BERKUASA...Dr Ng (tengah) mencuba Ducati Monster 795 yang turut disaksikan (dari kiri) SM Faisal, Valentino Rossi, SM Zulkifli dan Timbalan Presiden Ducati Motor Holding, Cristano Silei pada majlis perasmian.
NEXT Bike Sdn Bhd (Next Bike), anak syarikat Kumpulan Naza yang menjadi pengedar tunggal motosikal berkuasa tinggi, Ducati menawarkan harga lebih rendah bagi model terbarunya Monster 795 pada harga RM59,900 seunit berbanding model sama sebelum ini.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, harga mampu milik itu dapat ditawarkan berikutan kerja pemasangan motosikal itu dilakukan di Thailand yang termasuk dibawah zon Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA).
“Orang ramai boleh mula menempah model terbaru berkuasa 800cc ini di laman web www.ducati.com.my dan hanya perlu membayar deposit RM1,000 dan dijangka mula menerimanya pada Disember ini.
“Sejak ia dilancarkan dua minggu lalu, syarikat sudah menerima 90 tempahan dan jumlah ini dijangka terus bertambah kerana model ini menawarkan reka bentuk yang eksklusif,” katanya pada majlis pelancaran model itu di Kuala Lumpur.
Turut hadir pada majlis perasmian di peringkat global itu ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Amin dan juara sembilan kali MotoGP, Valentino Rossi.
Katanya, Kumpulan Syarikat Naza menyasarkan pertumbuhan jualan motosikal Ducati sehingga 300 peratus tahun depan bersandarkan kepada pengenalan model Ducati Monster 795.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: