment