Saturday, October 8, 2011

Bila hijab mata terbuka ...

Kali pertama mendengar tajuk filem ini, pasti ada yang mengaitkan dengan tudung. Namun, ia sebenarnya tidak menyentuh langsung tentang fesyen tudung. Sebaliknya pengarah prolifik, Pierre Andre mempertaruhkan filem seram, Al-Hijab yang diambil dari bahasa Arab bermaksud tirai atau dinding penghalang.

Jika sebelum ini, kita pernah mendengar cerita atau mengetahui pandangan mata manusia itu disekat daripada melihat sesuatu di luar kemampuan manusia. Setiap manusia mempunyai hijab yang menutup pandangan mata halus.

Apa akan jadi sekiranya hijab kita dibuka? Apa yang kita akan lihat? Bersediakah melihat pelbagai kelibat dahsyat? Itulah yang cuba dipaparkan oleh Pierre, menerusi filem ini.

Permulaan jalan cerita, Pierre bijak menerapkan elemen suspens menerusi watak Rafael yang dilakonkan sendiri olehnya.

Meskipun diasak dengan elemen seram sepanjang menonton filem ini, hatta babak Rafael berbual manja dengan Qiss (Fathia) di luar rumah pun jelas mempamerkan rasa seram, malah, Pierre tidak lupa menyelitkan babak komedi, lakonan Ngasrizal Ngasri (Bell) dan Munir yang disifatkan masa untuk berehat sebentar.

Kehadiran Bell dan Munir walaupun untuk seketika meninggalkan kesan mendalam dengan lawak spontan dan tidak dibuat-buat.

Meskipun Pierre muncul untuk 85 peratus babak di dalam filem ini, ia tidak sedikit pun menimbulkan rasa bosan. Malah Pierre berjaya meyakinkan penonton untuk terus melihat babak demi babak dengan plot yang cukup tersusun.

Kemuncak elemen seram adalah apabila hijab dibuka, dan pengalaman Rafael yang melalui satu malam yang panjang dengan melihat pelbagai entiti dengan wajah mengerikan dalam perjalanan pulang ke rumah sehingga ke dalam rumah.

Bercerita mengenai karakter dan rupa hantu yang jadi ‘tetamu’ dalam filem ini pula, syabas kepada Pierre kerana berjaya menghasilkan kelibat makhluk yang memang menakutkan. Kemunculan hantu yang berdiri di sebalik pintu merenung tajam tanpa kelip (adegan Rafael buka pintu dan Rafael hanya terkejut biasa).

Al-Hijab mengisahkan Rafael, seorang pelakon yang tidak mempercayai kewujudan hantu. Suatu hari dia ditawarkan watak utama untuk membintangi sebuah filem seram. Malangnya Rafael tidak berjaya memperoleh perasaan takut yang dapat memuaskan hatinya sehinggalah dia mendapat peluang untuk dibuka hijabnya oleh seorang wanita misteri. Apakah yang bakal terjadi seterusnya?

FILEM : Al-Hijab
PENGARAH : Pierre Andre
PELAKON : Pierre Andre, Fathia, Maimon Mutalib, dan Aziz M.Osman.
GENRE : Seram
DURASI : 1 jam 20 minit
KLASIFIKASI : PG13
TAYANGAN : 06 Oktober 2011
KESELURUHAN : * * * *


Komplot merebut takhta

Mual dihasilkan dalam bentuk komik pada kurun ke-17, kisah The Three Musketeers, hasil tulisan Alexandre Dumas, dibawa ke layar perak dalam bentuk drama bersiri, animasi dan filem menurut interpretasi pelbagai pengarah.

Ia pernah difilemkan pada 1948 dan sekali lagi pada 1973. Sejajar dengan perkembangan industri hiburan di Eropah, filem The Three Musketeers sekali lagi dibawa ke layar perak pada 1993.

Namun untuk era serba teknologi, filem arahan Paul WS Anderson, yang menjalani penggambaran pada tahun lepas ini, menggunakan alatan penggambaran yang canggih membantu keberkesanan filem The Three Musketeers dan boleh ditonton menerusi 3D, bermula semalam (6 Oktober).

Membariskan pelakon handal seperti Orlando Bloom yang memegang watak Duke of Buckingham, Milla Jovovich sebagai M’lady De Winter, sementara watak tiga 'Musketeers' dibintangi Ray Stevenson (Porthos), Matthew Macfadyen (Athos) dan Luke Evans (Aramis), filem ini pastinya mendapat sambutan hebat dari kaki wayang.

Selain mereka, beberapa pelakon lain turut menjayakan filem itu, antaranya Logan Lerman (D’Artagnan), Juno Temple (Queen Anne), Mads Mikkelsen (Rochefort) dan James Corden (Planchet).

The Three Musketeers, mengisahkan seorang pemuda, D’Artagnan meninggalkan kampung halaman untuk bergabung dengan tiga ‘Musketeers’ bagi mempertahankan takhta raja Perancis agar tidak dirampas kuasa jahat (Cardinal).

Cardinal merancang menyingkir dan membunuh raja muda, King Louis dengan menggunakan khidmat Milady. Dia turut menuduh Queen Anne mempunyai hubungan sulit dengan Buckingham.

Sekiranya raja terpedaya dengan penipuan itu, peperangan bakal tercetus.

Bagi mengekalkan keamanan di Perancis, Three Musketeers dan D’Artagnan harus ke London untuk mengambil rantai berlian, dalam menara untuk dikembalikan kepada permaisuri sebelum majlis tari menari bermula.


FILEM : The Three Musketeers
PENGARAH : Paul W.S Anderson
PELAKON : Logan Lerman, Matthew Macfadyen, Ray Stevenson, Orlando Bloom, dan Milla Jovovich.
GENRE : Aksi / Pengembaraan / Romantik
DURASI : 1 jam 50 minit
KLASIFIKASI : PG13
TAYANGAN : 06 Oktober 2011
KESELURUHAN : * * * *

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: