Pasangan Norman Hakim dan Memey Suhaiza sudah pun selamat diijabkabulkan, tetapi kontroversi mengenai mereka masih belum berkesudahan.
Baru saja reda isu pertikaian kos resepsi di ibu kota, bernilai RM12 juta tajaan Rafflesia, muncul pula isu mengenai pakaian pengantin mereka.
Rancangan untuk mempamerkan pakaian pengantin bertatahkan mutiara dan kasut rekaan Prof Datuk Jimmy Choo di Muzium Negara mendapat bantahan, malah ramai mempertikaikan kepentingan pasangan berkenaan hingga layak menerima penghargaan sebegitu tinggi.
Dalam hal ini, ada segelintir menuding jari kepada Jabatan Muzium Malaysia (JMM). Menjelaskan perkara itu, Ketua Pengarah JMM, Datuk Ibrahim Ismail berkata, pihaknya sekadar mengadakan pameran sementara untuk pakaian pengantin selebriti.
“JMM bakal mengadakan Pameran Khas Busana Perkahwinan Selebriti dan Tokoh Terkemuka pada 25 November hingga 31 Disember ini yang menghimpunkan baju pengantin yang pernah dipakai oleh selebriti.
“Perlu diingatkan, bukan baju pengantin Norman dan Memey saja akan dipamerkan kerana ada juga pakaian dari selebriti lain.
“Malah, kita juga pernah mempamerkan baju pengantin Datuk Siti Nurhaliza dan Ning Baizura dalam pameran sama sebelum ini,” katanya.
Menurut Ibrahim, dia berharap masyarakat dapat melihat objektif pameran diadakan dan bukan memberi tumpuan kepada pasangan tersebut.
“Ramai yang anggap JMM cuba menaikkan Norman dan Memey, sedangkan fokus utama kita adalah memperkenalkan budaya melalui pakaian pengantin di negara ini.
“Kita juga ingin memberi peluang kepada masyarakat, melihat sendiri busana pengantin yang diperkatakan itu dengan lebih dekat,” katanya.
Malah, kata Ibrahim, baju pengantin Norman dan Memey memenuhi kriteria yang membolehkannya dipamerkan di muzium.
“Kita memang sedang mencari pakaian dan kasut direka oleh pereka tempatan dan terkenal.
“Secara kebetulan, pakaian dan kasut yang dipakai Norman dan Memey menepati ciri-ciri itu.
“Lagipun, bukan mudah untuk kita mendapatkan kasut rekaan Jimmy Choo yang terkenal di seluruh dunia,” katanya.
Menurut Ibrahim, perbincangan dengan Rafflesia sudah dilakukan dan pengeluar barang kemas terkemuka itu juga bersedia untuk menyumbangkan baju pengantin yang dipakai artis lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: