
Nama Ezad bukanlah asing dalam dunia hiburan. Sebut saja Ezad, pasti terbayang kelibatnya sebagai vokalis kumpulan Exist.
Tapi itu kisah dahulu, kerana jejaka kelahiran Kedah ini, umpama insan baru apabila muncul secara solo dengan album Mengharap Bintang.
Menurut Ezad, album ini bagaikan memberi sinar dalam kariernya yang seakan tenggelam sejak meninggalkan kumpulan popular itu.
Malah, pernah suatu ketika dia hampir berputus asa dan tidak berminat lagi untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.
Bagaimanapun, keyakinan diberi syarikat rakaman dinaunginya kini, Universal Music serta sokongan peminat setia membuatkan Ezad akur untuk kembali bergiat aktif.
“Sejak bergerak solo, saya banyak menghabiskan masa membuat pekerjaan lain seperti perniagaan minyak wangi dengan jenama sendiri.
“Namun, ramai peminat sering bertanya bila saya mahu keluar dengan album baru? Melihat sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi menambah keyakinan saya untuk merakamkan album,” katanya.
Bercerita lebih lanjut mengenai album edaran MVM Home Entertainment ini, menurut Ezad, ia memuatkan lima lagu baru dan lima lagu lama.
“Pemilihan konsep tiada perbezaan ketara kerana saya masih mengekalkan jalur pop ballad seperti kumpulan lama.
“Bukan tidak mahu tampil dengan sesuatu yang baru, tetapi saya sudah serasi dengan konsep itu. Lagipun, ini adalah permintaan peminat sendiri. Sudah tentu saya perlu menghasilkan album yang dapat memenuhi kehendak mereka,” katanya yang sudah muncul dengan single pertama berjudul Percintaan Ini.
Istimewanya, album ini mendapat sentuhan ramai komposer seperti Eddie Hamid, Saari Amri, Izhar, Lan Laga dan Adi Sixth Sense.
Lebih menarik, menurut Ezad, dia juga berpeluang bekerjasama dengan dua komposer cacat penglihatan melalui lagu Kau Dan Aku Yang Dulu ciptaan Harun Ahmad (pernah mencipta lagu Jesnita) serta Gambaran Sebuah Rindu (Ed Lazim).
Sementara lagu lama yang diberi nafas baru dengan menjalani rakaman semula ialah Alasanmu, Dirantai Digelangi Rindu, Masih Terserlah Ayumu, Mengintai dari Tirai Kamar dan Rindu Serindu Rindunya.
Agak lama meninggalkan pentas nyanyian, Ezad mengakui, dia berasa kekok apatah lagi dirinya kini bergerak sendirian.
“Saya tidak menafikan bukan mudah mencipta nama sebagai penyanyi solo kerana semua perkara saya perlu fikirkan, tetapi saya dapat merasakan kepuasan berganda.
Bersesuaian dengan judul album Mengharap Bintang, Ezad mengharapkan agar kemunculan album ini mampu menarik peminat lama dan baru.
Peminat yang merindui kelunakan vokal Ezad boleh mendapatkan album ini yang sudah berada di pasaran sejak 22 Ogos lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: