Tuesday, October 4, 2011

Cinta terakhir Nabil

Biarpun pernah melalui episod putus cinta, namun ia tidak sedikit pun membuat pelawak dan pelakon terkenal, Ahmad Nabil Ahmad serik untuk hidup berpasangan.

Memilih Nazirah Ayub, 23 sebagai pasangan hidup, ikrar Nabil dan Nazirah perkahwinan ini akan menjadi perkahwinan pertama dan terakhir dalam hidup mereka.

“Nazirah bukan cinta pertama saya, begitu juga Nazira, saya bukan cinta pertama dia. Tetapi ia akan menjadi cinta terakhir buat kami, kami harap perkahwinan ini akan kekal hingga ke akhir hayat, Insya-ALLAH,” kata Nabil selepas selesai majlis resepsi di i-City, malam kelmarin.

Menurut Nabil, 28, dia bersyukur kerana majlis perkahwinannya berjalan lancar, meskipun terdapat beberapa masalah berkaitan jemputan yang hadir di luar jangkaannya.

“Saya menjemput 2,500 orang dan menyediakan makanan untuk 3,000 tetamu. Tidak sangka pula kehadiran tetamu mencecah 6,000. Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir, pihak terlibat dan bertungkus-lumus memastikan majlis berjalan dengan lancar.

“Tentang masalah seperti tidak cukup tempat duduk dan makanan, saya mohon maaf banyak-banyak. Ia berlaku di luar jangkaan saya,” kata Nabil.

Mengulas mengenai kos perkahwinannya, Nabil mengakui berhabis sebanyak RM177,000 untuk merealisasikan impian perkahwinan berkonsep alam fantasi itu.

“Duit simpanan saya RM27,000 saja, tapi selebihnya saya guna duit yang dimenangi dalam Maharaja Lawak (RM150,000). Bagi sesiapa yang mahu membuat konsep perkahwinan seperti ini, bersedialah duit sebanyak RM177, 000,” ujar Nabil sambil berseloroh.

Sementara itu, Nazirah berkata, dia tidak pernah bermimpi untuk bersanding dalam suasana fantasi, namun idea itu datang secara tidak sengaja selepas dia dan Nabil berbincang.

“Sebenarnya saya hanya mengimpikan perkahwinan ringkas tetapi meriah. Namun bila berpeluang melalui majlis perkahwinan meriah sebegini, saya sangat teruja.

“Saya tidak jangka tetamu akan hadir seramai ini, apa-apa pun saya ucapkan terima kasih kerana mereka sudi memeriahkan majlis perkahwinan kami,” katanya kelihatan masih malu-malu.


Pengantin naik vespa

Meskipun pengantin tiba jam 9.30 malam, keresahan itu bagai terubat sebaik mendengar bunyi 60 buah motosikal berkuasa tinggi yang mengiringi Nabil dan Nazira ke lokasi resepsi. Dari jauh kelihatan Nabil dan Nazirah menaiki sebuah vespa sebelum diarak ke pelamin yang dihias indah.

“Idea menaiki vespa dan diiringi motosikal berkuasa tinggi ini memang idea yang saya fikirkan sejak dulu lagi.

“Bila kawan-kawan motor saya bersetuju untuk mengiringi kami ke lokasi resepsi, saya rasa cukup bertuah dan sangat teruja,” kata Nabil.

Dalam kemeriahan itu, ada sesetengah pihak yang merungut terhadap pengacara majlis yang dikendalikan Didi Alias, Amyza Adnan dan Jepp (Sepah). Mereka dikatakan terlalu over bagi mengacarakan majlis perkahwinan.

Sebaik diajukan mengenai perkara itu, Nabil berkata dia sememangnya berharapkan majlis itu akan menjadi meriah seperti yang dilakukan oleh tiga sahabatnya itu.

“Saya rasa mereka tidaklah terlalu over. Saya memang mahu mereka meriahkan lagi majlis, tetapi jika ada yang tidak puas hati, saya tidak dapat memuaskan hati semua orang,” katanya.


Benci bertukar sayang

Bercerita mengenai detik perkenalan mereka, Nabil memberitahu mereka sudah saling mengenali sejak enam tahun lalu tetapi baru menyulam cinta sejak enam bulan yang lalu.

“Kami memang dah kenal lama kerana dia kawan kepada adik ipar saya. Tak sangka akhirnya saya kahwin juga dengan dia sebab dulu dia menyampah kat saya. Maklumlah, dulu dia kenal saya masa saya masih jadi mat dispatch lagi,” katanya.

Sementara Nazirah yang juga bekas pramugari AirAsia memberitahu dia sendiri tidak menyangka jodohnya bersama Nabil.

“Biarpun saya sudah kenal dia lama tetapi hati saya tidak pernah terbuka kepadanya sebelum ini. Tetapi bila dia mula mahu berkawan rapat dengan saya sejak awal tahun, hati saya mula terpaut.

“Saya suka dengan sifat dia yang kelakar dan suka mengambil berat. Saya juga boleh terima dan tak ada masalah dengan cara dia. Dia bukan selalu buat kelakar kerana bila dia serius, dia akan serius.

“Selepas dua, tiga kali keluar dan dah kenal hati budi masing-masing, akhirnya kami membuat keputusan untuk kahwin,” jelas Nazirah.


Tunai umrah dulu

Berkongsi tentang lokasi bulan madu mereka, Nabil berkata dia berhasrat untuk mengerjakan umrah bersama isteri tersayang, terlebih dahulu.

“Buat masa ini kami belum terfikir lagi mana-mana lokasi berbulan madu sebab saya sendiri masih banyak lagi komitmen kerja yang perlu diselesaikan.

“Malah, jadual saya penuh sehinggalah penghujung bulan November. Namun saya sudah berniat untuk bawa isteri saya ke Makkah untuk mengerjakan umrah pada Disember ini. Selepas itu mungkin kami merancang untuk berbulan madu ke destinasi lain,” katanya.

Nabil berkata hasrat menunaikan umrah ini timbul selepas dia memenangi tempat ketiga pertandingan Maharaja Lawak.

“Ketika saya menyampaikan hasrat untuk menunaikan umrah, emak meminta saya berkahwin dahulu dan membawa isteri untuk menunaikan umrah sekali.

“Justeru apabila saya berkahwin, saya seperti menunaikan hasrat saya untuk mengerjakan ibadah,” katanya.


Timang anak dua tahun lagi

Mengusik tentang perancangan menimang cahaya mata, Nabil berkata, sebolehnya mereka mahu hidup berdua terlebih dahulu.

“Bagi kami, tahun pertama biarlah untuk kami berdua dahulu. Mungkin tahun kedua baru kami akan rancang mengenai anak. Kalau boleh kami nak tiga anak,” tambah Nabil.

Tatkala ditanya mengenai popularitinya yang mungkin akan merundum selepas berkahwin, Nabil berkata dia berserah kepada Tuhan.

“Rezeki terletak di tangan ALLAH SWT. Saya percaya jika benar Dia mahu menarik kesenangan diberikan kepada saya, sebelum berkahwin lagi ALLAH SWT akan buat begitu,” katanya.

Sementara itu, Nazirah sudah pun menamatkan kerjayanya sebagai pramugari beberapa bulan lalu.

Menurut Nazirah, dia kini bersedia menjalani tanggungjawab sebagai isteri dengan baik.

“Nabil berkata dia lebih senang jika saya menjadi suri rumah tangga saja dan saya tidak ada masalah untuk berhenti kerja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: