TANAH MERAH – Lebih 10,000 penduduk di sekitar jajahan ini hidup sengsara apabila terputus bekalan air sejak Jumaat lalu.
Antara kawasan terlibat ialah Taman Perumahan TNB, Taman Seri Remah, Taman Barakah dan mukim Bukit Panau yang melibatkan hampir 14 buah kampung.
Seorang penduduk, Azizullah Mohd. Zain, 47, berkata, masalah terputus bekalan air ini bukan kali pertama berlaku kerana sepanjang tahun ini sahaja sudah enam kali bekalan air terputus.
Menurutnya, bagi tempoh tersebut pihak syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) hanya beberapa kali menghantar notis dan selebihnya mereka langsung tidak dimaklumkan mengenai bekalan air yang terputus.
“Tiga taman perumahan di sini mengandungi 1,200 rumah dengan lebih 6,000 penduduk. Ada pernah berlaku, bekalan air di kawasan ini terputus sehingga tujuh hari.
“Kami semua terpaksa mendapatkan air di Masjid Besar Tanah Merah, Musalla Taman Barakah dan rumah jiran-jiran yang mempunyai telaga atau sumber air daripada telaga tiub,” katanya ketika ditemui semalam.
Dakwanya, bukan sekadar tidak diberi notis mengenai bekalan air yang terputus, pihak AKSB juga langsung tidak mengambil sebarang inisiatif untuk membantu penduduk sama ada menghantar lori tangki atau menyediakan tangki statik untuk kemudahan pengguna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: