Tuesday, October 4, 2011

Cacat bukan halangan anak petani dapat PhD


Sultan Azlan Shah menyampaikan gelaran Doktor Falsafah kepada Dr. Mohd. Nawi Ismail pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Okt. - Cacat anggota badan sejak lahir ditambah dengan masalah selaput mata yang menyukarkan penglihatan ternyata bukan halangan buat anak seorang petani, Dr. Mohd. Nawi Ismail untuk menuntut ilmu sehingga ke tahap Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Dia yang buta huruf semasa sekolah rendah menanam azam dengan meletakkan sasaran ingin menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.

"Syukur mata saya boleh melihat ketika saya berada di tingkatan tiga, bagaimanapun, terpaksa memakai cermin mata berkanta tebal untuk membantu penglihatan.

"Saya tidak boleh membaca dan menulis ketika bersekolah rendah, namun dengan semangat yang tinggi, saya berusaha keras untuk berjaya dan hari ini saya memperoleh PhD," katanya di sini, hari ini.

Dr. Mohd. Nawi menerima PhD pada sidang pertama istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-50 yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Seorang lagi orang kurang upaya (OKU) yang menerima PhD pada konvokesyen tersebut ialah Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Nor, 38, graduan berkerusi roda dari Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial pertama yang lulus di peringkat tersebut.

Meletakkan kekurangan diri sebagai cabaran dalam menuntut ilmu, anak bongsu daripada lapan beradik itu kini berasa lega kerana segala usaha yang dilakukan sepanjang pengajian sejak lebih tiga tahun akhirnya terbalas dengan segulung PhD.

"Selain kekurangan diri, sokongan keluarga yang tidak berbelah bahagi adalah pendorong kuat saya berjaya hingga ke hari ini.

"Walaupun saya berkerusi roda, saya boleh memandu dan ini yang menambah semangat saya untuk bergerak ke mana sahaja dalam usaha mencari ilmu," kata pensyarah bidang Sejarah Pemikiran dari Universiti Sains Malaysia itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: