Tuesday, October 11, 2011

Ketuhar cetus minat Ivy buat kek


IVY kini menjadikan kek cawan sebagai sumber pendapatan.


SEMASA membeli rumah di Bangsar, Kuala Lumpr Ivy Boucher baru tahu rupa-rupanya dapur di rumah itu mempunyai ketuhar. Namun, dia bukanlah seorang yang gemar membuat dan membakar kek atau biskut.

“Jadi, saya bawa juruteknik untuk memeriksa ketuhar itu dan mendapati ia masih dalam keadaan baik,” ujarnya.

Justeru, juruteknik itu menasihati Ivy untuk menghidupkan ketuhar itu selama sejam setiap minggu supaya ia tidak rosak dan kekal dalam keadaan baik. Tetapi Ivy pula berpendapat, daripada dia membazir elektrik dengan menghidupkan ketuhar tanpa menggunakannya, dia bercadang untuk membakar kek.

“Saya membeli buku pertama mengenai resipi kek pada tahun 2005 semata-mata kerana tidak mahu menghidupkan ketuhar itu secara sia-sia,” kata Ivy.

Saat itu ternyata telah mengubah hidupnya. Kini, dia bukan sahaja membakar kek dan berbangga dengan kek signatur beliau iaitu kek cawan, malah dia mendapat permintaan yang kerap daripada rakan-rakan dan kenalan. Bahkan, Ivy berjaya menerbitkan sebuah buku menghias kek cawan dengan menjalin kerjasama dengan syarikat penerbitan, Utusan Publications and Distributors (UP&D).

“Pada awalnya, saya bakar kek untuk suka-suka pada setiap hujung minggu. Rakan-rakan saya di pejabat menunggu ketibaan hari Isnin kerana saya akan bawa kek itu ke tempat kerja. Kebetulan, pada waktu yang sama, saya diberhentikan kerja dari sebuah agensi pengiklanan kerana mereka waktu itu mengecilkan operasi. Jadi, saya dinasihati rakan-rakan untuk menerima tempahan kek untuk majlis-majlis keraian sebagai penyambung dan sumber pendapatan,” kata Ivy.

Trend kak cawan

Pada masa yang sama, kek cawan pula menjadi trend dan Ivy tidak teragak-agak untuk menghadiri beberapa kursus diploma membakar kek, membuat figura haiwan, bunga-bungaan dan aising diraja yang banyak membantunya memperkayakan hiasan kek cawan.

Pada tahun 2006, Ivy sudah mula membuat kek cawan. Pada masa yang sama, beliau menjadi antara blogger terawal di Malaysia yang tampil dengan blog khas untuk kek cawan. Menerusi blognya juga, Ivy dipancing untuk menghasilkan bukunya, Cupcakes by Ivy oleh salah seorang kakitangan yang bertugas di UP&D.


BUKU ini adalah buah tangan daripada Ivy yang minat membuat kek cawan.


“Saya dihubungi seorang wanita, katanya dari Utusan. Selepas melihat blog dan cara saya naratif, dia mengajak saya untuk menerbitkan buku. Tanpa teragak-agak, saya terus setuju dan kami memulakan kerja-kerja untuk penerbitan buku itu pada tahun 2008.”

Pengalaman mengujakan

Mengakui atas beberapa alasan, bukunya agak lewat diterbitkan, Ivy berkata, dia bagaimanapun gembira melihat hasilnya yang sudah mula berada di pasaran sejak awal tahun ini.

Ujarnya, walaupun pernah berkhidmat dalam bidang pengiklanan, Ivy merasakan pengalaman beliau menertbitkan buku bersama pihak UP&D agak mengujakan. Di samping itu, ia juga banyak mengajar perkara berkaitan penerbitan dan penulisan skrip.

Berikutan kejayaan menerbitkan buku pertamanya, Ivy memberitahu, dia berhasrat untuk mengeluarkan buku kedua tetapi kali ini membabitkan cara-cara membuat figura dua dan tiga dimensi untuk hiasan kek cawan.

“Ia sekadar harapan sahaja. Berbekalkan pengalaman untuk buku pertama, saya lebih yakin untuk mengeluarkan buku kedua,” katanya yang banyak merujuk kepada buku-buku resipi dan hiasan kek dari luar negara serta penulis-penulis lain.

Sambil menunjukkan beberapa figura haiwan yang disediakan untuk salah satu kek tempahan khas, Ivy berkata, seseorang itu pastinya perlu memiliki kesabaran dan keghairahan yang tinggi untuk membuat figura-figura ini serta hiasan di atas kek cawan.

“Ia adalah figura kecil dan memerlukan anda membuat kerja-kerja terperinci. Sememangnya, ia memakan masa terutama sekali untuk proses pengeringan dan memastikan ia berada pada tekstur yang sepatutnya. Tetapi selepas siap, segala usaha memang berbaloi,” katanya.

Segala maklumat lanjut mengenai kek dan tempahan boleh diperoleh melalui blog Ivy, d-cupcakes.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: