Tuesday, October 11, 2011

Erat silaturrahim dua generasi

TIADA yang lebih menggembirakan pasangan cucu dan nenek ini apabila mereka disatukan dan berkongsi cerita suka dan duka bersama-sama.


APABILA ibu bapa yang ditinggalkan anak-anak dan kanak-kanak yang tersisih daripada keluarga sendiri dipertemukan pada satu majlis khas, pastinya perasaan bercampur-baur terzahir daripada jiwa masing-masing.

Mereka yang selama ini hidup terasing daripada keluarga sendiri, tiba-tiba dapat merasakan semangat yang luar biasa.

Pertemuan pada Majlis Ikatan Kasih Cucu, Datuk dan Nenek antara penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK), Seremban dan Rumah Kanak-Kanak Rembau yang diadakan di sekitar ibu negara baru-baru ini, seolah-olah mengimbau detik-detik lampau ketika bersama dengan darah daging mereka suatu ketika dulu.

“Saya dah lama tak jumpa atuk, atuk di RSK ini lain, dia berpengalaman, dia asyik bercerita tentang pengalamannya tentang bidang binaan yang pernah diceburinya ketika dia di waktu muda,” kata Fara merujuk kepada datuk yang dipasangkan untuknya sepanjang majlis makan tengah hari di Restoran Saloma Bistro iaitu Rahman, 60-an.

Emosi serupa

Pada majlis itu, Fara dilihat memberi tumpuan khusus kepada Rahman. Mereka tidak pernah berenggang. Gadis berusia 17 tahun itu juga tidak kekok memimpin tangan datuknya yang bertongkat.

Antara Fara dan Rahman terkait satu emosi yang serupa. Namun, kisah yang mereka layari cukup berbeza.

Gadis sunti itu menjadi mangsa kelalaian keluarga sendiri. Sementara lelaki 60-an itu memilih untuk tinggal di RSK sehingga ajal menjemputnya.

Menurut Pegawai Unit Fisioterapi, Nik Adira Arifin, program yang julung-julung kali diadakan itu antara lain untuk mengikat silaturahim antara dua generasi yang kurang bernasib baik.

“Kita tahu, RSK dihuni oleh ibu bapa yang malang sementara Rumah Kanak-Kanak Rembau pula menjadi tempat perlindungan kanak-kanak miskin atau ditinggalkan ibu bapa.

“Jadi, kami satukan mereka agar mereka dapat merasai semula kenangan manis yang pernah dinikmati dulu. Selain makan bersama, kami turut membawa mereka beriadah ke Aquaria KLCC agar mereka dapat bersembang lebih lama,” kata Nik Adira.


MESKIPUN pertemuan antara mereka cuma sehari, tergambar perasaan ceria pada wajah masing-masing.


Program Ikatan Kasih Cucu, Datuk dan Nenek ini juga mendapat kerjasama daripada syarikat Malaysian Healthcare Sdn. Bhd. (Maycare) dan Restoran Saloma Bistro.

Untuk data terkini, RSK menjaga 260 penghuni, manakala terdapat 52 kanak-kanak di Rumah Kanak-Kanak Rembau.

Kepada kita yang lazimnya terdedah dengan dunia luar, ia mungkin tidak memberi apa-apa makna.

Tetapi bagi Amina, 62, ia umpama satu hadiah yang cukup bermakna dalam hidupnya.

“Makcik gembira sangat dapat jalan-jalan, apatah lagi dapat cucu baharu yang layan dengan kita dengan baik.

“Ya, baru saya tahu betapa seronoknya ada cucu,” katanya yang tidak mempunyai sebarang zuriat sepanjang berkahwin.

Amina yang berasal dari Sabah memberitahu, hidupnya dulu tidak seperti hari ini. Satu ketika dulu, dia bertenaga dan ligat bekerja.

Bagaimanapun, kebahagiaan yang dikecapinya terlerai sejurus kematian suami sehingga menyebabkan dia tidak berupaya melakukan apa-apa. Akhirnya, Amina sendiri memutuskan untuk mendapat kehidupan lebih sempurna di RSK.

Duduk semeja dengan wanita itu ialah Jasmine, 17. Sebaik saja ditanya reaksinya beriadah bersama insan-insan yang kekurangan kasih sayang, dia berkata: “Suka sangat, ini momen terbaik saya.”

Kisah pilu

Kisah gadis ini sungguh sedih. Ibu bapa Jasmine meninggal dunia ketika dia masih kecil. Nenek yang sering melawatnya, entah ke mana.

“Dalam dunia siapa yang mahu bersendiri, tapi itulah takdir saya, saya merelakan kenyataan itu.

“Saya juga kena belajar menerima ketentuan Tuhan, saya sandarkan hidup dan mati saya kepada Yang Maha Esa,” tuturnya lembut.

Namun katanya, tinggal di Rumah Kanak-Kanak Rembau dan diberi perlindungan yang sewajarnya, itu merupakan rahmat baginya.

Berkesempatan beriadah meskipun cuma sehari adalah peluang keemasan yang sentiasa ditunggu-tunggu.

Pastinya, kanak-kanak dan ibu bapa yang kurang bernasib baik ini mendambakan keriangan dalam hidup mereka. Inisiatif RSK harus dipuji kerana golongan seperti itu dapat merasakan bahawa mereka masih disayangi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: