Sunday, October 2, 2011

Cungkil bakat baru

KENANGAN...sebahagian pelatih ATD  bersama Wan Abdul Hakim dan keluarga masing-masing selesai menjalani latihan.
KENANGAN...sebahagian pelatih ATD bersama Wan Abdul Hakim dan keluarga masing-masing selesai menjalani latihan.

MELAHIRKAN atlet berkaliber dan komitmen penuh terhadap pembangunan sukan negara bukan tanggungjawab mudah, malah jurulatih atau pengendalinya perlu memiliki kesabaran serta tahap profesionalisme tinggi dalam mengendalikan program kelolaannya.

Sebagai contoh, tenis adalah sukan tertua pernah dimainkan iaitu sejak 1,500 tahun Sebelum Masihi di Mesir dan Greece, namun ia mampu bertahan dan popular di seluruh pelosok benua hingga ke hari ini.

  • Foto

    TEKUN...pelatih ATD menjalani latihan servis.

  • Foto

    TEKNIK...Wan Abdul Hakim menunjukkan cara pukulan ‘fore-hand’ yang betul.

Malah, ramai atlet bertaraf profesional berjaya dilahirkan melalui sukan itu hinggakan nama mereka sentiasa meniti di bibir peminat walaupun sudah bersara.

Namun, bukan mudah menjadi pemain bertaraf antarabangsa kerana mereka perlu tekun berlatih sepanjang masa di bawah kelolaan jurulatih profesional.


Bagaimanapun, sebelum menjadi terkenal, ramai di kalangan mereka tidak pernah mengenali atau memegang raket tenis, namun minat bercambah selepas dipupuk dan diberi pendedahan oleh keluarga.


Di Akademi Tenis Darul Naim (ATD), 40 murid dan pelajar berusia enam hingga 17 tahun menyertai latihan kelolaan jurulatih, Wan Abdul Hakim Wan Abd Aziz, 54, yang memegang Sijil Jurulatih Profesional daripada United States Tennis Association (USTA) dan Lawn Tennis Association Malaysia (LTAM).

Walaupun ATD dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO), ramai atlet berbakat berjaya dicungkil hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan hasil komitmen dan kesungguhan pemain, keluarga dan jurulatih.

Wan Abdul Hakim berkata, hakikatnya akademi itu ditubuhkan bagi meningkatkan mutu tenis di negara ini, selain mencungkil ramai bakat baru.

Katanya, bukan mudah me­ngendalikan ATD kerana majoriti mereka tiada asas dalam permainan tenis, terutama pelatih berusia bawah 10 tahun.

“Di ATD, setiap pelatih perlu melalui tiga peringkat iaitu ‘Basic’, ‘Intermediate’ dan ‘Advanced’. Peringkat pertama mereka diajar cara betul memegang raket, seterusnya mempelajari pukulan ‘stroke’, ‘forehand’, ‘backhand’, ‘volley’ dan servis.

“Selepas mahir menguasai semua peringkat berkenaan, pemain terpilih diberi peluang bertanding di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya yang berpengalaman 23 tahun sebagai jurulatih.

Semua pelatih ATD perlu menjalani latihan setiap Jumaat dan Sabtu, bermula jam 9 hingga 11 pagi di gelanggang tenis berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.

Difahamkan, tenis dipercayai berasal dari Perancis apabila pemain sering menyebut ‘tenez’ bermaksud ‘main’ sebelum permainan itu merebak ke beberapa negara Eropah lain seperti Sepanyol, Itali, Belanda dan Jerman.

Raket bertali diperkenalkan pada abad ke-15 oleh Antonio da Scalo, paderi berbangsa Itali, manakala kelab tenis pertama ialah Kelab Leamington di Perancis oleh JB Perera, Mejar Harry Gem, Dr Frederick Haynes dan Dr Arthur Tompkins pada 1872.

Pada masa itu, tenis dikenali sebagai ‘pelota’ atau ‘lawn rackets’ dan pada 1874, permainan tenis dimainkan buat pertama kali di Amerika Syarikat oleh Dr James Dwight dan FR Sears yang membawa kepada penubuhan All England Croquet Club pada 1868.

Sehingga kini, antara kejohanan utama dunia ialah Wimbledon, Terbuka Perancis, Terbuka Amerika Syarikat, Piala Davis dan Terbuka Australia, manakala pada peringkat empat pertandingan ‘Grand Slam’ pula, hanya 128 peserta bertanding.

Antara pemain tersohor ialah Rafael Nadal, Novak Djokovic, Roger Federer, Andy Murray, Robin Soderling dan Nikolay Davydenko.

Di Malaysia, permainan tenis diperkenalkan pada awal abad ke-20 dan membawa kepada penubuhan LTAM pada 1921.

Pada 1953, pertandingan pertama diadakan untuk merebut Piala Chua dan beberapa tahun kemudian, perlawanan Wilayah Utara Malaya dengan Selatan Malaya untuk merebut Piala Guillemard bagi lelaki manakala McCabe Peay pula untuk wanita.

Pelatih ATD, Wan Ahmad Nasran Wan Abdul Hakim, 14, berkata, dia mula mengenali tenis ketika berusia enam tahun apabila ayahnya yang juga jurulatih ATD, Wan Abdul Hakim membawanya bermain.

Katanya, ketika itu dia tidak berminat dengan tenis kerana lebih cenderung kepada sukan bola sepak hinggakan sering menangis sebaik disuruh menjalani latihan.

“Lebih melucukan, tangan dan lengan saya pernah diurut dengan minyak angin oleh ayah kerana lenguh sebaik selesai menjalani latihan dua jam, selain raket digunakan berat.

“Namun hasil kesabaran dan ketekunan ketika menjalani latihan, saya memenangi banyak perlawanan di pering­kat negeri dan kebangsaan, menyebabkan saya berazam menjadi pemain profesional satu hari nanti,” katanya yang meminati pemain Sepanyol, Rafael Nadal.

Bagi Ahmad Asif Azam Khan, 10, pada peringkat awal, disebabkan terlalu minat dengan sukan tenis, dia sanggup menggunakan raket badminton milik abangnya sebagai ganti raket tenis.

Katanya, bola digunakan ditemui di semak ketika pulang dari Sekolah Kebangsaan Islah dan bermula hari itu, dia berlatih memukul bola di dinding rumah sebelum ayahnya, Azam Khan Ayub Muhamad, 49, menyedari minatnya.

“Ayah mula sedar minat saya sebelum menghadiahkan raket tenis berjenama Wilson berharga RM200, menyebabkan saya semakin berkobar-kobar untuk bermain sukan itu.

“Ayah kemudian mendaftarkan saya dengan ATD dan bermula hari itu, saya terus tekun berlatih,” katanya.

Muhammad Aiman Muhamad Yusuf, 11, pula berkata, dia dan adiknya, Muhammad Zaim, 9, mewarisi bakat ayah mereka, Muhamad Yusuf Ab Rahman, 49, yang pernah mewakili Kelantan dalam sukan tenis.

“Tenis permainan unik serta banyak menguji minda kerana setiap pemain perlu bijak berfikir jika ingin menumpaskan lawan.

“Sebab itu, ketika berlawan, saya sentiasa mengosongkan minda daripada masalah kerana keserabutan fikiran boleh menjejaskan rentak permainan,” katanya yang mula bermain tenis ketika berusia sembilan tahun dan lawan pertama ialah ayahnya.

Seorang lagi pelatih ATD, Nur Qistina Razan Mohd Faizal, 14, berkata, pada peringkat awal, dia dan adiknya, Nur Raidah Razan, 12, meminati sukan squash lantaran kehebatan Datuk Nicole David memena­ngi banyak kejohanan berprestij.

Namun, katanya, minat mula beralih kepada tenis sebaik menyaksikan persembahan mantap pasangan adik beradik dari Amerika Syarikat, Serena dan Venus Williams di gelang­gang.

“Serena dan Venus menjadi idola kami berdua kerana mereka masih berentap dengan penuh semangat walaupun terpaksa berdepan sesama sendiri.

“Ini menunjukkan tenis sukan bertaraf profesional dan jika kita ingin lebih maju, perlu tanamkan rasa komited dan berkeyakinan tinggi dalam sukan berkenaan,” katanya yang turut meminati corak permainan Maria Sharapova dan Ana Ivanovic.

INFO:

  • Akademi Tenis Darul Naim menghimpunkan 40 murid dan pelajar berusia enam hingga 17 tahun yang menjalani latihan setiap Jumaat dan Sabtu

  • Setiap pelatih perlu melalui tiga peringkat iaitu ‘Basic’, ‘Intermediate’ dan ‘Advanced’

  • Melahirkan ramai atlet tenis yang berjaya
  • Pelatih diberi peluang beraksi di peringkat negeri dan kebangsaan



    PROFIL:

    NAMA: Ahmad Asif Azam Khan
    UMUR: 10 tahun
    ASAL: Kota Bharu, Kelantan
    SEKOLAH: Sekolah Kebangsaan Islah
    HOBI: Bersukan
    CITA-CITA: Guru
    PENCAPAIAN: Memenangi pingat perak MSSK 2010


    PROFIL:

    NAMA: Muhammad Aiman Muhammad Yusuf
    UMUR: 11 tahun
    ASAL: Kota Bharu, Kelantan
    SEKOLAH: Sekolah Kebangsaan Sri Chempaka
    HOBI: Membaca dan bersukan
    CITA-CITA: Doktor
    PENCAPAIAN: Johan Mini Tenis Kelantan 2010; pingat gangsa MSSK bawah 12 tahun (2010)


    PROFIL:

    NAMA: Nur Qistina Razan Mohd Faizal
    UMUR: 14 tahun
    ASAL: Kota Bharu, Kelantan
    SEKOLAH: Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab Satu (1)
    HOBI: Bersukan dan bermain komputer
    CITA-CITA: Peguam

    PENCAPAIAN: Johan MSSK 2009 (Bawah 12 tahun); ketiga MSSK 2010 (bawah 15 tahun); LTAM Sport Excell 1st League (Johan Tier 2 - Individu dan naib johan Tier 2 - beregu) dan LTAM Sport Excell 2nd League (Naib Johan Tier 2 - Individu dan suku akhir Tier 1 - beregu)


    PROFIL:

    NAMA: Nur Raidah Razan Mohd Faizal
    UMUR: 12 tahun
    ASAL: Kota Bharu, Kelantan
    SEKOLAH: Sekolah Kebangsaan Zainab Satu (1)
    HOBI: Membaca dan bersukan
    CITA-CITA: Guru
    PENCAPAIAN: Johan MSSK Bawah 12 tahun (2010) dan mewakili Kelantan dalam LTAM Sport Excell (2009-2011)


    PROFIL:

    NAMA: Wan Abdul Hakim Wan Abd Aziz
    UMUR: 54 tahun
    ASAL: Kota Bharu, Kelantan
    JAWATAN: Pegawai Bank
    TUGAS: Jurulatih Akademi Tenis Darul Naim (ATD)


    PROFIL:

    NAMA: Wan Ahmad Nasran Wan Abdul Hakim
    UMUR: 14 tahun
    ASAL: Kota Bharu, Kelantan
    SEKOLAH: Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian Dua (2)
    HOBI: Bermain komputer
    CITA-CITA: Pegawai bank

    PENCAPAIAN: Naib johan Majlis Sukan Sekolah Kelantan (MSSK) Bawah 12 tahun (2008, 2009); mewakili Sukma 2011 dan menyertai Lawn Tennis
    Association Malaysia (LTAM) Sport Excell 1st League dan 2nd League
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: