Wednesday, October 26, 2011

Biodiesel FRIM lebih efisien


NANCY SHUKRI (kanan) menuang minyak biodiesel FRIM ke dalam corong minyak sebuah kenderaan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya menghasilkan biodiesel daripada sumber-sumber alternatif yang bukan berasaskan makanan seperti minyak jarak pagar, bintagor laut dan bahan buangan industri.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, rancangan jangka pendek di peringkat FRIM ialah untuk menggunakan biodiesel adunan B5 untuk kenderaan berenjin diesel.

"Dianggarkan sebanyak 120,000 liter adunan biodiesel B5 akan digunakan setahun di FRIM.

"Ini akan menyumbang kepada penjimatan hampir 6,000 liter diesel fosil dan pengurangan kadar pembebasan karbon dioksida (CO2) sebanyak empat peratus atau 16,000 tan CO2 setahun," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran penggunaan Biodiesel Peringkat FRIM di sini semalam.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia, Nancy Shukri.

Pokok jarak pagar sering dijadikan pokok penghias pagar yang mana ia mempunyai kepentingan daripada aspek kesihatan, ekonomi dan digunakan untuk perubatan tradisional.

Pokok Bintagor Laut atau nama lainnya pokok Penaga laut merupakan tumbuhan rendang yang terdapat di tepi-tepi jalan khususnya di pinggir pantai di negara ini.

Mengulas lanjut, Abd. Latif berkata, satu liter penggunaan minyak diesel akan membebaskan 2.67 kilogram CO2 ke atmosfera bumi.

"Biodiesel keluaran FRIM mengandungi asid lemak yang rendah berbanding biodiesel daripada minyak kelapa sawit yang mempunyai kandungan asid lemak yang agak tinggi, maksudnya jumlah CO2 yang terlepas jauh lebih rendah berbanding biodiesel minyak kelapa sawit, tambahan pula hasil pembakaran biodiesel keluaran FRIM ini mengeluarkan bau yang wangi" katanya.

Bagi memaju dan mengembangkan produk biodiesel dengan berkesan, pemindahan teknologi penghasilan biodiesel telah dilakukan oleh saintis Program Biotenaga, FRIM yang dijayakan bersama dengan Xtra Tech Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat projek FMBioSis di samping menerima bantuan dana pengkomersialan daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia.

Tambah beliau, FRIM juga mula menanam buah jarak pagar secara percubaan di kawasan tanah bermasalah seperti tanah berpasir di Stesen Penyelidikan Luar Setiu, Terengganu, untuk memajukan kawasan berpotensi secara berskala besar.

"Spesies hutan lain juga akan diteroka dalam usaha untuk membangunkan kawasan tanah bermasalah serta mewujudkan bekalan bahan mentah bagi penghasilan biodiesel yang mesra alam," katanya.

Biodiesel FRIM telah diuji oleh traktor, kenderaan pacuan empat roda dan bas.

Laporan saintifik biodiesel campuran ini juga menunjukkan prestasi enjin yang memberangsangkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: