|
MENYAKSIKAN matahari terbenam dan pancaran mega merah di pantai Tanah Lot, Bali, Indonesia merupakan detik yang harus dinikmati oleh semua pengunjung ke kepulauan yang dihuni oleh hampir 90 peratus penganut agama Hindu itu.
Sesiapa pun yang menyaksikan keindahan saat tersebut pasti tidak akan berhenti untuk merakamkan foto kerana setiap saat yang berlalu ketika mega merah memancarkan cahayanya adalah antara detik yang menggambarkan kebesaran pencipta alam! Sungguh indah.
Sukar dijelaskan dengan kata-kata namun, itulah antara keistimewaan bumi Bali yang sering menjadi tumpuan pelancong dan ejen pelancongan. Walaupun cuma beberapa hari berada di sini tetapi, setiap orang wajar menghabiskan waktu selama beberapa jam di pantai Tanah Lot hanya untuk menyaksikan momen itu.
Di sebalik keindahan senja nan merah, pantai Tanah Lot (lot dalam bahasa Bali adalah laut) atau nama asalnya Tanah Laut banyak menyimpan rahsia tersendiri.
Menurut sejarah, batu yang terbentuk indah di pantai Tanah Lot telah wujud sejak tahun 1500 dan ditemui oleh seorang pelaut yang akhirnya menjadikan kawasan batu tersebut sebagai kuil.
Pada tahun 1980, kuil atau sering disebut sebagai pura itu diancam hakisan. Namun, atas ihsan kerajaan negara Jepun yang mahukan kawasan tersebut dipelihara atas dasar hubungan dua hala, sebanyak AS$130 juta telah disalurkan oleh negara matahari terbit itu ke Indonesia bagi menjaga struktur asal batu itu sehingga hari ini.

Kata pemandu pelancong yang mesra disapa Ngurah, pengunjung tidak pernah putus ke sini bermula seawal pukul 6 pagi hinggalah ke pukul 12 tengah malam. Mereka datang bukan hanya untuk menikmati keindahan lautnya tetapi, juga untuk berkunjung ke kuil lama.
Di kuil itu jugalah kebanyakan ular laut yang didakwa datang membina sarang sehingga penduduk menganggap ular-ular tersebut sebagai utusan Tuhan untuk terus menjaga keindahan pantai dan keutuhan kuil.
Di samping memuji keindahan ciptaan Tuhan, Bali sering dikaitkan dengan konsep hiasan dalaman hingga menjadi ikutan ramai. Konsep Bali telah lama menjadi kebanggaan dalam membuat hiasan baik untuk rumah mahupun hotel di negara kita.
Konsep Bali macam mi Bandung
Tetapi ramai yang tidak tahu, tidak ada yang khusus untuk dikaitkan dengan konsep tersebut kerana hiasan Bali banyak dipengaruhi unsur-unsur Hindu Majapahit selain tumbuh-tumbuhan liar.
“Konsep Bali itu sebenarnya diilhamkan oleh seorang lelaki British yang menjadi rakyat di sini menggunakan nama Made Wijaya setelah berkahwin dengan seorang wanita tempatan. Idea Made Wijaya itulah yang telah diguna pakai sebagai konsep Bali sehingga hari ini. Sebenarnya, tidak semua yang peka dengan konsep itu kerana setiap orang ada cita rasa tersendiri dalam menyiapkan hiasan rumah,” jelas Ngurah.
Kalau di Malaysia, setiap negeri ada identitinya terutama rumah-rumah lama, namun di Bali tidak ada yang khusus kerana idea tersebut datangnya daripada Made Wijaya yang asalnya bukan rakyat tempatan.
Cuma yang menghairankan, konsep Bali tetap menjadi sebutan dan pilihan kebanyakan penduduk di Malaysia. Apa pun, bak kata seorang teman, Danial Rayyan, mi Bandung atau sirap Bandung hanya terdapat di Malaysia dan tidak akan pernah ada di Bandung, begitulah juga dengan konsep Bali.
Lupakan tentang konsep yang menjadi sebutan kebanyakan penduduk Malaysia kerana keindahan pantai Kuta yang pernah menjadi mangsa tsunami pada Disember 2004 memang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa jua yang berkunjung ke situ.
Bukan kerana ombaknya yang besar setinggi 10 kaki yang sesuai untuk peminat papan luncur dan bukan juga kerana tukang urut-tukang urut yang bersedia memberi khidmat terbaik.

Sebaliknya, kebersihan pantai yang dijaga membuatkan kita leka kerana ia dijaga sebaik mungkin tanpa dapat terlihat walau sehelai daun pun di atas pasir yang memutih sepanjang pantai sejauh tujuh kilometer itu.
Kata Ngurah, setiap 20 kaki persegi ruang pantai Kuta ada pemiliknya dan setiap pemilik diberi lesen untuk menjalankan perniagaan mengikut kemampuan masing-masing.
“Ada yang menjual makanan, ada yang menunggu pelanggan untuk diurut, ada yang menyewa papan luncur malah, tidak kurang yang mengambil kesempatan menjadi guru untuk mengajar meluncur.
“Apa yang penting, mereka diwajibkan menjaga kebersihan kawasan masing-masing. Jika tidak pihak berkuasa boleh menarik kembali lesen aktiviti mereka tanpa sebarang amaran.
“Kelihatan kejam tetapi, itulah perjanjian yang telah dibuat sejak awal,” kata Ngurah.
Jangan lupa cuba kopi Luwak
Bercerita tentang makanan, ramai yang pernah berkunjung ke sini terutama yang beragama Islam mengatakan cukup susah untuk mendapatkan makanan halal. Cerita begini mempengaruhi minda sehingga memaksa sesetengah pelancong Islam membawa bekalan makanan halal untuk dimakan sepanjang bercuti di Bali.
Hakikatnya, walaupun 90 peratus penduduk Bali menganut agama Hindu dan terdapat begitu banyak restoran babi guling atau babi panggang, masih ada banyak lagi kedai makanan halal yang boleh ditemui.
Malah, boleh dikatakan kebanyakan gerai di tepi jalan di sini diusahakan oleh orang Islam Indonesia yang datang dari daerah luar Bali seperti Bandung, Jogjakarta dan Surabaya.
Empat hari di Bali seperti tidak cukup untuk merasai nikmat sebenar kawasan peranginan yang terkenal di seluruh dunia ini.
“Banyak tempat yang boleh diteroka termasuk gunung-ganangnya tetapi, masa terasa begitu cepat berlalu ketika menikmati keindahan pantai Kuta, tanah Lot dan kota Denpasar sendiri,” katanya.
Sebelum terlupa, tambah Danial, satu lagi yang perlu dicuba ialah kopi luwak yang dihasilkan melalui najis musang. Luwak yang membawa maksud musang hanya akan memakan buah kopi terbaik yang gugur ke bumi dan kemudian dikeluarkan bijinya melalui najis.
Biji kopi yang tidak dihadam itu kemudiannya akan dikutip semula dan dicuci sehingga bersih untuk diproses sehingga menjadi serbuk kopi.
“Rasanya memang enak sekali dan hanya terdapat di daerah Bali dan beberapa tempat di Surabaya dan Bandung.
“Harganya agak mahal kerana penghasilannya begitu terhad.

“Dari sudut agama pula, pihak Majlis Agama Islam Indonesia telah mengeluarkan fatwa menghalalkan kopi ini dan ia boleh diminum oleh umat Islam,” ujarnya sambil menghirup secawan kopi luwak penuh nikmat.
Tepuk dada, tanya selera. Jika ada yang was-was, rujuklah dahulu kepada yang lebih arif. Apa pun, bagi mereka yang gemar melancong, Bali tetap menarik untuk dikunjungi pada bila-bila masa.
“Kalau ingin datang ke sini, jangan lupa untuk menghubungi saya di www.buy2u.com.my, saya sedia membantu untuk berlibur di sini. Banyak lagi yang boleh diteroka,” kata Danial sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: