Sunday, October 2, 2011

Perth tenang, nyaman

NYAMAN...pemandangan di Kings Park yang mengasyikkan.
NYAMAN...pemandangan di Kings Park yang mengasyikkan.

BERBANDING 10 tahun lalu, benua terkecil tetapi pulau terbesar di dunia yang dinamakan Australia kian dikunjungi masyarakat kita.

Destinasi seperti Gold Coast di Brisbane dan Melbourne antara yang menjadi tarikan istimewa, sama ada bercuti atau melanjutkan pengajian.

  • Foto

    KENANGAN...penulis (kiri) bergambar dengan rakan di Kings Park.

  • Foto

    SERBA MODEN...pusat teater ini banyak mementaskan persembahan dari luar negara.

  • Foto

    CANTIK...keunikan di dalam Pusat Teater Perth.

  • Foto

    EKSTRIM...penulis (kiri) bersama anak saudara melakukan aktiviti lasak di The Hang Out.

  • Foto

    SERBA MODEN...pusat teater ini banyak mementaskan persembahan dari luar negara.

  • Foto

    HIJAU...Kings Park menjadi tempat orang ramai termasuk pelancong asing untuk bersantai.

  • Foto

    PUTIH...pantai menjadi perhatian orang ramai.

Ikutkan, teringin penulis bercuti di satu daripada destinasi itu, namun atas urusan keluarga, penulis ke Perth dua kali, menetap di sana dua minggu pada 2010 dan seminggu baru-baru ini.

Perth, ibu negeri Australia Barat, diasaskan pada 11 Jun 1829, dengan peneroka awalnya orang Britain dan Ireland.


Sememangnya Perth asing bagi penulis sekali pun ikut latar penulis dilahirkan di Sydney sebelum dibawa pulang ke Malaysia pada usia lima tahun.


Menaiki Penerbangan Malaysia dari KLIA, Sepang, jam 12.30 malam mengambil masa enam jam untuk tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Perth. Cuaca lebih dingin daripada biasa dek kerana musim sejuk dengan 18 darjah Celsius.

Berbanding tempat lain, Perth adalah bandar yang tenang dan nyaman, berbeza dengan Melbourne iaitu jirannya di Victoria. Amat sesuai bagi mereka yang gemarkan kehidupan tenang dan kekeluargaan.

Lain padang, lain belalang, budaya di sini berbeza dengan negara kita kerana majoriti penduduk mereka lebih bersahaja dan peramah. Bandar lain di Australia seperti Melbourne atau Sydney pula kelihatan sibuk dan urban.

Melalui pemerhatian penulis, penduduk Perth lebih berminat dengan aktiviti riadah luar sama ada berkelah di Kings Park, belayar di Scarborough atau meluncur di Swanbourne dan Cottlesloe Beach.

Sudah menjadi kelaziman penduduk Perth berulang-alik menggunakan kereta api memandangkan sistem pengangkutan awam mereka sungguh lancar. Kereta api dan bas juga tiba mengikut jadual.

Dari pusat bandar Perth, biasanya penduduk menggunakan stesen bawah tanah yang menjadi hub bagi kereta api. Pengangkutan awam yang efisien memudahkan penulis dan tiga rakan dari Universiti Murdoch bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain. Penulis juga tertarik dengan konsep berseni di dinding laluan di situ yang menarik perhatian, sekali gus mendamaikan hati.

Penulis ingin berkongsi informasi di beberapa lokasi menarik di Perth seperti di Kings Park, The Hang Out, Fremantle, Harbour Town dan State Theater Centre.

Sememangnya Perth terkenal dengan tasik dan taman yang indah seperti Kings Park yang menjadi tempat untuk berkelah sambil menikmati udara nyaman. Jauh dari bandar, penulis bersama rakan menghabiskan masa berkelah di atas rumput hijau berlangit biru.

Menariknya di Kings Park, pe­ngunjung dapat melihat pemandangan bandar Perth secara menyeluruh. Ada sebuah kedai menempatkan hasil seni suku kaum asli di Perth. Barangan buatan mereka seperti lukisan di atas kulit lembu, boomerang dan vuvuzela lazimnya menjadi cendera hati di Bayswater.

The Hang Out pula sesuai untuk aktiviti riadah lain, apatah lagi yang ekstrem.
Di sini ada ‘indoor wall climbing’ yang terbesar di Perth.

Penulis tidak menyangka teman rekreasi ini wujud kerana ia terletak di kawasan perindustrian di luarnya. Melangkah ke dalam The Hang Out, ia dipenuhi pengunjung daripada pelbagai peringkat umur yang meminati sukan ‘indoor’ ini.

Lengkap dengan alat yang dijamin selamat berserta jaminan keselamatan, penulis tidak ketinggalan mencuba ‘wall climbing’. Kami diberi penera­ngan terlebih dulu mengenai alatan bagi mendaki.

Seharian berjalan dalam cuaca dingin, tanpa disedari perut mulai keroncong.
Penulis bersama rakan mengambil keputusan ke Pasar Fremantle yang terkenal dengan makanan ‘fish & chips’ dan ‘churros’ sambil pemuzik jalanan menghiburkan pengunjung dengan nyanyian mereka.

Seni bina Fremantle yang dikenali dengan Freo jelas mengekalkan bangunan era kolonial yang dibina oleh banduan. Di situ terletaknya pelbagai bangunan bersejarah dengan gaya seni bina menggunakan batu kapur dengan 'facades' berkerawang.

Pasar berkenaan terbahagi kepada dua, di mana di satu bahagian menjual barangan antik atau barangan vintaj yang sesuai dijadikan koleksi cendera hati.

Di situ beberapa peniaga menjual barangan kraftangan dan produk buatan sendiri. Sebahagian pula ialah tempat menjual sayur-sayuran segar dan buah-buahan pada harga berpatutan.

Penulis juga gembira dapat merasa buah-buahan yang jarang atau sukar ditemui di tanah air kita, umpamanya buah nona (custard apples), blewah (rockmellons), avakado dan pisang kaki (persimmons) yang dijual jauh lebih segar dan manis daripada biasa.

Harbour Town pula tempat menjual barangan berjenama dari kilang jauh lebih murah berbanding di pusat beli-belah. Untuk ke sana boleh menaiki bas yang dipanggil ‘yellow car’ dalam setiap 15 minit dan istimewanya penumpang tidak dikenakan bayaran.

Asyik berjalan melintasi Northbridge, penulis terpegun dengan keunikan reka bentuk bangunan serba moden ini. Rakan memberitahu, ia sebuah State Theater Centre yang menempatkan Heath Ledger Theatre.

Sempena memperingati pelakon kelahiran Australia yang terkenal dengan lakonannya sebagai Joker dalam The Dark Knight, nama beliau diabadikan pada dewan teater itu.

Pusat teater itu menempatkan hasil seni kontemporari dan persembahan seni dengan kombinasi teater dan seni lukis nukilan artis tempatan dan luar negara.

Tidak kenal maka tak cinta, kunjungan ke Perth dan negara sejuk lain tanpa disedari dapat menyegarkan minda kita. Sebagai generasi baru Malaysia, membebaskan diri sejenak daripada kesibukan kuala Lumpur adalah perlu sebelum kembali ke tanah air dengan menggalas harapan baru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: