Saturday, October 8, 2011

Berghof simpan sejarah Hitler


BERGHOF sering menjadi medan pertemuan Hitler (tiga dari kiri) dan pemimpin-pemimpin kanan Nazi bertemu dan membincangkan strategi ketenteraan.


SEORANG pelumba melintasi kawasan hutan pain Bavaria dengan basikal gunung miliknya. Kayuhannya diteruskan di sepanjang trek Alpine yang lasak terus ke lokasi yang pernah menjadi kediaman Adolf Hitler di pergunungan Kehlstein itu suatu ketika dahulu.

Dia tidak berhenti berkayuh walaupun untuk sepintas lalu ketika melintasi bangunan batu berdinding kelabu di lereng bukit yang pernah menjadi tempat persembunyian Hitler dikenali sebagai Berghof.

Berghof merupakan kawasan persembunyian Hitler yang dibangunkan oleh setiausaha parti Nazi Martin Bormann pada tahun 1939 sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

Ia merupakan lokasi kediaman diktator itu selama lebih sedekad sehinggalah dia membunuh diri di sebuah kubu di Berlin pada tahun 1945.

Berghof yang terletak separuh perjalanan di gunung Bavarian hampir musnah akibat dibom pada penghujung Perang Dunia Kedua. Malah, kesan pengeboman tentera Amerika Syarikat itu masih boleh dilihat sehingga kini.

Tiada papan tanda khusus bagi menunjukkan lokasinya. Bagaimanapun, terdapat papan kenyataan yang memberitahu pengunjung mengenai kawasan yang pernah menjadi medan pertikaian pada era Nazi dahulu.

Rumah persinggahan milik Hitler, Tea House dikenali sebagai Eagle's Nest terletak di laluan terpencil di atas kawasan pergunungan itu.

Sebelum ini, puluhan ribu pengunjung terpaksa melalui jalan yang menggayatkan untuk tiba di puncaknya semata-mata mahu melihat panorama di kawasan yang terletak di sempadan antara Jerman dan Austria itu.

Terletak pada ketinggian 1,800 meter, Eagle Nest kini dijadikan restoran, kafe dan kedai menjual buku-buku seperti buku Hitler's Mountain yang dihadiahkan kepada Hitler oleh parti Nazi sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

Terdapat kisah menyatakan Hitler jarang berada di rumah persinggahan itu kerana gayat pada ketinggian.

Pakar sejarah mahu keseluruhan kawasan itu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang, tetapi ada pihak yang bimbang popularitinya yang mempunyai kaitan rapat dengan perjuangan Hitler akan menggalakkan kehadiran penyokong neo-Nazi atau mengubahnya menjadi Disneyland Nazi. "Kami mesti berhati-hati agar pengunjung tidak menjadi terlalu taksub terhadap Hitler," kata Axel Drecoll, 36, seorang sejarawan yang berusia 36 tahun.


PELBAGAI bahan pameran yang dipamerkan di Berghof memaparkan kehidupan Hitler di kawasan pergunungan Kehlstein itu suatu ketika dahulu.


Kehidupan Hitler

Lelaki itu bertanggungjawab dalam menjaga pusat dokumentasi dalam pameran yang dilawati kira-kira 160,000 orang setahun.

Bahan pameran yang dipamerkan menggambarkan dua kehidupan Hitler di kawasan pergunungan Obersaltzberg iaitu pemerintah di Berchtesgaden di samping jenayah yang dilakukan bersama Nazi.

"Kami perlu memastikan pelancong berpuas hati dengan apa yang mereka ingin ketahui tanpa mensensasikannya," katanya.

Penduduk tempatan sebelum ini dikejutkan dengan laporan akhbar menyatakan sebuah syarikat British menawarkan percutian Hitler di Berchtesgaden bersama beberapa laman web lain yang mempunyai kaitan dengan Fuhrer.

"Ia telah menimbulkan gelombang besar," kata pengarah pelancongan tempatan, Michael Griesser ketika mengimbas kembali bagaimana pihak berkuasa Bavaria cuba untuk menghentikan rancangan Face of Evil Tour apabila menyedari mereka berurusan dengan pelancong biasa dan bukannya penyokong neo-Nazi.

Bagaimanapun, masih ada segelintir pihak yang terus melakukannya.

Ada segelintir yang secara sembunyi-sembunyi meletakkan kalungan bunga dan lilin di Berghof pada ulang tahun kelahiran Hitler atau melakukan perkara yang sama pada tarikh kematiannya.

Bagaimanapun, kakitangan pusat dokumentasi yang terletak berhampiran menyedari perkara itu dan dengan pantas melupuskannya, kata Drecoll.

Tambah Drecoll, masalah utama bukan berpunca daripada tindakan radikal puak sayap kanan, tetapi disebabkan perubahan zaman menyebabkan manusia mula melupakan kekejaman Nazi. "Kisah sejarah dan seni komersial menyebabkan ia semakin kabur."

"Saya tidak mahu melihat Obersalzberg sebagai sesuatu tarikan yang menakutkan," katanya.

Ingrid Scharfenberg, 80, yang mengendalikan Zum Tuerken sebuah rumah rehat, antara bangunan asal yang masih kekal berhampiran Berghof, berkata, dia sendiri merasai layanan seperti seorang pengikut Nazi.

"Ada yang berkata gunung ini milik Nazi dan semua orang yang menetap di sini juga berasal daripada golongan sama.

"Namun, kamu tidak boleh meletakkan kesalahan yang pernah dilakukan Hitler terhadap generasi-generasi seterusnya hanya kerana dia pernah menetap di sini satu ketika dahulu," kata wanita itu.

Selama bertahun-tahun tentera AS telah menutup kawasan itu kepada orang awam dan menjadikannya kawasan rekreasi tentera sebelum ia diserahkan kepada kerajaan Bavaria pada tahun 1995.


SELAIN pengunjung, Berghof turut dikunjungi penyokong neo-Nazi yang memuja perjuangan Hitler dan Nazi.


Sejak itu, semua runtuhan termasuk kira-kira 12 kilometer terowong dan kubu bawah tanah telah ditutup kepada orang ramai, dijadikan kawasan larangan secara rasmi dan dirahsiakan bagi tujuan pemuliharaan.

Namun, arahan itu akhirnya ditarik balik disebabkan faktor politik, kata Ketua Pemuliharaan Monumen Bersejarah Bavaria, Egon Johannes Greipl.

Sejak itu, pihak berkuasa mula mencari sisa yang masih tertinggal di dalam runtuhan.

Disebabkan itu, Greipl mahu arahan pemuliharaan bangunan itu dikekalkan.

"Lagipun, tiada sesiapa pun yang pernah terfikir untuk merobohkan runtuhan Olympia dan berpendapat ia wajar dikekalkan sebagai sebuah pusat dokumentasi.

"Ia merupakan bukti sejarah asal yang terdapat di Obersalzberg," katanya.

Mereka yang menentang idea berkenaan bimbang kehadiran penyokong neo-Nazi akan menjejaskan industri pelancongan setempat melalui hubungan rapat persatuan itu dengan sejarah Nazi, kata Greipl.

Bukti sejarah

Seorang pemimpin persatuan Yahudi di Munich, Charlotte Knobloch bersetuju sekiranya penyokong neo-Nazi tidak dibenarkan melawat kawasan itu kerana semua bukti-bukti sejarah yang ada di luar pusat dokumentasi telah musnah.

"Tapak itu perlu mempunyai fokus dan bukan hanya dilihat melalui satu aspek sahaja," luah Knobloch menyatakan tentangannya terhadap mana-mana arahan bagi tujuan pemuliharaan.

Pendapat itu turut dipersetujui oleh ketua pemerintah serantau yang juga pemimpin kedua dalam kementerian keadilan Bavarian, Walter Schoen.

Katanya, pemuliharaan terhadap runtuhan itu akan menyebabkan ia tidak lagi asli, tidak memberi makna dan memberikan hasil yang memuaskan tentang apa yang terdapat di sana.

"Mengangkat keistimewaan status budaya terhadap Berghof dan rumah-rumah ladang Nazi di sekitarnya hanya akan menggalakkan golongan nasionalis dan sosialis menjejakkan kaki ke atas gunung itu," katanya.

Idea itu tampak berhasil kerana ia adalah Berchtesgaden, seperti Jerman, yang kini mempunyai kesukaran mencari keseimbangan sewajarnya apabila berurusan dengan sejarah sedemikian.

Baru-baru ini terdapat sebuah hotel lima bintang dibina berhampiran kawasan runtuhan di Berghof milik pemimpin Nazi, Hermann Goering. Menariknya, beliau memastikan setiap bilik hotel mempunyai salinan tentang buku sejarah jenayah-jenayah Hitler.

Bagaimanapun, disebabkan amalan membaca buku sebelum tidur adakalanya mengganggu tetamu, buku-buku itu kini disimpan di perpustakaan di hotel.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: