Saturday, October 15, 2011

Masih ada yang peduli



Rentetan kisah penderitaan Datuk Yahya Sulong, ZASS turut mendapatkan reaksi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang selama ini, memainkan peranan membantu mereka.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez, yangdihubungi menjelaskan, pemberian pencen tidak dapat diteruskan kerana Karyawan kini sudah tidak mempunyai dana untuk membantu mereka.

“Kami tahu masalah dihadapi Datuk Yahya Sulong. Bukan beliau sahaja, malah semua artis di bawah Karyawan, kami tahu kepayahan mereka. Karyawan memang sudah tidak ada duit untuk membantu mereka.

“Kami sendiri memerlukan perbelanjaan RM15,000 sebulan. Kos ini adalah kos bayaran gaji kepada tiga pekerja termasuk potongan KWSP, sewa pejabat, bayaran elektrik dan penggunaan Internet serta keperluan pejabat.

“Kerana itu kami berharap pada Malam Gala Seribu Bintang minggu hadapan, kami akan dapat mengumpul dana untuk dihulurkan kepada artis veteran. Biarpun tahu tidak banyak, namun itulah yang mampu Karyawan lakukan setakat ini,” katanya.

Jelas Freddie lagi, sebelum ini, Karyawan mendapat peruntukan dana daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk membantu para artis menerima pencen. Namun ia terhenti sejak tiga tahun lalu, apabila pihak JKKN memaklumkan peruntukan sudah tidak mencukupi.

Tambahnya, JKKN memberi peruntukan RM6,000 setahun untuk diberikan kepada 26 artis di bawah Karyawan. Meskipun sudah tiada peruntukan disalurkan mereka, Karyawan optimis mencari alternatif bagi menyambung pencen untuk artis veteran.

Pihak Karyawan bertungkus lumus mencari pendapatan untuk terus membantu. Ada di antaranya menerusi jualan meja pada setiap majlis makan malam atau melalui duit persembahan artis secara amal.

“Kami buat macam-macam demi mencari dana. Tapi, majlis makan malam bukan setiap malam ada. Dalam setahun hanya ada tiga atau empat kali sahaja.

“Ia tidak cukup. walaupun banyak kali kami disindir kerana menjual meja, tapi kami teruskan juga. Semuanya hanya mencari duit yang bukan untuk kepentingan peribadi.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM60,000 sebulan. Kami sanggup buat apa sahaja agar tidak wujud masalah begini. Namun kami akur dengan ketentuan dan berharap ada pihak tampil memberi bantuan,” katanya.

Ditanya mengenai peranan Karyawan memohon dana daripada pihak kerajaan, Freddie berkata, perkara itu sudah diusulkan sejak beberapa tahun lalu.

“Karyawan sudah melakukan pelbagai cara untuk mencari dana sehinggalah kepada peringkat tertinggi.

“Namun, sehingga kini Karyawan masih tidak mendapat apa-apa respons. Apa yang diberitahu, pihak kerajaan tidak dapat memberikan dana kerana terlalu banyak persatuan artis di Malaysia.

“Saya berharap semua persatuan artis dimansuhkan dan mewujudkan satu persatuan saja,” katanya.

Mengakui tidak akan bertanding jawatan presiden, Freddie hanya mahu melihat semua artis di Malaysia mendapat bantuan khususnya artis veteran.

“Cukup dengan satu persatuan sahaja yang di bawahnya ada pelbagai biro. Dengan ini, barulah kerajaan akan membantu.

“Percayalah, jika berterusan dengan banyak persatuan, ia tidak akan ke mana. saya amat berharap semua persatuan dapat bergabung demi kebajikan semua artis,” katanya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: