BERKAT kedatangan Syawal kali ini, memberi cahaya kepada sebuah keluarga yang amat daif di Lot 4065, Jalan Kampung Dusun, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor apabila kehidupan mereka semakin terurus semenjak berpindah ke rumah baru.
Kisah keluarga malang itu yang terpaksa tinggal dalam sebuah pondok buruk tanpa kemudahan asas seperti air dan elektrik, pernah disiarkan menerusi sisipan Mega, Utusan Malaysia, pada 15 Julai lalu, beberapa hari sebelum bulan Ramadan.
Sebaik tersiarnya berita mengenai kisah keluarga itu pelbagai bentuk bantuan telah dihulurkan pelbagai pihak. Tidak ketinggalan juga masyarakat setempat yang sememangnya tidak pernah putus-putus membantu keluarga ini sejak dari mula lagi.
Ketika berkunjung sekali lagi ke 'teratak' baru kediaman Che Rokiah Hassam, 27, dan Kamaruzzaman Abu Hassan, 37, di Lot 6053, Rumah Sewa Masjid Al-Falah, Jalan Kampung Dusun, Sungai Ramal Dalam, Kajang, baru-baru ini, kami disambut mesra oleh Che Rokiah dan tiga orang anaknya. Manakala dua lagi anaknya bersekolah dan suaminya keluar bekerja.
Kunjungan tersebut turut disertai pegawai dari Pusat Agihan Zakat Hulu Langat, Selangor, Khairul Hakim Yahya, Imam Masjid Al-Falah, Mohamed Abdul Wahab, Pengerusi Jawatankuasa Kampung (JKK) , Datuk Seri Dr. Yahya Omar dan Nazir Masjid Al-Falah, Yahya Salleh.
Kelihatan anak-anak pasangan itu yang berumur tiga ke 10 tahun gembira dengan kehidupan baru mereka. Keadaan rumah jauh lebih baik daripada yang sebelumnya. Lebih bersih, luas dan selesa.
Tersedia juga bekalan air dan api, bilik air, dapur serta kemudahan asas lain termasuk kelengkapan perabot, dapur dan katil. Anak-anak pula berbasikal ke sana sini menggunakan basikal yang didermakan insan-insan dermawan.
Menurut Che Rokiah, mereka mendiami rumah berkenaan tiga hari menjelang Syawal.
''Alhamdulillah, kali ini kami sekeluarga dapat merasa beraya di rumah baru dan selesa berkat bantuan kariah biro Masjid Al-Falah.
''Mereka yang telah membantu kami mengangkat barang, mengecat rumah dan mendermakan sebahagian perkakas yang ada," jelasnya.
Sementara itu Khairul Hakim memberitahu, pihaknya telah membantu keluarga itu sejak dari 2009 lagi dengan bantuan bulanan sebanyak RM500 sebulan dan bantuan raya setahun sekali berjumlah RM850.
''Pusat zakat pasti memberikan reaksi yang segera sebaik mendapat tahu mengenai berlakunya kesengsaraan mahupun keluarga yang miskin di sekitar ini.
''Di kawasan seperti ini kami tafsirkannya sebagai kemiskinan dalam bandar dan sebaik mungkin kami lakukan agar situasi seperti ini terbela," ujarnya.
Apabila ditanya bentuk bantuan lain yang diberikan pusat zakat, Khairul Hakim berkata, pihak zakat akan membayar duit sewa rumah yang didiami keluarga itu sebanyak RM350 sebulan selagi mereka sekeluarga tinggal di situ, juga bantuan persekolahan anak-anak.
Dalam pada itu, Mohamed Abdul Wahab berkata, pihak masjid sentiasa memberikan bantuan yang diperlukan keluarga itu sejak dari dulu lagi semampu yang mungkin.
''Kami sentiasa mengambil berat dan pernah menyuruh keluarga ini berpindah malah pernah mencarikan rumah untuk mereka, namun Kamaruzzaman enggan berpindah dari rumah yang dulu.
''Kita tidak tahu masalahnya ketika itu. Mungkin ada kekangan dan halangan lain. Mungkin masa itu kesukaran untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan sebagainya, namun Alhamdulillah, kali ini terbuka pula hatinya untuk berpindah ke sini.
"Kebetulan penghuni asal rumah ini sudah berpindah lalu kita beri keluarga Kamaruzzaman tinggal di sini," jelasnya yang memberitahu rumah berkenaan didirikan di kawasan masjid yang diwakafkan.
Selain itu, Dr. Yahya berkata, pihaknya tidak pernah terlepas pandang dengan perkara seperti ini dan sentiasa membantu keluarga berkenaan.
''Bagi saya Kamaruzzaman adalah insan yang baik, dia selalu bergaul dengan masyarakat kampung dan melakukan aktiviti bersama.
''Pihak sekolah juga kita sudah beritahu agar memantau perkembangan anak-anaknya yang bersekolah dan memberitahu kepada pihaknya sesegera mungkin sekiranya mereka perlukan sesuatu," jelasnya.
Apabila ditanya mengenai keluarga miskin lain di kawasan itu dia berkata, jumlahnya tidak banyak dan dapat diatasi dengan bantuan pusat zakat dan kariah jawatankuasa atau biro-biro masjid Al-Falah.
Sementara itu, Yahya pula berharap menerusi sumbangan berbentuk kediaman yang lebih selesa ini dapat memberikan motivasi kepada keluarga ini menjalani hidup lebih berkualiti.
''Kita mahu ini dijadikan sebagai satu dorongan kepada Kamaruzzaman untuk berusaha meningkatkan ekonomi keluarganya dan menjalani kehidupan lebih baik selepas ini ," katanya.
Sebelum ini, Kamaruzzaman, yang berkerja sebagai operator biasa di sebuah kilang di Bandar Baru Bangi, Selangor dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan dan Che Rokiah, yang merupakan suri rumah sepenuh masa, tinggal dalam sebuah pondok buruk dengan sewa RM100 sebulan tanpa kemudahan seperti air dan elektrik.
Kini, keadaan kehidupan mereka anak-beranak semakin pulih. Anak-anak tidak lagi takut digigit lipan mahupun ular di dalam rumah.
Pada musim hujan, keluarga ini tidak lagi kesejukan akibat bumbung yang bocor dan anak-anak juga boleh tidur, belajar dan bermain dengan lebih selesa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: