
SEBAGAI sahabat karib, Ben Affleck dan Matt Damon sememangnya mempunyai keserasian dalam menghasilkan skrip dan lakon layar yang akhirnya membawa kejayaan buat mereka.
Lihatlah sahaja bagaimana karya mereka, Good Will Hunting yang membawa Ben dan Matt ke puncak kejayaan apabila menjulang trofi Oscar untuk Lakon Layar Asal Terbaik pada tahun 1998.
Kini, dua sahabat ini sudah bersedia untuk menggegarkan layar perak dengan kolaborasi terbaru mereka menerusi sebuah filem biografi tentang penjenayah paling dikendaki, Whitey Bulger.
Menerusi filem yang akan diterbitkan oleh Warner Bros. itu, Ben akan menggalas tanggungjawab sebagai pengarah, penerbit dan memegang watak pembantu sementara Matt pula sebagai watak utamanya.
Malah, adik Ben iaitu Casey Affleck juga akan memegang salah satu watak penting dalam filem tersebut.
Lakon layar untuk filem yang masih belum berjudul itu akan ditulis oleh pencipta Boardwalk Empire iaitu Terrence Winter.
Filem itu kelak akan mengisahkan tentang kehidupan Whitey dari kecil sehinggalah dia menjadi penjenayah dan kemudiannya bekerja dengan FBI sebagai pemberi maklumat.
“Saya cukup teruja untuk bekerja sekali lagi dengan Matt dan kami sememangnya telah merancang perkara ini sudah lama sebenarnya. Apatah lagi, kisah Whitley sudah kami dengar sejak kami kecil lagi.
“Ternyata kami sudah tidak sabar lagi dengan projek ini dan untuk melihat hasilnya di layar perak kelak,” kata Ben yang sebelum ini telah mengarahkan dua buah filem cereka, Gone Baby Gone dan The Town yang telah mendapat kritikan positif.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: