Saturday, October 1, 2011

Al-Aziziya tidak lagi digeruni

SEKUMPULAN rakyat Libya memeriksa terowong rahsia yang ditemui di kawasan istana bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di Tripoli.


TRIPOLI - Orang ramai mula mengunjungi pekarangan kompleks istana Bab Al-Aziziya di sini yang pernah menjadi kediaman rasmi Muammar Gaddafi (gambar kecil) selepas pemimpin Libya tersebut digulingkan.

Dikelilingi tembok hijau dengan kawat berduri, pekarangan seluas enam kilometer persegi yang terletak di selatan pusat bandar raya itu menjadi mercu tanda pemerintahan Gaddafi selama beberapa dekad.

Ia amat ditakuti, kata beberapa penduduk setempat, sehinggakan orang awam yang memandu melintasi pekarangan Bab Al-Aziziya akan berhenti bercakap dan mengelak daripada memandang terus ke arahnya.

Dibom jet-jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai sebahagian kempen zon larangan terbang di Libya, istana itu dirampas oleh kumpulan pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) selepas pertempuran sengit dengan tentera Gaddafi pada 23 Ogos lalu.




Ketika itu, ramai orang percaya bahawa Gaddafi berada di dalam kompleks istana berkenaan. Tetapi sehingga kini bekas pemimpin Libya itu gagal ditemui dan masih bebas.

Beberapa minggu kemudian, beratus-ratus penduduk Libya melawat kompleks istana berkenaan pada setiap hari untuk melihat sendiri apa yang ada di sebalik tembok tinggi Bab Al-Aziziya.

"Tempat ini adalah tempat yang paling menggerunkan. Sebelum ini anda tidak mahu berada di dalamnya (Istana Bab Al-Aziziya)," kata seorang pelajar berusia 22 tahun, Esra Kamel.

"Sekarang, sesiapa sahaja boleh berjalan masuk ke dalamnya. Hakikat ini cukup menakjubkan," tambahnya.

Dihubungkan oleh sejumlah jalan, kawasan itu dipenuhi oleh puluhan bangunan termasuklah kediaman peribadi Gaddafi, sebuah hospital persendirian dan perumahan untuk pembantu serta pengawal peribadinya.

Kebanyakan bangunan itu musnah atau rosak teruk akibat pertempuran sengit yang berlaku.

Tembok-tembok kompleks istana itu penuh dengan contengan dan lukisan dalam bahasa Arab dan Inggeris dengan sebahagiannya menyatakan 'Bebaskan Libya!' dan 'Permainan Gaddafi Sudah Tamat'.

Seorang bapa, Mohammed Fathi Musba membawa dua anak perempuannya yang masing-masing berusia tiga dan empat tahun untuk melihat kompleks istana berkenaan.

"Amat aneh berada di sini kerana sebelum ini ia adalah tempat rahsia," kata Mohammed.

"Saya membawa dua anak perempuan saya ke sini untuk menunjukkan betapa keadaan telah berubah Dengan izin Tuhan, kami tidak akan lagi mendapat seorang pemimpin seperti Gaddafi," tambahnya.

Orang ramai yang melawat Bab Al-Aziziya turut mencadangkan supaya kompleks istana tersebut diruntuhkan.

"Pihak berkenaan sepatutnya merobohkan tempat ini dan menukarkannya menjadi taman awam untuk penduduk Tripoli," kata Esra.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: